Jom maing hujang musim tengkujuh di Terengganu

Jom maing hujang musim tengkujuh di Terengganu

SEORANG pengunjung mandi bersama ikan kelah di Santuari Kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA setiap kali musim tengkujuh, kehadiran pelancong domestik ke Terengganu berkurangan kerana kebanyakannya bimbang sekiranya terperangkap dalam banjir ketika melancong di negeri itu.

Persepsi negatif tersebut menghantui pemain-pemain industri pelancongan di Terengganu sejak sekian lama walaupun situasi kejadian banjir sebenarnya tidak seperti yang dimomokkan.

Kebiasaannya kejadian banjir di negeri itu hanya melanda beberapa kawasan yang telah dikenal pasti melibatkan daerah-daerah tertentu.

Kebimbangan pelancong bercuti di Terengganu pada musim Monsun Timur Laut (MTL) agak ketara apabila jumlah tempahan bilik hotel dan inap desa merosot dari November hingga Mac pada setiap tahun.

Sebaliknya, pelancong tidak perlu khuatir terhadap keselamatan mereka sekiranya berkunjung di Terengganu pada musim tengkujuh kerana perjalanan mereka tidak terjejas kerana mempunyai jalan alternatif lain sekiranya terdapat laluan dinaiki air.

Selain itu, pemantauan keadaan cuaca juga boleh dirujuk kepada laporan yang disediakan di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan beberapa laman web agensi serta jabatan berkaitan lain untuk mengatur jadual perjalanan ke Terengganu.

Dalam usaha menarik lebih ramai pelancong pada MTL, kerajaan negeri Terengganu memperkenalkan beberapa pakej pelancongan dan program baharu yang dapat memikat pengunjung khususnya pada musim banjir.

Antara pakej pelancongan terbaharu adalah Jom Maing Hujang di Setiu Wetland yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti mencari lokan dan kepah dijamin selamat daripada risiko banjir.

Walaupun pakej tersebut baharu diperkenalkan pada tahun ini, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pelancong terutama dari Lembah Klang dan selatan tanah air.

Pelancong yang mengikuti pakej berkenaan didapati cukup teruja menyertai aktiviti-aktiviti disediakan pada musim hujan itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga menganjurkan International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2023 di Kenyir Geopark, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Penganjuran IMCT itu mula diperkenalkan sejak 2009 untuk menarik pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir pada musim banjir.

Pada IMCT edisi ke-14 itu, seramai 250 peserta tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan tersebut termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, China dan Thailand.

Tasik Kenyir yang terkenal sebagai lubuk ikan air tawar menjadi tumpuan dalam kalangan kaki pancing dan suasana menjadi seperti pesta apabila mereka berkampung di tasik buatan dalam masa beberapa hari kerana kebiasaannya jumlah ikan lebih banyak pada musim hujan.

Antara jenis ikan yang menjadi buruan kaki pancing ialah sebarau, kelah, temoleh, baung, toman, lampan dan belida.

Pada masa sama, acara-acara lain turut diadakan di Terengganu seperti Rainforest Challenge dan Monsoon Ride yang mendapat sambutan hebat dan meriah.

Selain itu, pelancong ke Kuala Terengganu pada musim tengkujuh juga dapat berkunjung di beberapa lokasi menarik seperti Pasar Kedai Payang, Muzium Negeri, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Pantai Batu Buruk.

Malah pelancong juga dapat menikmati beberapa sajian tradisional seperti nasi dagang di Atas Tol dan keropok lekor di Losong, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan beberapa program baharu yang menarik sepanjang musim MTL pada 2024.

“Terengganu juga mempunyai tarikan lain seperti pantai dan pulau yang juga boleh ditampilkan dalam pakej pelancongan dan aktiviti baharu pada MTL selepas ini,” katanya.

Banjir gelombang pertama pada tahun ini mula melanda Terengganu pada 20 November dan berakhir 30 November lalu melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Besut, Marang dan Kemaman.

Kemuncak banjir ialah pada 22 November setelah 32 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka serentak ketika itu menempatkan 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga di enam daerah.

Banjir gelombang kedua pula bermula pada 14 hingga 19 Disember lalu melibatkan enam daerah iaitu Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Dungun, Marang dan Kemaman.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga meletakkan sasaran kehadiran seramai 4.5 juta pelancong tempatan dan luar negara pada tahun depan.

Jumlah sasaran tersebut lebih tinggi berbanding catatan kedatangan lebih 3.5 juta pelancong tahun ini.

Kerajaan negeri percaya sasaran itu mampu dicapai memandangkan pertumbuhan ekonomi dunia semakin pulih pada 2024 berbanding 2023 di samping kerajaan negeri telah memulakan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara termasuk Asia Barat kerana ingin mengetengahkan Terengganu sebagai mesra Muslim dan syariah.

Promosi pelancongan di luar negara sebelum ini lebih tertumpu di Eropah dan China.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×