Siapa dalang tanah rizab Melayu mengecil?

Siapa dalang tanah rizab Melayu mengecil?

BANYAK pihak bimbang sekiranya harta dan maruah orang Melayu termasuk tanah rizab Melayu tergadai sehingga memaksa kaum itu merempat dan mengemis di bumi sendiri. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI semasa ke semasa, saya menulis topik berkaitan Enakmen Rizab Melayu (ERM) yang diperkenalkan British pada 1 Januari 1914 untuk melindungi tanah rizab Melayu. Objektif dan matlamat ERM amat jelas.

Pertama, menyekat tanah kerajaan dalam kawasan rizab Melayu dilupuskan dengan apa-apa cara kepada bukan Melayu. Kedua, menyekat tanah berkenaan dibuat apa-apa urus niaga persendirian antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Namun begitu, nampaknya apa-apa yang termaktub dalam ERM, Wasiat Raja-raja Melayu (1957) dan Perlembagaan Persekutuan tidak sepenuhnya diperjuangkan, dipertahankan dan dilindungi sebagaimana patut.

Kalau dalam peristiwa keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka (1511), kita menyalahkan watak seperti Si Kitol dan Raja Mendeliar, siapakah pula dalang di sebalik isu tanah rizab Melayu semakin berkurangan pada masa sekarang?

Untuk tujuan perbincangan ini, saya mengambil secara khusus kes di Perak. Bernama (25 Mei 2023) melaporkan, keluasan tanah rizab Melayu di Perak pada 2019 ialah 950,326 hektar tetapi menurun secara drastik kepada 950,056 hektar (2020).

Kemudian berjaya ditambah menjadi 953,042.67 hektar (2021) dan 953,075 hektar (2022). Jumlah sehingga Mei lalu ialah 953,178.52 hektar dan meningkat secara mendadak kepada 955,587.8 hektar pada Julai.

Peningkatan itu susulan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada 5 Julai mengisytiharkan kawasan seluas 2,409.28 hektar di daerah Perak Tengah, Batang Padang, Kampar dan Muallim sebagai tanah rizab Melayu.

Namun begitu, isu di Sitiawan belum selesai. Mula-mula didedahkan tanah rizab Melayu seluas 641.6 hektar dipindah milik kepada orang bukan Melayu sejak 2005.

Laporan Audit Negara (2019) yang dibentang di Dewan Rakyat pada 28 September 2021 mengesahkan kes pindah milik tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu di mukim Jaya Baru dan Sitiawan meliputi tanah seluas 3,214.084 hektar.

Sebenarnya, pembatalan status tanah rizab Melayu bukan sesuatu yang baharu. Pada Mac 2013, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mewartakan pembatalan status tanah seluas 14.67 hektar di Teluk Senangin, Lumut. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula pada September 2020 mendedahkan insiden tanah rizab Melayu seluas 649.19 hektar di Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu.

Naib Presiden Putra waktu itu, Datuk Hamidah Osman sekali lagi menarik perhatian ramai pada Januari 2021 menerusi kenyataan bahawa tanah 641.6 hektar di Sitiawan ditukar milik kepada orang Cina sejak 2005 untuk dijadikan ladang kelapa sawit. Utusan Malaysia (14 Februari 2021) memetik kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa isu itu sudah selesai dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak. Beliau mengesahkan status tanah itu masih lagi tanah rizab Melayu.

Namun, pada Januari lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan Laporan Audit Negara bahawa pengurusan tanah rizab Melayu di Perak kurang cekap sehingga menyebabkan 3,214 hektar tanah dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah. Tanah seluas 46.7 hektar bernilai RM50 juta di Sitiawan yang dibatalkan status tanah rizab Melayu diganti tanah lain di Kampar hanya bernilai RM12.3 juta.

MEREMPAT, MENGEMIS

Ternyata tindakan ini melanggar ERM dan Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan. Berkaitan pendedahan Laporan Audit Negara, Saarani pada April lalu berkata, tidak timbul sebarang isu kerana walaupun tanah berkenaan kini dimiliki bukan Melayu, statusnya sebagai tanah rizab Melayu masih kekal. Beliau memberi jaminan status tanah rizab Melayu tidak akan hilang walaupun syarikat milik Melayu kemudian dibeli atau berpindah milik kepada pemegang saham bukan Melayu.

Ternyata penjelasan itu kurang meyakinkan ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mahu harta dan maruah orang Melayu tergadai lalu terpaksa merempat dan mengemis di bumi sendiri.

Saya meneliti Akta Syarikat Malaysia (2016) kerana kes di Sitiawan melibatkan isu syarikat Melayu bertukar tangan kepada pemilik bukan Melayu. Sebenarnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) tidak ada hak menyekat atau menghalang perlembagaan syarikat diubah oleh lembaga pengarah kerana ia urusan dalaman.

Kelompangan ini membuka peluang saham syarikat dijual kepada bukan Melayu sekali gus menyebabkan tanah rizab Melayu milik syarikat Melayu berpindah tangan kepada bukan Melayu.

Pada pengamatan saya, situasi ini yang berlaku dalam kes di Sitiawan.

Tanah rizab Melayu itu tidak bertukar tangan kepada bukan Melayu menerusi urusan penukaran hak milik di Pejabat Tanah dan Galian, sebaliknya secara teknikal apabila saham syarikat Melayu dijual kepada bukan Melayu.

Pada Mei lalu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan ‘pisang Sitiawan tidak berbuah dua kali.’ Sementara itu, syarikat bukan Melayu yang kini memiliki 3,214 hektar tanah rizab Melayu diarah menggantikan dengan tanah lain yang sama jenis. Keputusan itu dibantah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kerana jelas melanggar Seksyen 19 ERM dan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Saya bersetuju dengan hujah MHO bahawa Seksyen 380, Seksyen 417 dan Seksyen 419 Kanun Tanah Negara (1965) boleh digunakan untuk menyelesaikan isu ini, umpama menarik rambut di dalam tepung. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×