Komited pastikan anak bangsa sempurnakan pengajian

Komited pastikan anak bangsa sempurnakan pengajian

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 sebagai kesinambungan MyBrain15 mulai 2024. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENAP setahun kerajaan madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau terus dilihat komited memposisikan negara mengikut acuan ditetapkan selaras dengan aspirasi dan cita-cita dihasratkan. Namun, dalam memastikan keberhasilan matlamat dan hala tuju gagasan Malaysia Madani agar menjadi lebih manusiawi, ia memerlukan usaha bersepadu dan holistik semua pihak.

Justeru, di sinilah peranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendidik dan melahirkan bakat terbaik tempatan melalui peningkatan kapasiti sumber manusia negara. Ini selaras dengan Gagasan Sebelas Aspirasi 2023 Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang secara amnya memberi tumpuan kepada dasar KPT agar selari dengan aspirasi dan agenda Malaysia Madani.

Dalam tempoh setahun pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, KPT terus memainkan peranan signifikan dalam usaha memartabatkan kedudukan pendidikan tahap tinggi negara. KPT fokus dan komited dalam pengupayaan aspek pendigitalan, memanfaatkan teknologi dan menjadi lebih holistik dalam pendekatannya untuk merangsang pertumbuhan pelbagai agensi dan segmen dalam sektor pendidikan tinggi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selaras dengan aspirasi baharu ditetapkan, KPT memaksimumkan keupayaannya dengan memberikan fokus utama kepada perincian dasar-dasar tertentu berkaitan pendidikan tinggi. Ini adalah satu pencapaian baharu yang perlu diberikan perhatian meluas kerana KPT bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan dasar pendidikan tinggi dan menetapkan matlamat seperti daya saing tinggi agar Malaysia dikenali seantero dunia sebagai negara berpotensi untuk melahirkan warga bijak pandai, berkualiti dan mempunyai nilai-nilai kefalsafahan yang dibentuk melalui jati diri ilmu pengetahuan dan identiti nasional tanpa mengira kedudukan kelas ekonomi.

Usaha seumpama ini harus dipupuk dan dikekalkan ke dalam satu kerangka dasar bersifat jangka panjang. Seperti contoh, kerajaan meletakkan fokus utama terhadap soal kebajikan pelajar tajaan dan sering komited untuk membantu menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi ketika ini.

Dengan itu, kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) diumumkan pada 26 Oktober lalu untuk pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT bagi peringkat sijil hingga pascasiswazah dalam dan luar negara. Pertama, kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu luar negara di bawah program MyBrainScience; kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar sedia ada dan baharu kecuali peringkat ijazah sarjana pertama di United Kingdom (UK); kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di UK diseragamkan daripada dua kadar A dan B kepada kadar A; dan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat diseragamkan daripada tiga kadar iaitu A, B dan C kepada dua kadar, A dan B sahaja.

TVET

Pelaksanaan kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program-program penajaan dalam negara pula sebanyak RM100 sebulan (Biasiswa Atlet Cemerlang Institusi Pengajian Tinggi, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan MyBrain 2.0); menyeragamkan ESH kepada satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu diploma (RM730), ijazah sarjana muda (RM800), sarjana/doktor falsafah (RM1,000) tidak termasuk MyBrainScience; dan kenaikan RM100 sebulan ESH/Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 dan orang kurang upaya (OKU).

KPT akan meneruskan pelaksanaan penajaan MyBrain 2.0 sebagai kesinambungan MyBrain15 mulai 2024. Perkara ini diumumkan oleh Mohamed Khaled dalam majlis pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan 2023, Oktober lalu.

Kenaikan kadar ESH ini dijangka berkuat kuasa 2024 dan pertambahan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM30.78 juta melibatkan 24,729 pelajar di bawah tajaan KPT. Sebagai sebuah wadah dan pemangkin kepada perjuangan pendidikan tinggi negara, usaha KPT ini seharusnya diangkat tinggi dan dijadikan sebagai penanda aras yang substantif kerana kenaikan kadar ESH merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup tinggi.

Ia juga bagi memastikan pelajar tajaan KPT dapat meneruskan pengajian dalam keadaan kondusif dan mampu menyempurnakan pengajian dengan jayanya tanpa perlu memikirkan bebanan kewangan yang semakin meningkat. Justeru, KPT memandang serius pelaksanaan model bantuan pendidikan seperti ini kerana pengukuhan sesebuah peradaban itu bergantung kepada generasi yang mengambil manfaat akan aturan sekelilingnya.

Ilmu pengetahuan adalah indikator utama menjamin kesejahteraan kehidupan lebih bermutu dan sarat dengan nilai-nilai yang akan memandu pemikiran murni di dalam jiwa setiap bangsa. Walaupun terdapat persepsi berbeza akan prestasi kerajaan Madani, namun setakat apa sudah direalisasikan ini sudah cukup untuk dijadikan pengukur prestasi bagi membuka ruang lebih luas bagi memuatkan lagi agenda-agenda baharu pada masa akan datang.

Bagi tahun mendatang, KPT akan memfokuskan usahanya dalam pendigitalan dengan memanfaatkan kepesatan teknologi agar menjadi lebih holistik dalam pendekatannya untuk merangsang pertumbuhan pelbagai agensi dan segmen dalam sektor pendidikan tinggi negara.

KPT komited berusaha membawa dimensi baharu intelektualisme, menggalakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi mampan dalam semua aspek bagi melahirkan golongan akademia yang hebat dan menggalakkan keberhasilan ilmu berimpak kepada industri, masyarakat dan negara. – UTUSAN

Datuk Mohammad Yusof Apdal ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×