Reformasi berterusan di Kementerian Pendidikan Tinggi

Reformasi berterusan di Kementerian Pendidikan Tinggi

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI peneraju sektor pendidikan tinggi khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkongsi keterkejutan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan pertukaran portfolio beliau daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada Kementerian Pertahanan dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Rata-rata warga pendidikan tinggi amat selesa dan berpuas hati dengan prestasi cemerlang Mohamed Khaled sewaktu menerajui KPT. Beliau mempunyai visi yang jelas sejak hari pertama menjejakkan kaki di KPT, iaitu untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan segala institusi dan agensi kerajaan khususnya terhadap sektor pendidikan tinggi negara.

Visi ini beliau perincikan dalam ucapan perutusan tahun baharu pada 30 Januari. Ada 11 azam beliau umumkan termasuk segala yang KPT dan semua agensi di bawahnya lakukan mesti menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat. Penilaian semula kedudukan KPT secara keseluruhan juga dirancang untuk dilakukan.

Azam-azam lain beliau termasuklah mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi, melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), meningkatkan kualiti dan kecemerlangan akademik, memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan serta memperkasakan mahasiswa.

Visi ini beliau segera laksanakan dengan menubuhkan segera satu Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang kemudiannya menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengenal pasti bidang-bidang pendidikan tinggi perlu diperbaiki yang terangkum dalam 58 isu berkeutamaan tinggi.

Cadangan-cadangan utama dikemukakan oleh NRC membabitkan enam akta perlu dipinda, 11 dasar atau instrumen dasar perlu ditambah baik serta empat dasar atau entiti baharu perlu diwujudkan. Ini telah dipamerkan kepada orang awam bagi mendapatkan maklum balas mereka pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara pada 23 Oktober.

Dalam ucapan Anwar yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah Yusof dalam majlis perasmian penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini, Perdana Menteri sendiri menyatakan menyokong reformasi pendidikan tinggi serta menyifatkan secara keseluruhannya cadangan-cadangan dikemukakan oleh NRC sebagai amat baik.

Anwar juga menyebut, beliau yakin cadangan-cadangan NRC mampu membawa anjakan dan merubah status quo ekosistem pendidikan tinggi negara. Beliau juga menyatakan keyakinan kepimpinan KPT di bawah Mohamed Khalied mampu melaksanakan perubahan dengan lebih cepat dan berkesan.

Kerangka reformasi pendidikan tinggi ini baharu sahaja dibentuk dan memerlukan masa agak panjang untuk dilaksanakan sepenuhnya, apa lagi dengan jangkaan Anwar bahawa beliau dapat merasakan lebih banyak lagi pembaharuan demi pembaharuan bersifat monumental menyusul di KPT selepas ini. Oleh itu, pertukaran Mohamed Khaled dari KPT memang mengejutkan.

KENAIKAN PANGKAT

Apa yang jelas, pertukaran Mohamed Khaled ke Kementerian Pertahanan bukanlah kerana masalah prestasi. Sebaliknya, prestasi beliau di KPT amat cemerlang dan pertukaran ini dianggap banyak pihak sebagai semacam satu kenaikan pangkat.

Sayangnya, Mohamed Khaled tidak sempat menyempurnakan reformasi pendidikan tinggi yang sudah beliau gagaskan dengan mantap.

Walaupun sedih mahu melepaskan Mohamed Khaled pergi ke tempat baharu, kami warga IPT mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Pendidikan Tinggi. Kami percaya latar belakang pendidikan dan pengalaman beliau yang kukuh, reformasi pendidikan tinggi pasti akan mampu disempurnakan.

Salah satu kelebihan Zambry adalah kemahiran rentas bidang beliau. Ijazah sarjana muda dan sarjana beliau dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah dalam bidang Pembangunan Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa serta Pemikiran Islam. Satu lagi ijazah sarjana beliau dari Universiti Temple, Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat adalah bidang Falsafah Politik dan Perbandingan Agama manakala ijazah doktor falsafah (PhD) dari universiti sama juga dalam bidang Pemikiran Politik.

Zambry mempunyai keistimewaan sebagai antara beberapa sarjana yang mengkaji dengan teliti kedinamikan agama dan politik di Malaysia melalui tesis bertajuk Religion and politics: The search for political legitimacy of the Pan-Islamic Party of Malaysia.

Zambry juga mempunyai pengalaman berkhidmat di IPTA. Ini termasuklah menjadi koordinator kursus bagi Pusat Matrikulasi UIAM, Ketua Pembangunan Kurikulum dan Islamisasi Jabatan Sains Politik UIAM, Pembantu Profesor Jabatan Sains Politik UIAM dan lain-lain.

Zambry malah pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Adjung di Jabatan Sains Politik UIAM dan Professor of Practice di Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) beberapa ketika dahulu.

Selain itu, ketika menjawat jawatan Exco kerajaan negeri Perak, beliau pernah diberi portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Inovasi, Sains dan Teknologi dan Pelajaran Tinggi Negeri Perak yang sekali gus menjadikan pelajaran tinggi sebagai sesuatu yang dekat dengan beliau.

Dengan latar belakang kuat dalam bidang pendidikan tinggi ini, termasuk pengalaman luas sebagai Menteri Besar Perak dan Menteri Luar, sudah pastilah Zambry lebih daripada layak untuk menerajui dan seterusnya menyempurnakan reformasi pendidikan tinggi. – UTUSAN

Profesor Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×