Nilai gah lagu Melayu di persada dunia

Nilai gah lagu Melayu di persada dunia

KUALA Lumpur menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Komanwel pada 1998. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya membuat liputan acara penyampaian hadiah Rakan Tani Muda Agrobank di sebuah hotel di pinggir Putrajaya baru-baru ini, para pemenangnya bukan orang senang. Saya sedar ini apabila lihat penampilan pakaian murid dari sekolah-sekolah rendah luar bandar seluruh negara itu dengan riak muka teruja kali pertama jejak kaki ke hotel besar.

Meskipun letih dek datang jauh tetapi bersemangat apabila nama sekolah mereka diumum untuk naik ke pentas meraih hadiah berupa cek cura, trofi dan sijil daripada si penganjur.

Ironinya, saya tertarik apabila mereka dilihat spontan, ceria menyanyikan lagu malar segar, Standing in the Eyes of the World yang pernah dilantun oleh Ratu Rock Malaysia, Ella. Dalam hati saya terkesima kerana lagu ini sudah berusia lebih suku abad, tetapi mereka itu yang dikategorikan sebagai generasi Alfa pasca X, Y dan Z mampu menyanyikan dengan baik.

Bagi yang pernah melihat klip video lagu ini bersempena Sukan Komanwel 1998 ketika Kuala Lumpur menjadi hos, tentu menitis air mata kerana ia berkisar kisah kejayaan atlet cacat. Kebetulan, penyampaian lagu ini pada program itu seperti mengimbau suka duka murid miskin tersebut yang membuktikan kekurangan bukan halangan bagi menggapai kejayaan.

Sebenarnya bukan mesej itu yang saya mahu sampaikan, sebaliknya ada cerita menarik di sebalik lagu ini waima pernah dikritik pejuang bahasa kerana tajuk berbahasa Inggeris. Anehnya, kisah ini kurang diberi perhatian apatah lagi cuma dianggap lagu Melayu bertaraf ‘biasa-biasa’ digubah komposer Datuk Wah Idris dengan lirik oleh Datuk Habsah Hassan.

Hakikatnya, tidak ramai tahu, disebabkan seni katanya itu dalam bahasa Melayulah, lagu ini pernah diangkat sebagai runut tema Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) pada 2020. Bayangkanlah, siapa percaya ia berjaya mengatasi jutaan lagu dari pelbagai negara lain tetapi cerita nadir ini ‘senyap’ dek kebetulan isu wabak Covid-19 melanda dunia masa itu.

Keindahan sebutan bahasa Melayu yang unik sehingga menyentuh hati panel juri Jabatan Negara AS di Washington DC sebetulnya mencabar imej kewibawaan bahasa Indonesia. Siapa sangka ketika republik itu gah dengan kemegahan bahasanya diangkat sebagai antara 10 bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lagu Melayu pula lebih hebat!

K-POP

Lucunya, ia boleh dianggap tamparan kepada Indonesia itu sendiri kerana Kedutaan AS yang paling besar di rantau Asia Tenggara terletak di Jakarta, bukannya di Kuala Lumpur.

Begitulah aura Standing in the Eyes of the World dan kisah ini mengimbau kejayaan satu lagi lagu Melayu yang pernah menggegarkan dunia ketika Sukan Olimpik pada 1988 lalu. Temasya dunia berlangsung di Seoul, Korea Selatan itu menyaksikan Raja Ema muncul sebagai artis pertama Malaysia diberikan penghormatan ketika sesi konsert pembukaan.

Bahkan, lagu Mentari Korea dinyanyikannya lebih menonjol berbanding versi sama disampaikan oleh penyanyi popular tuan rumah, Park Hye Ryoung dalam bahasa Korea.

Ketika itu dunia belum ada internet, namun selepas klip video lagu itu disiar kembali stesen penyiaran Korea lebih lima tahun lalu, ramai warganet memuji persembahan Raja Ema. Ini termasuk gaya sebutan seni kata jelas dalam bahasa Melayu tampak segar berbanding artis Korea itu sendiri lebih mengutamakan rentak tarian rancak tetapi lirik ‘tenggelam.’

Setakat ini, belum ada lagi mana-mana penyanyi Malaysia yang diberikan peluang untuk membuat persembahan di Sukan Olimpik dan rekod Mentari Korea itu kekal tanpa diusik sesiapa. Kelakarnya setelah sedekad berlalu, generasi muda negara ini lebih memuja muzik K-pop yang entah apa-apa dan terlupa lagu Melayu yang juga pernah hebat dijulang di bumi Korea.

Kesimpulannya, tidak kira Raja Ema atau Ella, mereka diingati bukan sekadar menyanyi di temasya sukan berstatus antarabangsa, namun lebih manis, bahasa Melayu pun didaulatkan.

Justeru, sesiapa biadab hina bahasa ini konon tiada nilai global, cuba renungkanlah kenapa dua lagu itu dipilih? Kerana apa yang pasti, taraf bahasanya tentu bukan calang-calang.

Malulah dengan Indonesia yang rakyatnya tanpa mengira etnik boleh fasih bertutur dalam bahasa rumpun Melayu itu malahan bangga memartabatkannya tinggi di persada dunia! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×