Agong payung menyatu rakyat

Agong payung menyatu rakyat

TUANKU Al-Sultan Abdullah umpama payung yang menaungi dan menyatukan seluruh rakyat jelata dan pastinya segala sifat mulia Baginda akan sentiasa dirindui.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNGKAPAN ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ sudah sebati dan sinonim dengan manifestasi hubungan akrab Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan rakyat jelata di Pahang, menggambarkan keprihatinan Tuanku menjaga kebajikan rakyatnya. Maka tanggal 30 Januari ini genap lima tahun Tuanku Al-Sultan Abdullah ‘permata hati’ rakyat Pahang yang bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara.

Sepanjang tempoh tersebut, Tuanku menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora termasuk kemelut politik tanah air. Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa baginda adalah satu-satunya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang memberi keafiatan memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

Sebagai rekod, baginda menaiki takhta YDPA ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletak jawatan pada 6 Januari 2019.

Raja-Raja Melayu secara kolektif adalah payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Institusi YDPA bukanlah bersifat istiadat dan pengesahan semata-mata sahaja. Ia berperanan sebagai nilai tambah semak dan imbang kepada tiga cabang badan pembahagian kuasa iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman agar pentadbiran negara berada di atas landasan yang betul selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kemelut politik bermula pada 2020 apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 23 Februari. Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Jemaah Menterinya juga terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri adalah Ketua Jemaah Menteri yang dilantik oleh YDPA untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas baginda.

Langkah mengejut ini menyebabkan ketua-ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat dipanggil menghadap YDPA bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri baharu. Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat perkenan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 29 Februari 2020 selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Negara.

Pada 16 Ogos 2021, negara sekali lagi menyaksikan perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri . Bagi pemilihan Perdana Menteri ke-9, melalui strategi diplomasi bijaksana Al-Sultan Abdullah, seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui negara.

Pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan setelah berlakunya beberapa siri pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri.
Memandangkan tiada satu pun blok parti mendapat majoriti mudah, maka berlakunya gabungan kerjasama beberapa parti politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain untuk mencapai majoriti dua pertiga bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil.

Menerusi Perkara 43(1), YDPA berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 berdasarkan sesi perbincangan khas dan musyawarah bersama Raja-Raja Melayu selaras dengan kuasa Baginda diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah manifestasi bukti kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku dalam memilih calon yang betul-betul layak, mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan mampu menerajui sesebuah kerajaan dengan stabil demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Tempoh pemerintahan Baginda bukan hanya teruji dengan kemelut politik, malahan turut diselubungi penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara terpaksa menempuh perintah kawalan pergerakan.

Peristiwa-peristiwa ini menuntut kebijaksanaan YDPA dalam menjalankan tugas terutama mengawal suhu politik yang tidak menentu dan dalam masa sama, menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara supaya tidak berlaku konflik yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman.

Bersandarkan pengalaman, seni diplomasi yang tinggi serta kecekapan tadbir urus sepanjang berada di teraju Kerajaan Persekutuan, tentunya akan dapat memberi manfaat dan limpahan nikmat buat rakyat dan Pahang sempena keberangkatan pulang Tuanku pada 30 Januari ini.

PENCAPAIAN
Sorotan pencapaian sepanjang tempoh lima tahun lalu yang wajar kita sama-sama imbas kembali, dengan penuh rasa bangga dan syukur, berkat bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar daripada Tuanku sepanjang mengurus tadbir Kerajaan Negeri Pahang.

Pertamanya adalah prestasi kutipan hasil pendapatan negeri yang konsisten saban tahun. Sehingga berakhir tahun 2023, jumlah kutipan hasil kerajaan negeri adalah sebanyak RM1.306 bilion, berbanding sasaran yang ditetapkan RM1.083 bilion. Ini bermakna kerajaan negeri sudah berjaya mencapai 102.84 peratus sasaran yang ditetapkan.

Pencapaian ini amat membanggakan memandangkan kerajaan negeri berjaya mengekalkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama dua tahun berturut-turut, sekali gus meletakkan Pahang setanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor dan Johor.

Keduanya, kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM16.441 bilion. Pada tahun ini, sehingga 28 November 2023, Pahang mengumpul pelaburan berjumlah RM16.441 bilion. Pelaburan tersebut melibatkan RM4.775 bilion pelaburan domestik dan RM11.666 bilion pelaburan asing. Statistik ini adalah petunjuk jelas keyakinan para pelabur terhadap potensi serta kestabilan di negeri ini.

Ketiga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang mencatat 10.8 peratus bagi tahun 2022. Ekonomi Pahang mencatat pengembangan ketara dengan nilai KDNK RM61.4 bilion, naik daripada 2021 dengan nilai RM55.4 bilion , mengatasi pertumbuhan 8.7 peratus di peringkat nasional. Kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi aspirasi menjadi antara negeri maju.

Dan keempat, pengurangan hutang daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta dalam tempoh empat tahun, yang mana telah berjaya mengurangkan sebanyak 71.24 peratus hutang kerajaan negeri.

Kita yakin dan percaya sekembalinya Tuanku ke bumi Pahang, prestasi dan pencapaian Pahang akan dapat dipacu dengan lebih baik sebagai sebuah negeri maju.

Mewakili kerajaan negeri dan rakyat jelata, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih serta ikrar taat setia ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku setelah selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA ke-16.

Sesungguhnya Tuanku umpama payung yang menaungi dan menyatukan seluruh rakyat jelata dan pastinya segala sifat mulia yang telah Tuanku serlahkan akan sentiasa dirindui oleh rakyat jelata di negara ini.

Selepas ini Tuanku akan kembali semula ke Pahang sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Insya-Allah, Pahang Darul Makmur akan terus aman, makmur dan sejahtera di bawah pemerintahan dan naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Daulat Tuanku.-UTUSAN

DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ialah Menteri Besar Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×