SEHINGGA kini, istilah ‘keling’ masih disalah guna untuk tujuan menghina sehingga makna sebenar yang positif sudah dilupakan. Dalam pada itu, Kamus Dewan sekali pun tidak memberikan satu lagi takrifan ‘keling’ yang amat dibanggakan etnik Iban atau Dayak Laut di Sarawak. Penduduk asli itu pula dahulu dikaitkan dengan budaya pemburu kepala dan amat digeruni.
Topik ‘keling’ dan ‘pemburu kepala’ yang sinonim dengan orang Iban membuka peluang kepada saya untuk berbual dengan seorang anak muda kelahiran Batang Rajang, Kapit, Sarawak.
Larry Walter Brauh Dian yang memiliki Diploma Seni Persembahan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak sangat berbangga dengan identiti dan jati diri dimiliki.
Malah, semasa belajar di UPSI, beliau dinobatkan pemenang tiga anugerah Festival Gawai 2021. Sejak itulah pemuda berumur 24 tahun ini semakin bersemangat menyertai pelbagai pertandingan ‘Keling Gawai’.
“Perkataan ‘keling’ dalam bahasa Iban bermakna pahlawan dan dan merujuk kepada seorang wira legenda. Tidak ada konotasi negatif seperti di Semenanjung Malaysia,” jelas Larry yang kini tinggal di Sibu.
Sempena Pesta Gawai yang biasanya disambut pada awal Jun, akan diadakan pertandingan khas bagi pemuda dan pemudi. Bagi kategori wanita, johan digelar Kumang, diikuti Lulong (kedua) dan Selinggar Matahari (ketiga).
Bagi kategori lelaki pula, johan diangkat sebagai Keling, diikuti Laja (kedua) dan Bungai Nuing (ketiga). Maka, gelaran ‘keling’ yang berasal daripada makna pahlawan dalam bahasa Iban adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Sejak 2021, Larry terlibat dalam sembilan pertandingan Keling di mana yang terakhir ialah Keling Kumang Raban Ngepan Iban di Miri pada Ogos 2023 di mana pemuda ini diumum pemenang kategori pakaian terbaik dan bakat terbaik.
“Saya selalu memberi komitmen 200 peratus dalam setiap persembahan, bermula dengan segala persiapan awal. Kalau tidak menang pun tidak mengapa, asalkan juri dan penonton merasai kehadiran saya dengan penampilan unik mewakili etnik Iban,” kata Larry yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik.
PAKAIAN TRADISIONAL
Sesungguhnya penampilan peserta di pentas pertandingan Keling cukup mempesona apabila individu yang berbusana lengkap melakukan gerak tari yang sinonim dengan pahlawan etnik Iban.
Pakaian tradisional lelaki dipanggil Ngepan Iban Laki dan beratnya hampir 15 kilogram. Apabila Larry menyertai pertandingan, dia perlu memakai busana itu selama berjam-jam lamanya sambil cuba memberi persembahan terbaik di pentas bagi penonton dan juri.
Aksesori yang dipakai pada kepala pula dipanggil ‘lelanjang’ yang dihiasi bulu pelepah. Dulu, orang Iban menggunakan pelepah burung kenyalang, tetapi kini mereka menggunakan bulu palsu kerana kenyalang ialah spesis dilindungi. Tali pinggang khas daripada perak pula dipanggil lampit dan turut berperanan memegang sirat iaitu kain yang dililit pada pinggang.
“Saya kagum dengan warisan dan budaya nenek moyang serta berbangga dapat mengetengahkannya menerusi pertandingan Keling. Saya bertanggungjawab menampilkan keunikan pakaian tradisional Iban yang autentik. Tapi tidak cukup sekadar memakai pakaian tradisional dengan segala hiasan dan aksesori jika tidak memahami dan menghayati keunikan serta makna setiap satu daripadanya,” tegasnya.
Pemuda beragama Kristian ini turut berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong minatnya menyertai pertandingan Keling dan mengangkat warisan etnik Iban. Ayahnya, Dian Imang, 56, pemandu jentera berat di sebuah syarikat arang batu, manakala ibunya, Duling Lenjau, 55, seorang suri rumah.
Pada masa sekarang, Larry menjadi model sambilan di sekitar Sibu. Masa lapang diisi dengan mendengar pantun dan lagu tradisional Iban, khasnya dari daerah Kapit iaitu tempat asalnya.
“Selain bapa, saudara mara dan kenalan di sekitar Kapit menjadi sumber rujukan untuk mendalami adat dan budaya masyarakat saya sendiri. Saya cuba menyanyi dan mempersembahkan lagu-lagu bahas Iban. Ternyata bidang seni persembahan di universiti dahulu membantu,” kata pemuda yang agak pemalu ini.
Bercakap tentang masa depan, Larry berharap dapat meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan di UPSI. Dia ada impian serampang dua mata iaitu selain menjadi guru yang melaksanakan tugas hakiki, Larry juga mahu mendedahkan para pelajar dengan keunikan budaya dan adat etnik Iban agar tidak pupus ditelan zaman.
Tentu sahaja saya ingin tahu rancangan Larry dalam menyertai pertandingan Keling pada masa depan. Katanya, dia berharap dapat menyertai dua pertandingan setiap tahun.
“Syarat pertandingan Keling adalah peserta berumur 18 hingga 35 tahun, serta masih bujang dan tidak pernah berkahwin. Saya mungkin tidak akan terus bertanding sehingga umur 35 tahun. Sebaliknya, saya amat berharap dapat menjadi mentor atau pembimbing kepada bakat muda yang benar-benar berminat mengangkat dan mempertahankan warisan tradisi Iban,” kata Larry yang menyimpan impian dapat bertanding pada peringkat antarabangsa sebelum bersara.
Menyertai pertandingan Keling bukan setakat memperagakan pakaian tradisional dan gerak-geri pahlawan Iban. Sebaliknya, peserta perlu ada kapasiti mental untuk menjawab soalan daripada jari.
“Peserta bukan hanya perlu kacak dan sedap dipandang mata. Perlu ada pengetahuan am dan tahu isu-isu semasa. Selain itu, tentulah perlu tahu adat dan budaya tradisional etnik diwakili supaya benar-benar dapat mengangkat dan memperagakan keunikan sewaktu tampil di pentas,” ujar Larry berdasarkan pengalaman.
Pemuda ini berbangga kerana etnik Iban masih utuh mempertahankan budaya dan tradisi walaupun berdepan pelbagai cabaran dan halangan. Sehingga kini, budaya Iban masih berkait erat dengan perkara-perkara mistik yang mungkin sukar difahami orang luar.
“Saya amat berbangga dengan keunikan budaya Iban. Saya harap kehadiran saya di pentas pertandingan Keling dapat membuka mata generasi muda pelbagai etnik di Malaysia. Mengejar pemodenan tidak bermakna kita perlu tinggalkan tradisi nenek moyang,” pesan Larry pada hujung perbualan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










