MAHKAMAH Persekutuan di perenggan 100 penghakimannya dalam kes Lai Hen Beng lwn. Pendakwa Raya (selepas ini disebut kes goda isteri orang) bersetuju bahawa undang-undang yang menghukum seorang lelaki yang menggoda isteri orang untuk tujuan melakukan maksiat adalah lapuk dan ketinggalan zaman. Seorang isteri tidak boleh dianggap sebagai ‘harta’ suami. Justeru, dia bebas untuk membuat keputusan sendiri termasuk lari dengan lelaki lain dan tidak boleh dianggap sebagai ‘mangsa’ godaan.
Sekali imbas, keputusan ini mengangkat hak kesamarataan seorang wanita yang tidak boleh dianggap sebagai harta kepada suami. Ia mengembalikan kehormatan (dignity) seorang wanita.
Sekali imbas lagi, pandangan mahkamah ini juga selari dengan konsep ‘jenayah moral.’ Dalam jurisprudens Barat, ada satu pandangan mengatakan negara tidak boleh menghukum seseorang yang melakukan kesalahan moral yang tidak ada mangsa. Konsep ini juga dikenali sebagai victimless crime atau jenayah tidak bermangsa.
Di beberapa negara Barat, perbuatan yang dahulunya dianggap sebagai jenayah tidak bermangsa seperti hubungan sejenis, pelacuran dan penggunaan dadah untuk rekreasi telah dibenarkan. Pelakunya tidak dihukum.
Lain dengan jenayah bunuh, misalnya. Ada mangsanya. Begitu juga jenayah mencuri. Ada mangsanya. Jadi, pelaku jenayah bunuh dan curi wajar dihukum.
Wanita isteri orang yang digoda itu tidak boleh dianggap sebagai mangsa. Dia lari dengan lelaki lain atas keputusan dan kerelaan diri sendiri.
Maka, tidak wajarlah lelaki yang menggoda wanita itu dihukum. Malah secara implikasinya, lelaki dan wanita berkenaan mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk melakukan maksiat.
Jika dilihat imbasan kali kedua ini, bolehkah dikatakan keputusan Mahkamah Persekutuan itu mengangkat maruah wanita? Adakah melakukan perkara tidak senonoh seperti maksiat itu bermaruah?
Dengan menggunakan neraca moral yang menjadi fabrik masyarakat Asia seperti Malaysia, saya tidak fikir ada maruah atau kehormatan di situ.
Ini bermakna secara implikasinya, mengguna pakai prinsip kesamarataan yang dicedok secara bulat-bulat dari Barat tidak semestinya mengangkat maruah, kehormatan dan kemuliaan insan (the dignity of men) atau karamah insāniyyah dalam neraca moral, budaya dan agama orang Asia.
Apa pun, itulah sikap kehakiman (judicial attitude) Mahkamah Persekutuan di Malaysia – sebuah negara yang kaya dengan budaya Asia dalam kes ini.
Bagi saya, kes goda isteri orang ini tidak boleh dilihat secara snapshot atau gambar kaku. Cara ini tidak dapat memberikan gambaran keseluruhan tentang apa yang telah, sedang dan akan berlaku dalam perkembangan undang-undang dan perlembagaan di negara kita.
Kes ini hanyalah satu babak dalam suatu trajektori peristiwa, wacana dan sikap kehakiman mengenai hubungan antara prinsip demokrasi, kebebasan dan kesamarataan di satu pihak dan prinsip moral, agama dan undang-undang di satu pihak lagi yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
Seingat saya, dua dekad lalu terdapat satu kempen oleh Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Anti-Moral Policing Campaign. Mereka menentang tindakan penguat kuasa agama menyerbu kelab-kelab malam dan rumah-rumah tumpangan untuk mencegah maksiat dalam kalangan orang Islam.
MINUM ARAK
Bagi mereka, tindakan itu melanggar hak kesamarataan orang Islam. Kalau dua orang sedang minum arak, seorang Islam dan seorang bukan Islam, yang Islam itu ditangkap, yang bukan Islam itu dilepas. Ini berlawanan dengan prinsip kesamarataan.
Selain itu, mereka juga mengatakan undang-undang Islam yang menghukum orang Islam minum arak, berkhalwat, berjudi, melakukan hubungan sejenis adalah jenayah moral. Semua ini tiada mangsa. Jadi, tidak wajarlah pelakunya dihukum.
Mereka mendesak supaya undang-undang Islam yang lapuk dan ketinggalan zaman itu dimansuhkan.
Namun, kempen mereka tidak ke mana. Kerajaan pada masa itu yang bergantung kepada sokongan orang Melayu/Islam untuk memerintah tidak mengikut kemahuan kumpulan ini.
Hakim-hakim pada masa itu juga mempunyai sikap kehakiman yang agak konservatif. Mereka mengambil kira fabrik sosial Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan orang Islam sebagai majoriti. Jika ada cabaran terhadap perlembagaan suatu undang-undang yang menyentuh perkara-perkara sensitif seperti ini, para hakim pada masa itu lebih cenderung menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan soal dasar.
Jadi, tuntutan kumpulan ini tidak dilayan walaupun ada kes dibawa ke mahkamah.
Sekarang sikap kehakiman mahkamah paling atas dalam negara telah berubah ke arah yang lebih progresif. Kes goda isteri orang ini menunjukkan sisi progresif badan kehakiman. Adakah ini bermakna jika ada cabaran terhadap keperlembagaan (constitutionality) undang-undang jenayah tanpa mangsa selepas ini, mahkamah akan melayan atas asas sama seperti diputuskan dalam kes ini?
Adakah mahkamah di Malaysia telah menerima konsep kemuliaan insan dan kesamarataan sekular berasaskan prinsip humanisme dan individualisme hasil renaissance Eropah yang tercabut dari akar agama, budaya dan moral? Jika benar, ia sesuatu yang amat membimbangkan.
(Datuk Seri) Anwar Ibrahim dalam karyanya, The Asian Renaissance yang diterbitkan pada 1996 menyebut kebangkitan Asia adalah berbeza secara fundamental dengan renaissance Eropah. Agama pada pandangan Awar mengakar dalam budaya orang Asia.
Adakah Anwar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Majlis Parlimen, iaitu dua cabang utama kerajaan pada masa ini akan memberitahu badan kehakiman supaya menghormati asas kebangkitan Asia yang beliau sendiri gagaskan atau beliau sendiri mengambil tindakan legislatif melalui Parlimen dengan membuat pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tertentu untuk membetulkan keadaan?
Kita tunggu dan lihat. – UTUSAN
Datuk Dr. Marzuki Mohamed ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










