DAP lupakah janji-janji kerajaan perpaduan?

DAP lupakah janji-janji kerajaan perpaduan?

SEPATUTNYA DAP perlu akur dengan kandungan perjanjian yang tidak menjadikan mengembali pilihan raya kerajaan tempatan sebagai agenda kerajaan perpaduan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAP memang tahu pendirian UMNO mengenai pilihan raya kerajaan tempatan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan pada 5 Disember 2022 menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari awal lagi berpendirian tidak akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan. Sebab mengapa UMNO menentang pilihan raya kerajaan tempatan dihuraikan oleh Asyraf dalam satu kenyataan terdahulu pada 11 Disember 2018.

Menurut Asyraf, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan pimpinan UMNO secara perlahan-lahan membawa orang Melayu untuk berpindah ke bandar dengan memperkasakan Kolej RIDA-MARA bagi mencipta golongan profesional bumiputera yang boleh bekerja di bandar-bandar serta menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) untuk membangunkan projek perumahan untuk bumiputera di bandar.

Jelas Asyraf, UMNO tidak mahu usaha-usaha murni pejuang-pejuang negara terdahulu untuk menstabilkan struktur sosioekonomi rakyat dipunahkan oleh rancangan DAP yang didakwanya ingin menguasai pusat kegiatan ekonomi negara sekali gus menyisihkan orang Melayu dan bumiputera secara sistematik dan terancang.

Bila UMNO menyertai kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022, ia diasaskan kepada perjanjian persefahaman kerjasama dimeterai lima gabungan utama pada 16 Disember 2022.

Dalam perjanjian ini, semua lima gabungan utama mengisytiharkan komitmen mereka dan matlamat kerajaan perpaduan merangkumi 18 perkara dan tidak ada satu pun daripadanya menyentuh perancangan untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Selepas Kabinet dibentuk, rakyat mempunyai harapan tinggi untuk melihat pihak terbabit memenuhi manifesto masing-masing. Tetapi, disebabkan lima gabungan utama ini mempunyai manifesto berbeza, Kabinet menugaskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menubuhkan jawatankuasa kerajaan untuk memilih dan menggabungkan semua program khusus daripada setiap manifesto.

Ketika menjelaskan hal ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebarang keputusan dibuat terikat kepada satu set prinsip seperti digariskan dalam perjanjian. Maknanya, walaupun dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ada komitmen untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui kaedah sistematik, tetapi disebabkan dalam perjanjian tiada komitmen ini maka pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah agenda kerajaan perpaduan.

IDEALISME

Walaupun begitu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan pada hujung minggu lalu menyatakan kerajaan perpaduan boleh mula melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur.

Jelas Kok Wai, sebagai sebuah parti yang berpegang kepada perjuangan dan idealisme, penting untuk DAP terus berusaha ke arah merealisasikan matlamat pelaksanaan demokrasi tempatan. Beliau berharap cita-cita untuk memperkasakan rakyat dengan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan yang merupakan matlamat perjuangan parti menjadi realiti sedikit masa lagi.

Perlu diingat, Lim Guan Eng dalam Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan pada 2 November 2014 pernah menegaskan, “We promise that there will be a state government for Wilayah Persekutuan, especially Kuala Lumpur. Kita akan balik kepada demokrasi, kita akan benarkan satu kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat memerintah Kuala Lumpur.”

Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan pada 8 Disember 2019 juga sebulat suara meluluskan resolusi menuntut kerajaan PH mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi ini tidak mengejutkan kerana waktu itu yang memerintah adalah kerajaan PH secara sendirian.

Bagaimanapun, kenyataan Kok Wai sekarang mengejutkan kerana yang memerintah bukanlah kerajaan PH tetapi kerajaan perpaduan turut dianggotai UMNO yang diketahui menentang keras usaha mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

WAJAH SEBENAR DAP

Inilah wajah sebenar DAP yang mahu memaksakan kehendaknya kepada pihak-pihak lain. Sepatutnya DAP perlu akur dengan kandungan perjanjian yang tidak menjadikan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai agenda kerajaan perpaduan.

Setidak-tidaknya jika pun DAP mahu bersuara dalam hal ini, suarakanlah secara tertutup dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan atau dalam Majlis Perundingan dan Timbang Tara Kerajaan Perpaduan yang berperanan memastikan segala terma dipersetujui dalam perjanjian dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur.

Bagaimanapun, tidak cukup untuk Asyraf hanya menasihatkan DAP supaya mengelakkan apa jua yang boleh menyebabkan fokus kerajaan perpaduan terganggu. Atau gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya pemimpin DAP lebih sensitif dan berhenti membuat kenyataan berbentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. Atau penegasan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam bahawa UMNO tidak sesekali akan mengizinkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

Ini kerana isunya jauh lebih besar. Isunya mengenai pelanggaran syarat penyertaan dalam kerajaan perpaduan oleh DAP itu sendiri. Amaran tegas perlu diberikan oleh MKT UMNO kepada DAP untuk tidak meneruskan amalan melanggar syarat penyertaan dalam kerajaan perpaduan ini.

Lebih besar implikasinya bila cadangan DAP ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara pada 14 Ogos 2014 memutuskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 9 Mei 2013 adalah bercanggah dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak selari dengan Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam perjanjian lima gabungan utama menyatakan komitmen untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tetapi bila DAP mengemukakan cadangan yang bercanggah begini, di mana komitmen DAP untuk mempertahankannya?

Dalam dunia politik, persepsi awam adalah segala-galanya. Untuk itu, UMNO perlu bertindak tegas bagi menguruskan persepsi dalam kalangan pengundi Melayu bahawa ia hanyalah pengikut yang tidak berani mempertahankan prinsip perjuangannya bila berhadapan DAP. – UTUSAN

Dr. Syed Agil Alsagoff ialah Pensyarah Kanan dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×