BARU-BARU ini, rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap pembatalan pengoperasian sekolah vernakular dan penggunaan Mandarin serta Tamil sebagai bahasa pengantar telah ditolak. Keputusan tersebut turut memuktamadkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) adalah sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik keputusan mahkamah rayuan tersebut seperti diperjelaskan oleh Timbalan Menterinya, Lim Hui Ling dalam sidang Parlimen tempoh hari. Ini memperlihatkan KPM sangat peka terhadap kewujudan sekolah vernakular dan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Sebenarnya, soal sekolah vernakular dan penggunaan bahasa ibunda tertentu dalam pendidikan mempunyai sejarahnya tersendiri. Jika diimbau, sejak awal abad ke-19 lagi, British membawa masuk buruh Cina dan India secara besar-besaran ke Tanah Melayu dalam usaha mempergiat ekonomi komersial dalam sektor perlombongan dan pertanian. Sebilangan besar buruh ini turut membawa keluarga mereka bersama-sama.
Lantaran itu, wujudlah satu keperluan untuk memberikan pendidikan asas kepada anak-anak mereka. Golongan berpendidikan mengambil inisiatif bagi memberi kesedaran kepada golongan buruh tentang betapa pentingnya pendidikan untuk generasi muda.
Disebabkan itulah, atas usaha kedua-dua komuniti tersebut, sekolah-sekolah dibuka dengan membawa masuk guru dan buku teks dari negara asal. Lama-kelamaan, British memperkenalkan beberapa dasar pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan sekolah vernakular terurus dan berada di bawah kawalan mereka. Sistem pendidikan vernakular ini berjalan secara berterusan untuk suatu jangka masa agak panjang. Maka, dapat dikatakan pendidikan sekolah vernakular ini telah bersebati dalam kehidupan mereka.
Dalam pada itu, keserikan rakyat tempatan terhadap kolonialisme semakin memuncak. Mereka tidak mahu hidup dirantai dek penjajah. Oleh itu, ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu bangkit dan menyuarakan hasrat mereka untuk berkerajaan sendiri. Para pemimpin baik orang Melayu, Cina dan India menjalinkan kerjasama bagi mencapai matlamat diinginkan. Tatkala menjalankan rundingan demi rundingan dengan British, para pemimpin ini juga memulakan usaha untuk menyediakan satu kerangka yang menjadi asas kepada pembentukan negara berdaulat.
Antara soal yang menjadi tajuk perbincangan adalah bahasa dan sistem pendidikan. Demi kebaikan bersama, satu persetujuan dibuat sebulat suara. Pertama, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi setelah negara ini mencapai kemerdekaan. Kedua, bahasa ibunda kaum-kaum lain tetap dipelihara sebagai identiti kaum-kaum tersebut.
PENYATA RAZAK
Sikap toleransi dan permuafakatan yang terjalin antara pemimpin-pemimpin kaum ini, akhirnya lahir sebagai salah satu perkara penting dalam kontrak sosial. Secara tidak langsung, ini menjadi satu pengukuhan terhadap kesinambungan sistem sekolah vernakular yang telah diamalkan sekian lama.
Kini negara kita sudah melangkaui usia 66 tahun. Selama itu jugalah aspirasi negarawan terdahulu terus didukung. Bahasa Melayu terus diperkukuhkan dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkukuhkan dalam urusan rasmi kerajaan termasuk di Parlimen, mahkamah, jabatan kerajaan, sekolah dan universiti. Bahkan pada 1994, akta ini dipinda dengan penetapan bahawa bahasa Melayu harus digunakan dalam segala urusan rasmi kerajaan sebagai bahasa pengantara.
Dalam sistem pendidikan, usaha yang sama turut diambil. Akta Pelajaran 1961 digubal untuk mewujudkan kurikulum berorientasikan sistem pendidikan kebangsaan dengan menjadikan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960) sebagai teras utama. Pendek kata, akta ini telah mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sementelah itu, kesepakatan dan persefahaman yang wujud begitu lama terus disuburkan, iaitu sistem pendidikan sekolah vernakular terus dipelihara. Di bawah Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, dijelaskan bahawa bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan kecuali di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Tampak dengan begitu jelas, para pemimpin negara terus menghormati kontrak sosial yang telah dibuat oleh pemimpin terdahulu.
Kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan di sebuah negara yang cukup unik dengan semangat toleransi tinggi. Pendek kata, negara ini terus memberikan kebebasan kepada orang bukan Melayu untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing tanpa sebarang sekatan menerusi sekolah vernakular. Bahkan kerajaan turut memberikan bantuan dalam banyak aspek, baik dari segi pemberian dana dan tenaga pengajar, pembinaan bangunan serta kemudahan dan sebagainya.
Walaupun diberikan peluang dan kebebasan untuk meraikan bahasa ibunda sendiri, usahlah kita lupa dan alpa tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita. Sebagai rakyat, kita seharusnya menguasai bahasa Melayu dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam apa jua keadaan.
Dilahirkan dan dibesarkan di negara ini sahaja tidak memadai untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Menguasai bahasa Melayu adalah antara aspek penting bagi kita semua kerana itulah tanda mencerminkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










