Taasub media sosialjadikan anak muda ‘bengap’

Taasub media sosial jadikan anak muda ‘bengap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAPORKAN 60.9 peratus generasi Z lebih cenderung berinteraksi di media sosial dan ini memberikan impak tepat bahawa dalam kalangan generasi negara hari ini adalah merupakan pengguna internet tegar, iaitu terdapat 17.5 juta pengguna internet, 11 juta pemilik akaun media sosial Facebook dan sejumlah dua bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) setahun diaktifkan oleh pengguna di negara ini. Jumlah ini menurut kajian akan terus bertambah dengan pesatnya pada tahun-tahun mendatang.

Berdasarkan kajian, media sosial secara umumnya diklasifikasikan kepada projek kolaboratif, blog, komuniti kandungan, laman rangkaian sosial, dunia permainan maya dan dunia sosial maya. Menurut Safko (2010) pula, beliau mengkategorikan media ini daripada penelitiannya iaitu terdiri daripada rangkaian sosial, perkongsian gambar, audio, video, blog mikro berbeza, penstriman langsung, dunia maya, permainan dalam talian, aplikasi produktiviti, pengagregat, suapan RSS, carian, peranti mudah alih dan komunikasi antara perorangan (interpersonal).

Nadi kehidupan hari ini dijanakuasakan oleh rangkaian teknologi media dan komunikasi yang tanpa sedar menguasai aras berfikir, taraf budaya, taakulan upaya diri, malah termasuk komunikasi dan interaksi sosial yang dikatakan lebih meluas.

Namun, sebaliknya menjadi amat terhad dan terbatas kepada individu secara bersemuka berbanding interaksi yang berlaku sehingga berbilion antara satu sama lain antara individu mahupun dalam negara ataupun melibatkan antarabangsa secara maya mahupun media sosial.

Pelbagai natijah akibat keterujaan individu atau sekelompok masyarakat hari ini berkaitan pojokan mahupun hebahan berupa strategi memperdaya dengan matlamat jahat, sama ada penipuan pekerjaan, pelaburan tidak wujud dan pelbagai lagi agenda dijalankan secara halus dan terancang bagi memperdaya mangsa khususnya golongan sasaran yang dikenal pasti melalui kemajuan teknologi ini. Apa yang dibimbangkan, kemajuan teknologi yang dicapai pada era kini tidak mengimbangi tingkat kemajuan berfikir generasi negara kepada satu-satu perkara atau isu.

Berdasarkan penelitian pakar juga, faktor utama menyebabkan pengguna begitu mudah memilih untuk melibatkan diri dalam rangkaian komunikasi sedemikian kerana dikatakan bagi meraih keseronokan, meluaskan pergaulan dan rangkaian sahabat khususnya dalam interaksi sosial, pencarian maklumat, mengisi masa terluang, meneroka pelbagai hiburan yang disediakan oleh penyedia kandungan, bersantai, kepuasan komunikasi, lebih selesa hanya dari hujung jari, cepat mengekspresikan pendapat serta lontaran pemikiran, perkongsian maklumat dan kritikan serta pengawasan maklumat semasa.

Perkembangan pesat berlaku lebih dua dekad berkaitan teknologi komunikasi maklumat (ICT) ini haruslah ditangani dengan penuh hikmah oleh semua kita. Berada dalam tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik Covid-19, kini generasi negara ini sudah tidak boleh lagi terpisah dengan peranti mereka walaupun anak kecil. Hal demikian ini dibimbangi akan menjejaskan psikomotor serta psikologi kanak-kanak dan remaja yang telah mencapai ketagihan penggunaan media sosial mahupun peranti digunakan.

Menyedari hal ini, bagaimana kita dapat menerobos kandungan-kandungan tersedia dalam media sosial dihasilkan oleh setiap individu yang berhasrat meraih laba berbanding menterjemahkan elemen pendidikan? Walaupun terdapat kandungan yang boleh membina kendiri pendidikan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja contohnya, kandungan sedemikian tidak begitu digemari oleh mereka. Kandungan bersifat keseronokan dan membawa mereka jauh dari akar jati diri lebih mudah menawan hati mereka.

Selain itu, media sosial juga merupakan medium yang berisiko merapuhkan benteng pertahanan patriotisme rakyat sekiranya tiada pemantauan serius dilakukan oleh badan berwajib. Malah dalam situasi tertentu, kerancuan bahasa dilihat berlaku begitu berleluasa di medium seperti ini. Kawalan kendiri amat penting dalam menentukan upaya hala diri dalam mengendalikan media sosial khususnya berkaitan kewujudan isu-isu sensitif yang boleh meningkatkan suhu polemik atau perbalahan masyarakat.

Bukan masaya tepuk dada tanya selera! Tapi bukalah mata hati, tajamkanlah arus minda kerana menerusi data dilaporkan, seminit nafas yang anda nikmati itu, apakah yang berlaku kepada trafik maya? Apakah kita telah mempunyai pasukan yang cukup dan bersedia untuk mendepani cabaran pemerkasaan kandungan maya kepada pengguna internet di negara ini dan seluruh dunia? Apakah visi dalam kita rancak serta proaktif meraikan kecerdasan buatan (AI)? Sudahkah kita rancang dengan teliti dan berkesan kandungan-kandungan untuk kita muat naik atau kita kongsikan menerusi medium media interaktif ini? – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia; Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia. RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×