Hala tuju KPT lengkapi sahsiah mahasiswa

Hala tuju KPT lengkapi sahsiah mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGHUJUNG semesterlah masa paling sibuk bagi pelajar universiti. Kami meniti di antara tarikh ujian, pembentangan serta tugasan yang perlu disiapkan dan diikuti rapat oleh peperiksaan akhir semester. Sungguhpun begitu, sebagai pelajar, saya tetap mencari masa menekuni teks ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi mendapat gambaran tentang aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jumaat minggu lepas telah berlangsung Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Pada majlis tersebut, Zambry telah mengumumkan 20 landasan hala tuju yang bakal dilaksanakan KPT dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Bagi mencapai hasrat ini, Zambry menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan oleh KPT iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Konsep muafakat dan insani diberi penekanan serius oleh Zambry. Beliau bercakap tentang pentingnya ekosistem kondusif di antara tenaga pengajar, mahasiswa dan pentadbir di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mana seluruh warganya mempunyai hubungan harmoni dan saling berinteraksi berlandaskan nilai hormat dan kasih sayang, beradab serta cinta ilmu.

Malah, beliau mengulangi gesaan ini ketika berbincang bersama pemimpin pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu pertemuan santai selepas solat Jumaat pada hari yang sama. Sebagai pelajar UIAM, saya gembira kerana inilah dasar Sejahtera yang diperjuangkan UIAM selama ini.

Seterusnya, dalam memperincikan hala tuju KPT, Zambry menegaskan bahawa, ekosistem yang kondusif di IPT juga sangat terkait dengan konteks keberadaan di sesuatu lokasi agar ia tidak terpisah daripada alam dan masyarakatnya.
Tegas beliau lagi, institusi tidak boleh terisolasi daripada persekitaran masyarakat setempat dan lingkungan alam yang mengelilinginya. IPT mesti menyumbang kembali untuk kemanfaatan masyarakat.

Inilah terjemahan kepada konsep Komuniversiti yang lancarkan Rektor UIAM, Tan Sri Zulkifli Abdul Razak pada 10 Januari lalu. Konsep Komuniversiti telah menarik perhatian dunia sejak mula diperkenalkan pada tahun lalu. Budaya murni ini sentiasa digarap menerusi dasar Sejahtera, yang mana Kerangka Akademi Sejahtera menjadi asas pembentukan sistem pembelajaran kami.

Melalui program Usrah Bertindak, setiap mahasiswa UIAM dilatih keluar daripada kepompong selesa dewan kuliah untuk mendampingi masyarakat khasnya di sekitar UIAM melalui projek-projek tersusun bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Di sini kami belajar mempraktikkan teori bagi menyelesaikan masalah sebenar dalam masyarakat.

Seterusnya Zambry berkata, kewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang ‘segar’ dan kondusif adalah sangat diperlukan, sebagaimana gagasan yang diilhamkan oleh Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan berhubung universiti, pusat keilmuan dan institut pendidikan tinggi sebagai ‘taman ilmu dan budi’. Di sinilah tempat untuk menimba ilmu dan membentuk adab dan budi.

 

LANGKAH Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui falsafah Sejahtera menjadi pemain utama dalam memperjuangkan kelestarian di pentas global.

BANGGA
Saya tersenyum gembira, terasa bangga berada di sini. Taman ilmu dan budi- itulah cogan kata UIAM yang membentuk roh perjuangan kami. Bagi pelajar UIAM, falsafah pemikiran Mohd. Kamal yang kini direalisasikan melalui dasar Sejahtera sentiasa di hati.

Zambry turut memetik nukilan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Profesor Dr. Syed Muhammad Naqib al-Attas, bahawa universiti sebagai ‘kuliyah’, iaitu institusi yang berfungsi dalam membina fakulti insan, membangun kapasiti manusiawi secara menyeluruh dan berimbang, sesuai dengan konsep adab – “addabanī rabbī, fa-ahsana ta’dībī.”

Jelas bahawa hala tuju KPT bukan sekadar mementingkan kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi pada masa yang sama, mahasiswa mesti dilengkapi dengan sahsiah diri terpuji. Proses pendidikan harus dilaksanakan secara holistik termasuk menanam nilai-nilai kerohanian dan kemanusiaan supaya para cerdik pandai kita nantinya tidak menjadi manusia yang kosong jiwanya.

Perkara keenam dalam senarai hala tuju KPT menegaskan tentang keperluan memperkukuhkan pembangunan dan penyampaian kurikulum selaras dengan Agenda Kelestarian Global, khususnya agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agenda Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Zambry menegaskan bahawa aspek pendidikan berasaskan nilai dan kelestarian global perlu disepadukan dalam mekanisme jaminan kualiti di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Hal ini amat istimewa buat saya kerana ia berkait rapat dengan tugas saya sebagai penyelaras belia RCE Greater Gombak (RCEG2). RCEG2 yang diterajui UIAM ialah sebahagian daripada rangkaian RCE di bawah Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) yang memperjuangkan agenda kemampanan sejagat.

Tema Persidangan Global RCE ke-13 yang berlangsung di UIAM, Gombak iaitu, ‘Pendekatan Masyarakat Menyeluruh demi ESD’ pada akhir tahun lalu juga bertepatan dengan aspirasi KPT.

Terbukti, langkah UIAM melalui falsafah Sejahtera menjadi pemain utama dalam memperjuangkan kelestarian di pentas global adalah tepat. UIAM sekali lagi berjaya merangkul Anugerah Green Gown Antarabangsa 2023 yang mendapat sokongan PBB, Persatuan Universiti Antarabangsa (IAU) dan Persatuan Universiti Komanwel (ACU) bagi kategori memanfaatkan masyarakat.

Hala tuju yang baik tidak akan membuahkan hasil jika usaha tidak digembleng ke arah merealisasikan impian. Semoga seluruh warga KPT dapat bersatu hati dan mengoptimumkan kelebihan masing-masing,serta tidak lokek mengajar dan tidak malu belajar.

Ayuh, kita sambut seruan Menteri Pengajian Tinggi untuk bekerja sebagai satu pasukan demi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×