KENYATAAN bahawa kesetiaan etnik bukan Melayu kepada negara ini adalah tidak sepenuhnya, yang dikaitkan secara khusus dengan keengganan mereka menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara sebagai antara bahasa milikan untuk dituturkan dalam ranah kekeluargaan, terus-terusan mendapat kecaman daripada banyak pihak, lebih-lebih lagi etnik bukan Melayu.
Ia juga dikecam sebilangan etnik Melayu yang sama-sama mempertikai hubung kait antara bahasa negara dengan kesetiaan kebangsaan, sama ada dalam bentuk nasionalisme, iaitu bangga kepada negara atau patriotisme, yakni cinta kepada negara.
Sehubungan ini, sebenarnya bahasa, khususnya bahasa negara sama ada dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi adalah kriteria paling penting untuk menandai keberadaan sesebuah bangsa itu, yakni kelompok manusia untuk sesuatu penggolongan, baik secara etnisiti mahupun nasional serta lain-lain.
Ia bukan hanya sangat penting untuk membezakan bangsa itu daripada yang lain-lain tetapi menjadi fitrah iaitu seluruh bangsa itu bertutur dalam bahasa mereka yang sama dalam apa-apa jua ranah.
Dengan kata lain dalam kes kita di Malaysia, kita sebagai bangsa Malaysia bertutur dalam bahasa Malaysia iaitu jolokan lain untuk bahasa Melayu dalam konteksnya sebagai wadah perpaduan negara dalam hubungan etnik yang mesra dan integrasi nasional bagi hubungan wilayah yang baik.
Malah bahasa Melayu adalah satu-satunya lambang paling terserlah untuk kita dikenal pasti sebagai sebuah negara bangsa, iaitu negara merdeka yang berdaulat dengan penduduknya bersatu yang sama-sama mempamerkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Untuk kita di Malaysia, kriteria linguistik inilah yang hanya boleh digunakan sebagai lambang asas lagi utama kepada kewujudan kita sebagai negara bangsa. Ini kerana ia paling neutral berbanding dengan persyaratan lain yang tidak boleh digunakan dengan mudah untuk menyatakan sentimen nasional dalam sebuah masyarakat majmuk berbilang etnisiti, budaya dan agama.
Sebenarnya penggunaan bahasa negara sebagai keperluan sepunya selain yang wajib untuk memupuk dan melestarikan sentimen nasional untuk nasionalisme dan patriotisme agar selalu utuh lagi kental, dilakukan oleh banyak negara merdeka yang berdaulat. Ini kerana bahasa negara didapati mampu membangkitkan ikatan psikologi yang kuat selain perasaan keterikatan yang kental kepada negara tercinta oleh rakyat dalam konsep tanah air, ibu pertiwi dan lain-lain yang seumpamanya.
Malahan kesedaran dan keinsafan tentang betapa pentingnya bahasa negara sebagai antara pelbagai lambang nasionalisme dan patriotisme sangat signifikan selain amat positif. Ia bahkan diperlihat oleh banyak negara sebagai sumbangan paling afdal lagi agam kepada pemupukan dan pelestarian perasaan kekitaan, kebersamaan dan jati diri kebangsaan.
Dalam konteks perasaan ini, ia juga mencakupi kesetiaan. Kesetiaan yang mempunyai beberapa sisi, antaranya boleh berbentuk sokongan padu, yakni yang tidak berbelah bahagi selain benar dan tulen iaitu dukungan yang tidak berubah-ubah.
Ia juga merangkumi iltizam penuh yakni kesungguhan dan tanggungjawab yang padat terhadap sesuatu dan kepatuhan mampat iaitu kesediaan untuk akur dengan mengikuti peraturan, perintah dan yang seumpamnya.
Dalam konteks gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, kesetiaan rakyat adalah penting sekali untuk menjayakannya. Dengan ini, rakyat harus memberi sokongan padu, dukungan ikhlas, selain mempunyai iltizam cekal dan ketaatan tertib yang ditetapkan. Semua ini sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah untuk penyatuan kebangsaan.
Dalam konteks solidariti kenegaraan ini, bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja bahasa milikan bersama rakyat malah merupakan tanggungjawab bersama kita semua sebagai warganegara Malaysia untuk menjayakan peranan penyatuan.
Oleh itu, ia hendaklah bermula dengan penggunaan bahasa Melayu yang lebih tinggi intensitinya dan lebih kerap frekuensinya dalam komunikasi harian, selain penggunaan bahasa lain yang sudah menjadi kebiasaan.
Sebetulnya seruan ini tidak sesekali menganjurkan kehebatan bahasa Melayu berbanding dengan bahasa lain, sebaliknya ia perasaan nasionalistik yang harus ada pada kita selaku warganegara Malaysia terhadap bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa negara.
Sebenarnya bahasa negara adalah antara entiti yang amat bernilai kepada sesebuah negara merdeka yang berdaulat dan rakyat yang berjati diri kebangsaan.
Oleh itu, ia ditatang bagai minyak yang penuh, diperlaku dengan sangat berhati-hati kerana kasih sayang terhadapnya adalah tinggi sekali.
SIKAP
Malangnya sikap begini tidak ada pada kita, sama ada dalam bentuk pemikiran mahupun tingkah laku yang positif sifatnya walaupun bahasa Melayu adalah bahasa negara.
Dalam hal ini, nasionalisme linguistik bahasa Melayu, yakni usaha untuk mempromosikan bahasa Melayu agar dibanggai, disayangi dan ditaati sebagai bahasa negara, adalah bukan sahaja penting dipupuk sesegera mungkin tetapi segera mewujudkan sikap kebersamaan sebagai bangsa Malaysia yang sentimen nasionalnya utuh lagi kental pada setiap masa.
Dengan ini, ia fenomena bersama dan bukan oleh etnik Melayu sahaja. Marilah kita semua mengikuti amalan rakyat di banyak negara lain yang amat bangga, sangat sayang dan setia sekali kepada bahasa negara mereka.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










