Rasuah sektor awam mungkin lebih berleluasa - Ambrin - Utusan Malaysia

Rasuah sektor awam mungkin lebih berleluasa – Ambrin

AMBRIN BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENDEDAHAN Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai ketirisan dan pembaziran boleh dikatakan menjadi sebahagian tajuk utama di media-media arus perdana.

Tumpuan sudah semestinya diberikan terhadap kementerian, jabatan atau agensi yang terlibat. Bagaimanapun, persoalannya sampai bilakah isu ketirisan ini terus membelenggu masyarakat di negara ini?

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Ketua Audit Negara, TAN SRI AMBRIN BUANG bagi mendapatkan perspektif beliau, baru-baru ini.

UTUSAN: Pada pandangan Tan Sri, sejauh mana pendedahan LKAN benar-benar diambil perhatian oleh pihak berkuasa dan kerajaan?
AMBRIN: Secara lazimnya, ketua-ketua kementerian, jabatan dan agensi akan mengambil perhatian terhadap teguran audit yang telah dilaksanakan.

Bagaimanapun pada saya persoalan yang lebih penting sebenarnya adakah mereka akan mengambil tindakan pembetulan yang segera dan tindakan punitif yang setimpal seandainya terdapat kes serius seperti boros, pembaziran ataupun penyelewengan dalam pengurusan kewangan mahupun dalam pelaksanaan program-program dan projek awam sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Pada saya, ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa mungkin lebih berleluasa dalam sektor awam berbanding apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Mengapa saya katakan begitu? Sebabnya bilangan laporan audit merupakan peratus yang amat kecil berbanding ribuan program dan projek kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Dalam sampel audit yang terhad itu pun sudah terdapat kes-kes ketirisan dan ketidakpatuhan kepada peraturan serta prosedur operasi standard (SOP), apatah lagi dalam kalangan jabatan dan agensi yang tidak diaudit.

Skop tugasan Jabatan Audit Negara (JAN) akan diperluas meliputi kerangka ombudsman sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pandangan Tan Sri?
Apa pun ia terserah kepada kebijaksanaan kerajaan. Cara bagaimana hendak meluaskan skop JAN dengan merangkumi kerja-kerja ombudsman, itu terpulang.

Lagipun ombudsman menangani bermacam-macam aduan awam selain memberi fokus kepada akauntabiliti serta ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan yang sentiasa berhadapan dengan risiko berlakunya boros, pembaziran mahupun penyelewengan.

Jadi saya berpandangan, skop yang hendak diperluaskan itu biarlah JAN diberi kuasa untuk mengambil tindakan punitif terhadap kes-kes ketirisan yang menyebabkan kerugian serius kepada kerajaan.

Berdasarkan pengalaman Tan Sri, adakah kesalahan berulang jabatan kerajaan sampai ke satu tahap yang serius?
Kalau awak lihat sehingga ke hari ini pun kesalahan sama yang berulang akan terus berulang. Mengapa perkara ini terjadi? Ia disebabkan dalam kalangan perkhidmatan awam kita, tidak ramai yang membaca laporan-laporan audit dan mengambil iktibar daripadanya.

Walhal sebenarnya banyak pembelajaran yang boleh dimanfaatkan hasil dapatan laporan audit yang kita keluarkan.

Adakah orang kita belajar dan berapa ramai yang hendak belajar daripada laporan (audit) yang dikeluarkan? Sebab itu tidak pelik kalau kesalahan serius dengan membabitkan ketirisan, pembaziran dan ketidakpatuhan kepada peraturan serta SOP kerajaan akan terus berulang.

Itu belum lagi menyentuh tentang kerugian ditanggung kerajaan yang berterusan sekiranya aspek akauntabiliti tidak dihiraukan.

Apabila ada ketirisan membabitkan sesebuah jabatan, perlu dikenakan tindakan kepada semua kementerian. Adakah Tan Sri berfikiran tindakan itu wajar?
Pada pandangan saya hanya kementerian, jabatan dan agensi yang terli­bat dengan kes ketirisan serius sahaja wajar dikenakan tindakan punitif selain mereka yang terlibat secara langsung.

Cadangan pindaan Akta Audit 1957 atau penubuhan Suruhanjaya Audit Negara (SAN) mana yang pada fikiran Tan Sri lebih baik dalam memperkasa JAN?
Institusi audit ini memainkan peranan yang sangat penting bagi meningkatkan tadbir urus atau dalam sektor awam.Justeru, untuk pada masa akan datang JAN perlu diperkasakan dan diatasi kekangan serta memastikan ia benar-benar bebas serta profesional selari mengikut piawaian antarabangsa.

Justeru bagi saya, kedua-dua penubuhan SAN sebagaimana pernah saya cadangkan dahulu dan pindaan kepada Akta Audit boleh dibuat bersekali demi memastikan ke arah pemerkasaan JAN.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memohon agar kerajaan memasukkan peranan dan tanggungjawabnya dalam pindaan Akta Audit yang akan dilakukan pada tahun depan?
Apa pun kewajarannya terserah kepada Peguam Negara. Daripada segi tra­di­sinya, apabila LKAN diben­tangkan di Dewan Rakyat, PAC akan menyusulnya dengan mengadakan prosiding-prosiding yang khusus kepada LKAN itu.

Negara manakah contoh terbaik dalam melaksanakan fungsi sebagai SAN?
Filipina telah lama ada Suruhanjaya Audit. Kita boleh kaji kesesuaian dengan mengikut model seperti Filipina.

Harapan Tan Sri terhadap fungsi dan peranan JAN pada masa akan datang?
Saya sangat berharap JAN dapat berfungsi dengan lebih bebas dan profesional termasuk menjalankan tindakan susulan yang lebih berkesan.

Malah dalam masa yang sama saya juga berharap JAN menjalankan tugas berdasarkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan terhadap isu-isu serius yang dibang­kitkan dalam LKAN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN