BARU-BARU ini, satu lagi parti politik baharu, Parti Rakyat India Malaysia (PRIM) ditubuhkan oleh sekumpulan bekas ahli-ahli MIC. Penaja serta ahli-ahli parti baharu ini terdiri daripada bekas sayap Pemuda MIC. Parti politik baharu ini ditubuhkan kononnya untuk mewakili suara kaum India terutama golongan muda dalam politik serta kerajaan.
Persoalannya, apakah tidak cukup parti-parti politik sedia ada bagi mewakili mereka dalam medan politik negara? Apakah kemampuan kepimpinan serta parti politik baharu dalam mengetengahkan hasrat kaum India kepada kerajaan dengan berkesan?
Mengikut rentetan sejarah, antara parti tertua mewakili kaum India ditubuhkan di negara ini adalah MIC yang terbentuk pada 1946 sebelum merdeka. Sebelum PRIM ditubuhkan baru-baru ini, beraneka parti politik ditubuhkan kononnya untuk mewakili kaum India. Antaranya Parti Demokratik India Malaysia (DMIP) pada 1985, diikuti Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) pada 1990.
Selain itu, Barisan Bertindak Demokratik India Malaysia (MINDRAF) pada 2005, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) pada 2007, Parti Hak Asasi Manusia (HRP) pada 2009, Makkal Sakti Malaysia (MMSP) pada 2009, Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) pada 2017, Parti Kemajuan Malaysia (MAP) pada 2019, Parti Keadilan India (IJP) pada 2010, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) pada 2023.
Dengan ini, dua parti politik iaitu PRIM dan URIMAI ditubuhkan pada tahun ini bagi mewakili kepentingan kaum India. Kebanyakan parti baharu yang ditubuhkan merupakan parti serpihan MIC.
Dalam pada itu, kita dapat melihat parti-parti baharu ditubuhkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan hilang dari medan politik negara dalam jangka masa pendek kerana tidak mendapat sambutan dan sokongan daripada kebanyakan kaum India. Malah, kebanyakan parti-parti politik ini yang ditubuhkan sebagai pesaing kepada MIC didapati tidak berfungsi dan terus terkubur dalam sedikit masa.
Memandangkan kaum India yang merupakan hanya 6.7 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, timbulnya persoalan, apakah perlu banyak parti politik untuk mewakili mereka?
Antara sebab utama tumbuhnya banyak parti politik baharu adalah kononnya MIC kurang berkesan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan kaum India. Malah, ada pihak mendakwa kemerosotan prestasi MIC dalam pilihan raya umum (PRU) akhir-akhir ini menunjukkan parti itu semakin hilang sokongan kaum India. Maka MIC tidak lagi relevan dalam medan politik negara.
TIKET
Hakikatnya, kemerosotan prestasi MIC dalam PRU bukan disebabkan kemerosotan sokongan kaum India tetapi kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada calon MIC yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN). Penolakan mereka terhadap BN menyebabkan prestasi MIC meleset dalam pilihan raya akhir-akhir ini.
Dalam pada iu, meskipun pengundi Melayu yang menyokong BN/UMNO pada suatu ketika mengalih sokongan mereka daripada UMNO kepada PKR dan Pas atau Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), tidak timbulnya penubuhan parti politik baharu dalam kalangan orang Melayu.
Begitu juga komuniti Cina. Meskipun sokongan pengundi Cina terhadap MCA merosot kebelakangan ini dengan drastik, pengundi Cina mengalih sokongan mereka kepada DAP, PKR atau PH secara ketara, tidak timbul pula penubuhan parti baharu dalam kalangan kaum Cina.
Justeru, parti-parti politik baharu yang ditubuhkan dengan alasan membela kepentingan masyarakat India didapati bukan atas kehendak majoriti kaum itu tetapi untuk memenuhi cita rasa atau mengejar cita-cita politik individu tertentu.
Apa pun, penubuhan parti politik baharu tidak dapat dielakkan. Malah, penubuhannya dilihat sebagai manifestasi amalan demokrasi. Namun, kaum India yang bilangannya kecil tidak perlukan banyak parti politik untuk mewakili mereka.
Sebaliknya, parti-parti yang ditubuhkan kononnya mewakili kaum India perlu bertekad mengelak sengketa, bersaing malah tuduh-menuduh sesama mereka dan sebaliknya digesa mencontohi teladan amalan politik di Sarawak.
Apabila BN kalah teruk dalam PRU14, parti-parti politik yang bergabung dalam BN telah keluar daripada gasasan dan menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terbentuk pada 2018. GPS merupakan satu blok politik terkuat malah mampu menentukan pembentukan dan survival Kerajaan Persekutuan. Parti-parti yang bergabung dalam GPS mengekalkan prinsip perjuangan masing-masing sambil mempromosikan kesatuan di antara presiden parti-parti dan rakyat di Sarawak.
Dalam hubungan kepimpinan gabungan pula, GPS dipimpin oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), part politik terbesar di Sarawak. Parti-parti lain di Sarawak yang mengakui kelebihan dan kemampuan dan tahap sokongan rakyat kepada PBB telah mengangkat pemimpinnya sebagai peneraju gabungan GPS dengan dua timbalan presiden, dua naib presiden kanan dan tujuh naib presiden yang berkongsi antara parti-parti yang bergabung. Dasar politik GPS pula menyokong gabungan parti politik di peringat kebangsaan yang sedia dan mampu membela kepentingan rakyat Sarawak untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan ini, apakah kepimpinan parti-parti politik yang kononya mewakili kaum India akan bersatu, bekerjasama dengan MIC, parti keramat kaum India yang tertua dan terbesar dalam negara seperti berlaku di medan politik Sarawak? MIC yang kini dipimpin Tan Sri S.A. Vigneswaran mampu memudi gabungan baharu ini supaya suara politik kaum India secara amnya dan suara sebahagian besar orang Tamil secara khususnya dapat diperhitungkan sebagai satu kuasa tawar-menawar politik yang penting dan terkuat dalam medan politik negara. – UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










