Kelebihan penjawat awam era Anwar

Kelebihan penjawat awam era Anwar

KERAJAAN bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM500.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK menghairankan apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mendedahkan penjawat awam berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan pentadbiran kerajaan perpaduan. Pelbagai inisiatif dilaksanakan Anwar dilihat berjaya melonjakkan kebajikan serta memartabatkan imej dan nama baik penjawat awam sekali gus meningkatkan kualiti prestasi perkhidmatan awam.

Menurut Mohd. Zuki, tahap kepuasan hati penjawat awam itu berdasarkan kajian oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU). Ringkasnya, dirumuskan kerajaan ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya kepada penjawat awam.

Ironinya sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri setahun lalu, kebajikan penjawat awam dan kualiti prestasi perkhidmatan awam sangat dekat dengan hati Anwar dan terus menjadi fokus dan tumpuan utama kerajaan pimpinannya.

Misalnya dalam setiap perjumpaan dengan penjawat awam di pelbagai peringkat baik Persekutuan mahupun negeri, Anwar akan merakamkan ucapan terima kasih dan melontarkan kata-kata pujian di atas segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan selama ini selain terus memberikan semangat dan motivasi untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing.

Sentuhan peribadi secara emosi seperti ini dilihat memberi kesan positif yang besar dalam diri setiap penjawat awam yang merasakan diri mereka sangat diperlukan dan dihargai oleh kerajaan. Ini sekali gus membantu meningkatkan semangat kerja dan kualiti perkhidmatan secara keseluruhan yang akhirnya memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan proses pembangunan negara.

Menyedari hakikat penjawat awam dan perkhidmatan awam adalah tulang belakang pentadbiran kerajaan maka Anwar sangat sensitif, peka dan prihatin dengan segala keluh kesah serta masalah kebajikan yang membelenggu penjawat awam selama ini. Anwar sedar penjawat awam perlu dibantu supaya mereka dapat berganding bahu dengan kerajaan untuk merealisasikan segala perancangan dan inisiatif yang diperkenalkan. Tuntasnya Anwar dilihat sangat cakna serta sedia mendengar dan menunaikan apa yang penjawat awam mahukan.

Justeru, bagi membuktikan komitmen dan mengotakan janji Anwar terhadap penjawat awam, pelbagai inisiatif dilaksanakan secara berterusan baik dalam skala jangka pendek mahupun melalui perancangan jangka panjang.

Antara langkah dan inisiatif penting yang dibuat ialah memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan kualiti hidup terutama dalam kalangan penjawat awam dari kategori berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Misalnya, kerajaan menyalurkan pemberian bantuan khas sebanyak RM300 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak yang diumumkan dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. Selain itu, melalui Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak sementara Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilengkapkan.

KONGLOMERAT

Untuk jangka panjang, kita juga sedang menantikan hasil semakan gaji dan pelbagai lagi penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan pada tahun hadapan.

Selain itu, Anwar juga terus memberi pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam melalui keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan serta kualiti kerja mereka. Misalnya, kerajaan tidak lagi menggunakan khidmat perunding luar dalam setiap pelaksanaan projek rakyat selepas Anwar mengambil alih pentadbiran kerajaan. Sudah tentu ini satu pengiktirafan besar kerajaan kepada kecemerlangan bakat tempatan.

Malah pendekatan ini juga memberikan penjimatan besar kepada kewangan negara kerana dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan kerana perunding luar dibayar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit terutama dari luar negara.

Untuk terus menambah baik kualiti perkhidmatan dan kemahiran kepakaran penjawat awam, Anwar menggalakkan penjawat awam mengikuti kursus-kursus bersifat jangka sederhana di syarikat konglomerat yang besar dan berjaya seperti Petronas menerusi Program Penempatan Silang.

Penjawat awam perlu mengambil peluang ini untuk menimba ilmu dan kemahiran tambahan sekali gus membalas kepercayaan dan keyakinan diletakkan kerajaan kepada mereka melalui kualiti kerja yang lebih cekap dan efisien.

Pada masa sama, Anwar sangat serius membersihkan imej dan nama baik perkhidmatan awam yang sering dibelenggu masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Misalnya, isu tadbir urus dan tata kelola sentiasa meniti di bibir Anwar yang mahukan setiap penjawat awam mengamalkan nilai-nilai murni berpaksikan amalan integriti serta budaya menolak rasuah.

Komitmen Anwar terhadap usaha membanteras rasuah tidak boleh dinafikan sama sekali. Sasaran untuk berada pada tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antara bukti iltizam dan kesungguhannya untuk membersihkan negara daripada rasuah.

Kerajaan juga memandang serius setiap teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang sering kali mendedahkan pelbagai ketirisan dalam agensi kerajaan di mana Anwar mahukan jemaah menteri dan setiap ketua jabatan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah ketirisan tersebut dan memastikannya tidak berulang.

Selain itu, Anwar memberikan lampu hijau kepada penjawat awam untuk menegur sebarang keputusan dibuat menteri termasuk Perdana Menteri jika didapati melanggar peraturan. Prinsip keterbukaan kerajaan ini memberi peluang terbaik kepada penjawat awam untuk sama-sama membantu memperbaiki kelemahan yang ada sekali gus memperkasa sistem pentadbiran dan tadbir urus kerajaan secara keseluruhannya.

Bagi memudahkan tugas penjawat awam serta menambah baik perkhidmatan kepada rakyat, Anwar mahu perkhidmatan awam meminda peraturan lapuk yang sering menjadi penghalang untuk penjawat awam memberikan perkhidmatan dengan lebih cepat tanpa pelbagai karenah birokrasi.

Ironinya, perkhidmatan awam era Anwar dilihat sangat mengutamakan kebajikan penjawat awam selain terus berkembang secara progresif dan mula melalui pelbagai proses transformasi yang signifikan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×