GENERASI hari ini semakin menghadapi krisis nilai insan. Pelbagai tingkah laku menghakis nilai insan dalam hidup bermasyarakat hari ini. Nilai insan amat penting dalam pengukuhan kesejahteraan sosial. Dalam rangka matlamat untuk menjadi sebuah negara maju, nilai insan merupakan komponen utama dalam membentuk jiwa manusia bagi penyediaan menghadapi zaman Revolusi Industri (IR) 5.0.
Tetapi pengukuhan nilai insan adakalanya merencatkan pengukuhan kesejahteraan sosial dalam Malaysia Madani. Bagi memastikan realiti kejayaan pelaksanaan konsep insan sejahtera terutama universiti awam, maka beberapa penambahbaikan perlu diberikan keutamaan selain konsep sedia ada.
Konsep sedia ada iaitu penumpuan kepada pembinaan fizikal, emosi, kerohanian dan intelektual masih belum memadai bagi menjayakan konsep insan sejahtera. Dalam erti kata lain, menjayakan konsep Malaysia Madani.
Nilai-nilai seperti kematangan interaksi sosial, adab dan kemanusian semakin menghilang dalam generasi hari ini. Ini disebabkan aspek kemajuan teknologi berkembang pesat, ditambah teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mempengaruhi kehidupan mereka setiap masa. Ini menyebabkan generasi hari ini kurang interaksi sosial dan kurangnya kematangan hidup berkomunikasi dalam masyarakat.
Hubungan sosial dengan masyarakat sering ditonjolkan dengan kejadian kurang beradab. Ini boleh dilihat dalam setiap luahan netizen apabila sesuatu kejadian atau isu timbul. Adakalanya interaksi sosial individu sesama individu atau dengan ahli keluarga dan masyarakat berada dalam situasi kurang baik dalam pembentukan nilai insan sejahtera.
Aspek interaksi sosial sebenarnya juga terdapat dalam prinsip Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Bagi pelaksanaan interaksi sosial ini memerlukan seseorang pelajar terlibat dengan kegiatan kokurikulum supaya dapat meluaskan aspek pembentukan insan sejahtera melalui interaksi sosial.
Di sini, seseorang pelajar didedahkan dengan nilai aspek pergaulan, pembentukan sahsiah diri dan hubungan sosialisasi yang sihat. Pelajar bukan sahaja dididik dengan ilmu, jati diri tetapi juga nilai insan.
Bagi menjayakan nilai insan, pensyarah tidak semestinya hanya mengejar ranking dunia dan terlibat dalam dunia penyelidikan. Pensyarah terutama pentadbir akademik memainkan peranan penting dalam menjayakan nilai insan. Untuk merealisasikan nilai insan, maka aspek pembentukan nilai adab ini perlu diperluaskan. Ini termasuk pembinaan nilai keluhuran, kemurnian, patriotisme dan kelestarian pembangunan bangsa, agama dan negara. Aspek ini menepati matlamat konsep Malaysia Madani dalam pembinaan ihsan.
Tambahan, bagi memupuk persekitaran inklusif yang menampung gaya dan kebolehan pembelajaran pelbagai kepada pelajar di peringkat universiti, pentadbir akademik perlu melengkapkan pensyarah-pensyarah di bawah seliaannya dengan konsep idea-idea terkini dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti iaitu pendidikan inklusif.
Matlamat ini untuk memastikan semua pelajar mempunyai akses yang sama kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira perbezaan atau keperluan khas mereka. Halangan kepada pembelajaran seperti halangan fizikal, sosial dan pengajaran, dikenal pasti dan dihapuskan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih inklusif.
BULI, DISKRIMINASI
Universiti juga perlu melaksanakan strategi untuk mencegah buli dan diskriminasi, mewujudkan suasana selamat dan menyokong semua pelajar supaya dapat membentuk nilai insan. Ia adalah proses berterusan memerlukan komitmen, kerjasama dan kesediaan untuk menyesuaikan amalan untuk memenuhi keperluan pelajar yang semakin berkembang.
Ketamadunan sesebuah bangsa dan negara bermula daripada pendidikan rendah dan kesinambungan ini perlu diteruskan sehingga ke pendidikan tinggi. Aspek ketamadunan sesuatu bangsa ditentukan dengan keilmuan diperoleh pelajar di peringkat pendidikan tinggi iaitu universiti. Jatuh dan bangunnya sesuatu bangsa dan negara bermula daripada pendidikan di sekolah. Tetapi pendidikan tinggi adalah paling utama yang memainkan peranan dalam soal pembinaan amalan adab dan akhlak. Tetapi aspek seperti ini ada kalanya dilupakan kerana soal pencapaian akademik pelajar menjadi keutamaan.
Universiti kini perlu melihat semula aspek makna nilai insan dalam pembentukan diri mahasiswa dan mahasiswi hari ini. Seperti mana acuan yang dilentur maka begitulah hasilnya nanti ke dalam masyarakat. Konsep keilmuan diri seseorang mahasiswa dan mahasiswi kini perlu dilihat secara meluas dalam pendidikan inklusif. Aspek menjaga kebersihan dan kecantikan kawasan pembelajaran untuk motivasi pendidikan, membersihkan sampah sarap demi ketenangan, mengkitar semula bahan buangan dan memelihara keharmonian persekitaran perlu dipupuk ke dalam nilai insan setiap mahasiswa dan mahasiswi.
Setiap pelajar dan pensyarah perlu bekerjasama membina kawasan pembelajaran dan pengajaran yang sihat dan sesuai untuk pembelajaran dan pembangunan insan sejahtera bahagia bersituasi Universitiku Syurgaku. Setiap pelajar bukan sahaja dididik bertanggungjawab mengekalkan personaliti ceria, berfikiran positif dan inovatif ke arah transformasi dunia IR 5.0 yang bakal menjelang, tetapi juga perlu mempunyai nilai insan yang adil dan saksama termasuk nilai aspek lain seperti sifat belas insan ke atas haiwan. Ia juga perlu merangkumi nilai-nilai aspek ke atas persekitaran seperti penjagaan ke atas tumbuh-tumbuhan bagi mengekalkan ekologi untuk persekitaran kawasan universiti yang bersih, cantik dan ceria.
Pembinaan aspek peradaban dalam insan sejahtera bukannya satu perkara mudah. Konsep pembinaan insan sejahtera yang menekan kepada adab menggunakan pelbagai kaedah dan teknologi terkini mampu membina seseorang mahasiswa dari segi kerjaya dan pemerkasaan profesionalisme pelajar selepas tamat belajar. Ini bermakan penilaian di luar akademik amat penting kerana ia dikenali sebagai penilaian holistik yang merujuk kepada menilai pelbagai aspek perkembangan pelajar melangkaui pencapaian akademik tradisional.
Akhirnya akan memberikan impak kepada makna nilai insan sejahtera. Melalui cara sebegini mampu memartabatkan mahasiswa dan mahasiswi dari segi pemahaman ke atas kepentingan soalan nilai insan. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










