BEBERAPA bulan kebelakangan ini terdapat beberapa kritikan mahupun cadangan dibuat oleh pelbagai pihak ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan. Sesetengahnya dikemukakan oleh pemimpin pembangkang dari Perikatan Nasional (PN).
Antara mengkritik keras ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa kali mendesak kerusi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang kosong sejak Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia 23 Julai lalu dilantik segera.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin juga pernah mencadangkan kerajaan perpaduan mewujudkan jawatan Menteri Kewangan II bagi melicinkan urusan pentadbiran kerana negara dikatakan memerlukan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa.
Selain itu, daripada pemimpin parti-parti politik utama yang membentuk kerajaan perpaduan juga ada cadangan dikemukakan. Antaranya cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula.
Ada juga muncul dalam media arus perdana dan media sosial, harapan supaya beberapa menteri yang dikatakan tidak mencapai tahap prestasi memuaskan atau terpalit dengan siasatan rasuah digugurkan atau ditukar ke portfolio lebih bersesuaian.
Cadangan lain ialah dimasukkan bekas-bekas menteri berpengalaman dan tokoh-tokoh profesional ke dalam jemaah menteri bagi memastikan lebih mantap disebabkan beberapa menteri yang ada adalah muka baharu.
Selain itu, cadangan beberapa kementerian dengan portfolio besar dipecahkan dua bagi meringankan bebanan tugas menterinya kerana keberkesanan pentadbiran dikatakan jauh lebih penting berbanding sedikit kenaikan kos.
Anwar pastinya sedar dengan segala kritikan dan cadangan ini tetapi pada masa sama tugas beliau tidak mudah. Beliau bukannya mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai empat parti tetapi kerajaan perpaduan yang dianggotai 19 parti.
Dalam memorandum persefahaman kerjasama antara lima gabungan utama membentuk kerajaan perpaduan pada 16 Disember 2022, ada tercatat syarat-syarat perlu dipatuhi jika rombakan Kabinet mahu dibuat.
PROFESIONAL
Antaranya, Perdana Menteri berhak merombak dan merubah jumlah, portfolio dan lantikan jemaah menteri tetapi mesti mendapat persetujuan majoriti ketua-ketua parti. Portfolio jemaah menteri juga hanya boleh diagihkan setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua parti lain dan hendaklah berkadar dengan jumlah ahli Parlimen setiap parti.
Walaupun begitu, dalam kekangan yang ada, semalam Anwar akhirnya menunjukkan beliau adalah seorang Perdana Menteri yang prihatin dan responsif kepada apa sahaja kritikan mahupun cadangan dibuat rakyat termasuk pemimpin pembangkang.
Cadangan supaya kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diisi segera dipenuhi dengan melantik Datuk Armizan Mohd. Ali. Pada masa sama, kuota menteri untuk Parti Amanah Negara (Amanah) tidak terganggu kerana diberikan pula jawatan Menteri Kesihatan melalui Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang pernah menjadi Menteri Kesihatan dalam era kerajaan PH pada sesi 2018-2020. Cadangan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula juga dipenuhi dengan Dr. Zaliha Mustafa diberikan jawatan itu dari Kementerian Kesihatan.
Cadangan supaya dimasukkan bekas-bekas menteri berpengalaman ke dalam jemaah menteri juga dipenuhi Anwar dengan memasukkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari UMNO dan Gobind Singh Deo dari DAP sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Menteri Digital.
Dua lagi bekas menteri juga dimanfaatkan pengalaman mereka. Mereka ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Begitu juga cadangan supaya dimasukkan tokoh-tokoh profesional yang turut dipenuhi melalui pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II serta Profesor Dr. Zulkifli Hassan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pelantikan Amir Hamzah dilihat paling menarik kerana ia sekali gus memenuhi saranan supaya diwujudkan jawatan Menteri Kewangan II bagi meringankan bebanan tugas Perdana Menteri.
Cadangan supaya beberapa kementerian dengan portfolio besar dipecahkan dua juga diambil kira. Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan dua menjadi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital manakala Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Hanya seorang menteri, iaitu V. Sivakumar dari DAP manakala Ramkarpal Singh juga dari DAP, adik Gobind Singh Deo dan Datuk Siti Aminah Aching dari UMNO digugurkan daripada jawatan timbalan menteri. Begitupun, pengguguran dua wakil DAP ini diimbangi kemasukan tiga wakil lain, iaitu Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Sumber Manusia selain Gobind Singh dan Kulasegaran. Begitu juga UMNO yang mendapat jawatan baharu melalui Johari dan Noraini.
Pertukaran beberapa portfolio lain juga adalah penting bagi memantapkan lagi perjalanan pentadbiran kerajaan perpaduan khususnya dari aspek tata kelola kerana menjadi pengetahuan umum, rasuah dan penyalahgunaan kuasa lebih sukar bertapak bila seseorang penjawat tidak lama di sesuatu tempat.
Secara ringkasnya, rombakan Kabinet ini adalah langkah terbaik pernah dibuat oleh Anwar. Ia akan mendiamkan mulut pemimpin pembangkang kerana kritikan dan cadangan mereka telah diterima. Pada masa sama, ia juga akan memuaskan hati parti-parti komponen selain membantu melonjakkan prestasi kerajaan perpaduan. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).










