Akta Orang Asli perlu diperkukuh

Akta Orang Asli perlu diperkukuh

ORANG Asli di Malaysia turut menerima perlindungan khusus di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd. Nor melihat peruntukan sebanyak RM333 juta bagi komuniti Orang Asli dalam Belanjawan 2024 sebagai bukti keprihatinan dan sokongan Kerajaan Perpaduan bagi membangun, memaju dan memperkasa masyarakat itu.

Sebagai penduduk pribumi di tanah pertiwi ini, tentulah hak, peluang dan masa depan Orang Asli perlu sentiasa dipelihara dan dilindungi. JAKOA membahagikan kominiti ini kepada tiga suku kaum utama iaitu Negrito (Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq, Lanoh), Senoi (Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semaq Beri, mah Meri) dan Melayu Proto (Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kuala, Orang Seletar, Orang Kanaq).

Selain Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap individu, Orang Asli di Malaysia turut menerima perlindungan khusus di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan dipinda kerana mengekang hak komuniti tersebut.

Hampir setahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pindaan Akta 134 akan dibuat dalam perkara membabitkan isu pendaftaran perkahwinan, kelahiran, kawasan rayauan Orang Asli dan soal pemilikan tanah komuniti itu.

JAKOA juga terlibat dalam usaha membuat kajian dan sesi libat urus untuk memperkasakan Akta 134. Pada Ogos tahun lalu, Ketua Pengarahnya melahirkan harapan agar dalam masa lima hingga 10 tahun, Orang Asli akan memiliki tanah setaraf atau sama dengan masyarakat perdana yang bergeran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengaku wujud perbezaan dan pertindihan bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membabitkan isu tanah Orang Asli.

Pada masa sama, Orang Asli di Kampung Kelaik, Pos Blau, Lojing, Kelantan misalnya menggesa kerajaan negeri mewartakan tanah adat di situ kerana terdapat usaha pihak luar meneroka tanah itu bagi perladangan kelapa sawit, durian dan perlombongan.

TELITI SEMULA
Segala berita dan perkembangan ini menarik minat saya untuk meneliti semula Akta Orang Asli 1954 (Pindaan 1974) untuk mengetahui sejauh mana perlindungan sebenar dijamin bagi Orang Asli dalam isu-isu seperti tanah adat dan hak-hak lain.

Seksyen 3 memberi takrif bagi Orang Asli dalam konteks negara kita. Perlu ditegaskan bahawa jika seorang individu meninggalkan kepercayaan asal dan memeluk agama lain, dia masih dianggap Orang Asli selagi masih bercakap mana-mana bahasa Orang Asli dan mengamalkan adat serta budaya komuniti itu.

Seksyen 6 dan Seksyen 7 secara jelas dan terperinci menyentuh perihal kawasan Orang Asli serta rizab Orang Asli. Misalnya, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan kawasan berpenduduk majoriti Orang Asli sebagai ‘Kawasan Orang Asli’. Maka, kawasan itu tidak boleh dijadikan Tanah Rizab Melayu atau diberi hak milik, dipajak atau dilupuskan kepada pihak bukan Orang Asli.

Tanah Rizab Orang Asli pula hanya boleh diiktiraf jika komuniti berkenaan tinggal kekal di tempat itu. Maknanya, tanah rizab boleh diwartakan di dalam kawasan Orang Asli. Kedudukan tanah rizab juga lebih terjamin berbanding status kawasan Orang Asli.

Di bawah Seksyen 8, hak menduduki tanah selain kawasan dan rizab Orang Asli boleh diberi kepada individu, keluarga dan masyarakat Orang Asli tanpa bayaran sewa.

Tanah milik Orang Asli juga dilindungi di bawah Seksyen 9 seperti dinyatakan tiada Orang Asli boleh memindahkan hak milik, memajakkan, menggadai janji atau selainnya melupuskan mana-mana tanah kecuali dengan persetujuan ketua pengarah.

Kita tahu mengenai Enakmen Rizab Melayu 1935 yang diguna pakai sehingga kini untuk melindungi tanah milik orang Melayu. Bagaimana jika ada penduduk Orang Asli di kawasan yang kemudian diiktiraf Tanah Rizab Melayu?

Mengikut Seksyen 10 Akta Orang Asli 1954, komuniti itu boleh terus bermastautin di kawasan berkenaan. Jika perlu, warta berkaitan Rizab Melayu hendaklah diubah suai supaya tidak bercanggah dengan hak Orang Asli untuk terus bermastautin di tanah terbabit. Jika kerajaan negeri mahu Orang Asli keluar dari kawasan itu, maka perlu dibayar pampasan setimpal mengikut Seksyen 12.

Kes tanah Orang Asli diceroboh juga selalu dilaporkan di media. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang hak asasi mungkin tampil bersuara bagi pihak Orang Asli yang menjadi mangsa.

Sebenarnya, perihal larangan mana-mana individu atau kumpulan memasuki Kawasan Orang Asli dan Rizab Orang Asli sudah termaktub dalam Seksyen 14 dan Seksyen 19. Menteri boleh mengeluarkan perintah dan disiarkan sebagai warta, lalu sesiapa yang melanggar perintah itu boleh ditangkap tanpa waran oleh Ketua Pengarah JAKOA atau pegawai polis.

Sebagai tambahan, Seksyen 15 memberi kuasa kepada ketua pengarah dan pegawai polis untuk menahan orang luar yang berada di kawasan Orang Asli dan disyaki melakukan aktiviti yang memudaratkan kebajikan komuniti itu. Sesungguhnya, mana-mana pihak yang memasuki kawasan Orang Asli dengan tujuan memujuk mereka meninggalkan anutan asal juga boleh ditahan dan diusir.

Hak pendidikan bagi anak-anak Orang Asli turut diberi tumpuan dalam Akta 134 di bawah Seksyen 17. Selain tidak boleh dihalang daripada belajar di sekolah, anak-anak Orang Asli juga tidak boleh dipaksa mengikuti mana-mana kelas agama.

Hal-hal berkaitan urusan mengambil anak Orang Asli sebagai anak angkat juga diperincikan dalam akta ini. Individu bukan daripada komuniti itu tidak boleh mengambil sebagai anak angkat, memelihara, menjaga atau mengawal anak Orang Asli.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya.

Saya bersetuju bahawa Akta Orang Asli 1954 perlu dikemas kini dan diperkukuh bagi memastikan hak Orang Asli terpelihara sepenuhnya, serta tidak ada ruang untuk mana-mana pihak menggugat hak, adat dan tradisi komuniti berkenaan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×