Tak perlu tunggu 2024 nak betulkan matlamat

Tak perlu tunggu 2024 nak betulkan matlamat

SETAHUN berlalu, kerajaan yang diberi mandat menerajui pemerintahan negara sedikit sebanyak sudah menampakkan kesan positif. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU benar niatnya jujur, santunkan tingkah, jagalah tutur. Sebarang penyelesaian bukan semudah dicapai melalui ungkap dan kata tetapi perlu disusuli tindakan padu, ikhlas di jiwa. Catatan ini bukan sekadar mengatur patah bermadah tetapi menjurus kepada seruan supaya dunia politik yang menjadi landasan kehidupan bernegara dapat dimurnikan demi kebaikan semua.

Sudah di penghujung tahun. Gelora politik tanah air kelihatannya masih tercari-cari ‘jalan pulang.’ Ruginya masa dan tenaga melayani karenah pertelagahan politik sehingga ada yang baik sukar diterima, yang samar mahu diyakinkan.

Setahun berlalu, kerajaan yang diberi mandat menerajui pemerintahan negara sedikit sebanyak sudah menampakkan kesan positif. Sepatutnya diberi sokongan dan dukungan ke arah membina kemajuan negara, memakmurkan kehidupan rakyat.

Kestabilan politik penting. Melaluinya negara dapat ditadbir urus dengan lancar, banyak kesan kebaikan diperoleh. Perancangan untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat dapat ditumpu dengan lebih fokus tanpa banyak gangguan. Dunia luar kagum dan yakin. Suasana begitu ada daya tarikan untuk para pelabur datang melabur dengan mudah. Hasilnya, negara dan rakyat mendapat faedah.

Jaga tutur kata. Dengan kata-kata, ada kala hanya boleh menjarakkan sebarang usaha atau impian untuk bertaut kerjasama, menghimpun perpaduan. Perlu apa melabelkan munafik, menuduh mengkategorikan Islamik atau tidak kepada pihak yang dianggap lawan? Sedangkan Islam tidak menggalakkan cemuhan keterlaluan dan tuduhan buruk, lebih-lebih lagi sesama bangsa dan agama.

Menyuarakan pandangan tidak dilarang, malah ada ketikanya memang digalakkan. Khalifah Omar Al-Khattab mengamalkan sikap terbuka menerima kritikan atau pandangan rakyat dalam pemerintahannya. Tidak salah mengemuka idea dan pandangan. Boleh diguna sebagai elemen imbang tara (check and balance).

Namun, yang penting, sebarang teguran dan pandangan biarlah bercorak membina. Menegur biar beralas, mengajar biarlah ikhlas. Semuanya biarlah benar-benar demi kebaikan. Cukup-cukuplah bermain dengan slogan mengaitkan agama semata-mata mahu meraih sokongan politik. Islam bukan milik mutlak mana-mana parti politik.

Siapalah sangat yang boleh mendabik dada, mendakwa sudah terlalu pandai dan efisien memerintah negara. Semua parti sudah berpeluang berada di Putrajaya, mentadbir urus negara. Jadi, rakyat sudah boleh ukur dan sukat sejauh mana prestasi mana parti yang gagah dan berupaya. Buktikan pada tindakan, bukan berdolak-dalik dengan seribu alasan apabila mandat sudah diberi rakyat.

KONGRES EKONOMI

Pun, awasilah bertutur menyebut, mengungkit, menyuara hal-hal yang boleh mengguris, menjentik perasaan mana-mana pihak. Hentikan kata-kata berbaur provokasi perkauman. Perlu apa dikaitkan jawatan Perdana Menteri dengan sesuatu bangsa? Juga, wajarkah dipersoal, ditegur kalau pun bumiputera bercadang mengadakan kongres ekonomi mereka?

Segala yang tercatat dan ‘semangat’ di sebalik catatan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diakur dan dihormati dengan tulus dan berjiwa harmoni. Kata cendekiawan Melayu, Malaysia sukar harmoni dan berpadu selagi hak-hak keistimewaan dan kedaulatan Melayu cuba digugat dan diganggu.

Istilah ‘jalan pulang’ digunakan untuk menterjemahkan hasrat mencari penyelesaian terbaik bagi kelangsungan berpolitik secara sihat, stabil dan kuat. Jika lebih separuh abad ada parti atau gabungan parti tertentu berjaya membukti keberkesanan memerintah negara, kenapa tidak berpaling menoleh mencari semula parti yang dimaksudkan berkenaan?

Berpolitik, tidak payah mengejar juara hanya bersandar kelemahan pihak lawan. Lebih mengecewakan jika berkempen pada mana-mana pilihan raya hanya meniti pada janji tanpa tersedia dengan perancangan jelas membangun negeri dan membina kehidupan berkualiti bagi rakyat secara serius. Sampai bila rakyat dibiar tergoda dan terperangkap dengan janji yang disemai tanpa mampu ditunai?

Mungkin dianggap sudah terlalu klise apabila setiap menjelang tahun baharu, semua pihak diajak memperbaharui tekad dan usaha mencari formula terbaik membaiki kelemahan demi menggapai kebaikan. Masa tidak pernah terlewat untuk berubah memperbetul kesilapan, mengatur tekad, menjurus tepat pada matlamat. Jika kekuatan ummah itu dapat dibina melalui penyatuan dan jalinan padu persefahaman, maka berlapang dadalah semua!

2023 yang akan melabuh tirai dalam hanya beberapa hari lagi banyak membawa pengajaran dan teladan. Konflik Palestin-Israel yang tercetus sejak 7 Oktober membawa cerita penuh duka dan kecewa. Mesejnya adalah tentang peringatan supaya jangan ada kealpaan, elak perpecahan, mengabai kesatuan dan betapa kelemahan itu sering terdedah pada ancaman dan penindasan, berwaspadalah!

Kesilapan, melakukan secara tidak sengaja, itu lumrah kehidupan. Namun, jika disengaja atau diulang, itu tandanya menempah kemudaratan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×