SEMUA pemimpin menjanjikan kemajuan dalam semua bidang. Itu juga impian kebanyakan daripada kita. Kita mahu melihat tanah watan ini berjaya menjadi sebuah negara maju dan makmur. Kita mahu merasakan nikmat daripada kemajuan itu. Namun, adakah sikap kita sendiri menyokong ke arah kemajuan yang kita dambakan?
Kemajuan memerlukan dua perkara utama – mengurangkan kemunduran dan meningkatkan perkembangan yang baik. Jika kita sekadar berhenti mundur ke belakang, maka kita sekadar berada dalam keadaan genang. Pada masa sama, kita tidak ke mana-mana dan hanya menghitung detik untuk ditewaskan oleh orang lain.
Dalam konteks negara, jika kemajuan hanya disasarkan kepada bidang tertentu, maka kemajuan negara menjadi tidak seimbang serta mudah runtuh. Sebagai contoh, jika negara hanya memacu kemajuan dalam bidang teknologi aeroangkasa tetapi mengabaikan sektor pertanian dan penghasilan makanan untuk rakyatnya, maka krisis besar akan melanda jika satu saat mereka gagal mengimport makanan.
Perubahan merupakan satu unsur penting dalam membawa perkembangan baharu demi kemajuan. Masyarakat tidak dapat maju jika mereka enggan berubah. Kita akan ketinggalan jika hanya kekal selesa dengan apa yang ada tanpa adanya usaha untuk belajar sesuatu yang baharu atau mencari idea baharu. Ibarat seorang yang selesa dengan menerbit buku-buku bercetak blok, pada kala orang lain sudah menggunakan mesin pencetak automatik.
Hakikatnya, tiada apa yang sempurna sehinggakan tiada lagi ruang untuk penambahbaikan. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa merintis jalan baharu yang lebih efisien dan lestari demi kesejahteraan dunia. Kita juga harus menyesuaikan cara kerja kita selaras dengan kemajuan teknologi. Ini bermakna kita harus bersedia untuk belajar dan terus belajar serta tidak bersikap jumud dan takut untuk berubah.
Tadbir urus merupakan salah satu bidang yang sering menjadi mangsa kepada keengganan manusia untuk berubah. Ramai yang apabila telah selesa berfungsi dengan cara tertentu sejak sekian lama akan berusaha untuk kekal dalam keadaan sama. Mereka berkeras mengekalkan gaya tadbir urus yang ada walaupun ada cara baharu lebih efisien.
Ramai menganggap kaedah-kaedah baharu sebagai sukar untuk dipelajari dan membebankan hanya kerana enggan berubah. Sikap konservatif sebegini menimbulkan pelbagai masalah dalam proses tadbir urus serta merugikan semua pihak terlibat.
Terdapat beberapa faktor mengapa ramai memilih untuk bersikap sebegini. Punca utamanya ialah faktor sentimental di mana kita tidak mahu meninggalkan cara lama yang sudah sebati dalam jiwa. Namun, ada juga yang cuma malas untuk mempelajari kaedah baharu dan ada yang takut kepada perubahan.
ANGKUH, SOMBONG
Perubahan adakalanya menuntut kita mempelajari semula sesetengah perkara yang selama ini kita rasakan sudah kita kuasai. Sifat angkuh dan sombong menjadikan sesetengah individu sukar menerima pandangan orang lain dan berkeras bahawa mereka lebih tahu. Maka, mereka merasakan tidak perlu mempelajari apa-apa khususnya daripada mereka lebih baharu.
Benar, individu itu pakar dalam bidang tersebut tetapi mereka juga mesti bersikap terbuka untuk mempertimbangkan idea-idea baharu daripada pelbagai pihak. Namun, akibat merasakan diri terlalu besar dan berpengetahuan, mereka merasakan hanya pendapat mereka selaku ‘pakar’ bidang yang perlu didengari, lalu langsung menolak segala pendapat daripada orang lain yang kurang ‘berpengetahuan.’
Sikap beginilah yang membantutkan kemajuan yang sepatutnya kita capai. Sistem pendidikan seharusnya menyediakan para pelajar supaya bersikap manusiawi, fleksibel dan kreatif dalam mencari penyelesaian strategik dan bermanfaat kepada kehidupan masyarakat.
Dengan ini, baharulah kita dapat melahirkan ramai pemimpin hebat yang mampu memajukan negara dan bukannya hanya tahu bercakap kosong. Sebaliknya, jika sistem pembelajaran kita terlalu mengongkong pemikiran pelajar hanya ke arah mendapatkan gred tinggi semata-mata, maka ia akan membawa kepada cara pemikiran linear dalam kalangan kebanyakan warga kita.
Oleh kerana itulah kita terpaksa berhadapan dengan pemimpin yang gagal membawa idea baharu, gagal mencari penyelesaian kepada masalah rakyat serta gagal membawa kemajuan. Malah, kadangkala terlalu ramai juga pemimpin yang mempunyai pemikiran terlalu linear sehingga tiada bezanya sama ada kita memilih tokoh A atau tokoh B.
Sering kali juga kita mahukan kemajuan tanpa mahu berubah daripada cara kita yang ada. Sehinggakan mereka yang berusaha membawa perubahan dipandang asing, seolah-olah mahu menyusahkan orang lain. Malah, ada yang dipulau dan ditolak oleh orang-orang sekeliling.
Tatkala ramai memanfaatkan teknologi untuk mempermudahkan urusan, ada yang masih segan untuk membiasakan diri dengan keadaan baharu. Contohnya, ada yang merasakan kelas hibrid terlalu menyusahkan dan gagal melihat sudut positifnya.
Ketika ramai yang sudah beralih kepada amalan lesen bebas bagi maklumat asas, kita masih berkeras tidak mahu orang lain menggunakan karya kita. Tatkala ramai beralih kepada pendidikan menggunakan kecerdasan buatan (AI), kita masih takut dan tidak membenarkan anak didik untuk menyentuh alatan AI.
Tanpa disedari, hal-hal sebeginilah yang menyebabkan kita ketinggalan berbanding negara lain. Apa yang kita lihat sebagai maju 30 tahun lepas kini sudah ketinggalan zaman. Pada masa sama, apa yang baharu pada hari ini tidak lagi menjadi baharu pada hari esok.
Kemajuan tidak akan dicapai hanya melalui dasar-dasar baharu serta slogan menarik. Pilihannya ada di tangan kita. Bersediakah kita melakukan perubahan sikap dan anjakan paradigma serta bersikap lebih terbuka untuk menerima idea-idea baharu? Tepuk dada tanya selera. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










