KERAJAAN perlu membendung segera pelbagai persepsi negatif dan tohmahan dilemparkan terhadap pelaksanaan sistem Identiti Digital Nasional atau Digital ID (MyDigital ID) sebelum proses pendaftaran untuk orang awam secara keseluruhan dimulakan Julai tahun depan.
Hal ini penting kerana kita khuatir masyarakat yang tidak mendapat penerangan dan penjelasan sewajarnya mudah terpengaruh dengan pelbagai cerita dongeng seperti membabitkan elemen tanaman cip dalam badan sehingga akan ada orang lain mengawal diri kita kelak. Tohmahan seperti ini boleh menjejaskan manfaat besar yang akan diperoleh masyarakat.
Justeru, kerajaan perlu fokus untuk tangani serangan tohaman seperti ini dengan meningkatkan sesi penerangan awam bagi menjelaskan manfaat bakal diperoleh jika mendaftar dan menggunakan sistem MyDigital ID.
Ironinya, masyarakat perlu terus diyakinkan sistem ini bukan sahaja tidak perlu tanam cip dalam badan, malah ia juga tidak akan mengambil data biometrik seperti gambar iris atau mata dan cap jari seperti dilakukan di negara-negara lain.
Selain itu perlu ditekankan MyDigital ID juga tidak akan menggantikan sistem MyKad sedia ada sebaliknya melengkapinya sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika bertransaksi secara digital.
Proses pendaftaran sistem ini dijangka bermula dengan anggota pentadbiran, pembuat dasar dan penjawat awam, sebelum diperluaskan kepada penerima bantuan kerajaan dan orang awam secara keseluruhan.
Justeru, dalam tempoh masa yang ada ini, agensi kerajaan terlibat perlu pertingkatkan sesi libat urus dan penerangan kepada semua lapisan masyarakat mencakupi penjawat awam, pekerja swasta terutamanya penduduk luar bandar dan generasi yang tidak begitu mahir menggunakan kemudahan internet dan urusan dalam talian. Kita perlu meredakan kekhuatiran dan kerisauan mereka.
Cabaran besar adalah mendekati masyarakat luar bandar dan generasi yang menjauhkan diri daripada kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Untuk ini, agensi kerajaan perlu mendapatkan kerjasama pemimpin masyarakat yang boleh menjadi jurucakap dan membantu menerangkan kelebihan dan kepentingan MyDigital ID kepada komuniti mereka dalam bahasa lebih mudah difahami.
Sesi penerangan mesti fokus kepada aspek kelebihan dan manfaat penting MyDigital ID seperti membolehkan rakyat memperoleh suatu pengenalan diri digital unik yang akan digunakan dalam pelbagai perkhidmatan digital dan boleh menambah baik kualiti kehidupan, semakan dan pengesahan MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat, urus niaga boleh dibuat secara selamat dengan akses saluran omni pada mana-mana peranti bila-bila masa, di mana sahaja, malah dari luar negara serta perkhidmatan digital mampu memudahkan proses perniagaan menggunakan penandatanganan digital.
MIMOS
Selain itu, akan memberi nilai tambah kepada pelbagai sektor perkhidmatan dengan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa dalam proses pengesahan pengenalan diri dan dapat mengelak pemalsuan pengenalan diri dalam transaksi perkhidmatan digital di mana ini akan mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Secara umumnya, melalui sistem ini rakyat mudah akses kepada perkhidmatan awam dari segi bantuan serta semua aplikasi kerajaan menggunakan log masuk tunggal menerusi MyDigital ID. Hakikatnya, pelaksanaan sistem seperti ini bukanlah suatu yang baharu kerana sudah diguna pakai di beberapa negara seperti United Kingdom, Estonia, Kanada dan India.
Secara prinsipnya, pelaksanaan sistem ini akan memastikan perlindungan data peribadi dan keselamatan siber sentiasa terkawal selain memudah cara perkhidmatan awam dan swasta.
Rakyat perlu yakin dan percaya dengan sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti ini. MIMOS Berhad (MIMOS) misalnya, sebagai agensi pelaksana MyDigital ID memberi jaminan inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian yang diperkenalkan adalah selamat dan tidak akan berlaku pelanggaran atau kebocoran data pengguna kerana agensi itu tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna, sebaliknya pelayan (server) mereka hanya berfungsi untuk tujuan memproses transaksi pengesahan seseorang individu.
Menurut Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS, Dr. Saat Shukri Embong, pihaknya hanya bertindak membuat verifikasi secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan sedia ada seperti Jabatan Pendaftaran Negara sebelum mengeluarkan sijil digital pengguna. Sijil digital ini pula unik dan hanya dimiliki pengguna menerusi peranti masing-masing. Sekiranya berlaku kecurian identiti digital, ia mungkin disebabkan oleh pengguna yang berkongsi kata laluan peranti atau telefon bimbit mereka telah digodam.
Pembangunan inisiatif MyDigital ID dilaporkan dilakukan sejak 2016, justeru tidak timbul soal kerajaan cuba melaksanakannya secara tergesa-gesa. Malah MIMOS juga menjadikan beberapa negara luar sebagai penanda aras global pembangunan identiti digital, namun MyDigital ID dihasilkan mengikut acuan, keperluan dan penggunaan teknologi tempatan dengan kerjasama universiti tempatan.
Jadi, diharap agensi kerajaan akan meningkatkan program kesedaran awam tentang pelaksanaan sistem MyDigital ID yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat terutama penerima bantuan kerajaan berdasarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) serta pengguna yang ingin mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada sektor awam dan swasta. Inisiatif ini penting agar kita dapat segera menghentikan segala tohmahan dan cerita dongeng tentang MyDigital ID.
Tuntasnya, semua pihak perlu menyokong inisiatif MyDigital ID yang melambangkan aspirasi kerajaan dalam mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).










