AHLI komentar tulen dan tangkas semestinya kenal akan perbezaan penulisan ilmiah dengan penulisan ruangan awam seperti ini. Hal ini asas sebelum melayakkannya membuat apa-apa ulasan bernas. Bagi penulis, kebebasan berhujah bukan baharu kerana mula menulis sejak 1995. Ia hak dan bukan keistimewaan. Dan dapat menyumbang lebih 1,400 makalah mingguan. Hanya pada kali ini ada kacau daun!
Apa pun penulisan ilmiah mempunyai hukumnya tersendiri yang agak ketat dengan rujukan-rujukan serta bukti dan petikan tertentu yang mesti tercatat dengan jelas. Baik Universiti Harvard sekalipun, presidennya kini dihantui oleh hal-hal seumpama ini.
Penulisan ilmiah sering berkajang-kajang, ribuan patah perkataan dan ia boleh diterbitkan dalam jurnal berwasit. Selalunya membawa tema ilmu baharu atau kritikan yang mengadun pengetahuan segar untuk mara ke hadapan dalam mengukir kebenaran.
Kerja ini bukan mudah dan mengambil masa yang panjang. Ini amat berbeza dengan penulisan awam yang ringkas tanpa memerlukan butiran rujukan dan sebagainya kerana huraian yang dibenarkan terhad hanya 800 perkataan lazimnya.
Apa yang dipentingkan adalah hujah-hujah utama yang turut membawa kepada pengetahuan terkini. Lebih berkait dengan isu semasa, lantas penulisan perlu pantas supaya tidak basi.
Oleh itu diandai dan difahami sebagai berdiri atas bukti-bukti kukuh semasa serta petikan dan rujukan tersendiri walaupun tidak diumumkan.
Berbeza dengan sosial media yang memuatkan apa sahaja bentuk hamburan, betul atau tidak, benar atau palsu. Sekadar dapat melepaskan pandangan atau dendam berselindung di sebalik nama samaran.
Kecut dikenali oleh khalayak sebab ada kesangsian padanya. Baling batu sorok tangan bertujuan memporak porandakan. Bukan kebenaran. Bertentangan dengan penulisan awam yang pendek, padat dan ringkas demi mencungkil kebenaran.
Berani kerana benar. Tidak dayus. Bukan hanya enak didengar telinga orang tertentu. Apatah lagi tidak ingin mengampu, sana dan sini. Maka, sudah tentulah bukan sembrono bentuknya seperti yang didakwa pihak kurang arif.

MUNAFIK POLITIK
Maksudnya disiplin ilmiah tetap kekal sebagai amanah penulisan beretika. Tiada kompromi jika kebenaran mutlak adalah tujuan melalui hujah-hujah yang mempunyai kerangka rujukan latar tersendiri. Dalam hal ini, sebagai contoh, buku ilmiah yang dihadiahkan kepada penulis, setebal 219 halaman, berjudul Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu – Perlunya disegerakan transformasi moral-etika (2002), menjadi inspirasi untuk menyatakan kebenaran kerana bak kata pengarangnya, korupsi politik dan kemunafikan politik yang telah meningkat tinggi di akhir-akhir ini sekitar Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan 15.
“Tiada nama atau identiti dicatat atau ditanya sebagai bukti, kerana ia bagai sudah terang lagi bersuluh. Terang kepada sesiapa yang jujur nalurinya lagi akur akan setiap detik perlakuan tanpa dapat dinafikan. Melainkan jika sudah terpesong ke landasan kemunafikan kerana prinsip politik amalan mereka sedemikian rupa”, ujar pengarang buku tersebut.
Minda dan hati tidak lagi peka akan apa yang berlaku akibat lali dengan budaya politik menjijikan. Bak tulisan pengarang dalam bab 3, “Cukup-cukuplah! Dengan sistem dan budaya politik yang korup”. Yakni membentuk suatu budaya membenteng perpaduan bagi mereka selesa terpalit sistem untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara jua pun.
Pengarang yang disebut-sebut adalah Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan yang merupakan Pengasas dan Rektor Ketiga, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain seorang agamawan-sarjana.
Dengan kata lain, dibawah didikan Mohd. Kamal aktiviti korupsi dan kemunafikan dalam semua hal, apa lagi politik sempit tanah air, mesti dibasmi dengan seluruh tenaga serta kudrat, kalau boleh hari ini juga.
Tiada kejutan kerana sudah berlarutan begitu lama. Sudah sebati. Hanya dengan bertempik sahaja, tetapi masih terang-terangan bergelumang dengan tabiat yang merosakkan siang dan malam tidak memadai.
Hatta, betapa perlu disegerakan transformasi seperti dinukil dalam buku tersebut khususnya Bab 4 dan 5. Bukan sekadar reformasi acuh tak acuh yang menjadi kupasan begitu nyata kepada yang celik mata hati dan akal budi seperti ulasan The Economist terkini pada 31 Disember tahun lalu menyatakan janji lanjut menjuarai perubahan, kini lebih menampakkan seperti rintangan kepadanya.
Mohd. Kamal bertegas undang-undang atau reformasi politik semata-semata tidak akan menyekat memimpin politik atau pengikut-pengikut mereka berbohong kepada rakyat atau menipu negara.
Jangan terpedaya dengan angka yang mungkin teruja, tetapi miskin tegar yang masih ratusan ribu bilangannya, kais pagi, makan pagi, sedangkan rasuah terus bermaharajalela.
Oleh itu, kepada yang belum insaf dan masih berkurap dengan amalan korupsi dan kemunafikan mereka, UIAM serta kepemimpinannya akan tetap menggenggam amanah serta fardhu kifayahnya, bagaimana dilakukan Mohd. Kamal terhadap Ilahi.
Bahkan buat UIAM yang baharu sahaja melabuhkan tirai 40 tahun penubuhannya dengan yakin membawa obor ‘mempertingkatkan kehidupan manusiawi dan tamadun’ sebagai wawasannya sejak 1983 lagi.
Ketamadunan ini, dalam apa istilah sekali pun hari sudah lama mekar, disokong pula dengan tujuh misi menrentasi ilmu wahyu dan manusiawi bertunjangkan maqasid al-syariah serta merangkumi rahmatan lil alamin!
Jelas, tiada ruang untuk bersembrono. Sekiranya, berani kerana benar. Bukan kemunafikan, menidakkan janji dan membisukan hati suci! Tuhan jua Maha Mengetahui.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










