SEMASA Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 4 November lalu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Nahvin Muthusamy berucap tentang sistem kuota dalam program matrikulasi. Video ucapan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) itu tular dan mendapat reaksi pelbagai pihak.
Sementara itu, pada 30 November lalu, saya berada di Sekolah Menengah Persendirian Pay Fong, Melaka untuk memperkatakan tentang isu dalam komuniti India berdasarkan sebuah filem dokumentari berjudul Karen (2022). Dokumentari sepanjang 97 minit oleh Lau Kek Huat bermula dengan mengangkat isu sistem kuota dalam pengajian matrikulasi.
Watak utama yang diketengahkan ialah Vijay Katurajah, remaja berumur 18 tahun dari sebuah estet di Sungai Siput, Perak yang sedang risau menunggu keputusan permohonan mengikuti program matrikulasi.
Remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Wahab yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015 dan berjaya mendapat 10A, mendapat berita baik apabila diterima masuk ke program matrikulasi.
Bermula minit ke-64, Vijay sudah tidak lagi muncul dalam filem dokumentari itu yang bermula dengan kaum India sukar mendapat tempat dalam program matrikulasi. Fokus beralih kepada adiknya, Karen Katurajah, 16, untuk mengikuti kisah hidupnya selama enam tahun seterusnya.
Selesai menonton filem itu, saya tertanya-tanya, apa berlaku kepada Vijay yang dahulu bercita-cita menjadi pakar neurologi? Apabila gagal mendapatkan maklumat terkini daripada pengarah filem, saya mencari di media sosial.
Untuk makluman, dokumentari Karen menang hadiah utama di Festival Filem Taiwan Selatan pada November 2022 dan mendapat sambutan di beberapa negara. Institut Filem dan Audiovisual Taiwan pada April lalu mempromosi Karen sebagai dokumentari yang meneroka diskriminasi kaum dan ketaksamaan peluang pendidikan bagi kaum India di Malaysia menerusi watak remaja bernama Karen.
Walaupun Vijay tidak lagi terlibat dalam projek itu, wajahnya tetap menghiasi poster dan promosi filem berkenaan. Maka saya semakin berminat untuk mencari Vijay dan mengetahui perkembangannya. Kisah dirinya mungkin boleh memberi motivasi dan kesan positif kepada remaja kaum India tentang kepentingan pendidikan.
Dengan bantuan rakan penulis Malini Lakshmi Bai dan Anuradha Chelliah, saya berjaya menghubungi Vijay yang baru sahaja menamatkan pengajian sarjana muda perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Saya amat bernasib baik kerana pemuda berumur 25 tahun yang amat pendiam dan tidak ramai kawan, bersedia untuk bertemu. Sambil makan malam, Vijay berkongsi cerita dan menjawab beberapa pertanyaan untuk melengkapkan rasa ingin tahu dalam diri saya.
Vijay lahir dan membesar di Ladang Kamiri, Sungai Siput Utara, Perak.
SINGAPURA
Neneknya dahulu menjadi penoreh getah di sana, maka diberi izin terus tinggal selepas bersara. Estet milik Guthrie (Sime Darby) sudah bertukar menjadi ladang kelapa sawit dipenuhi pekerja migran Bangladesh, Filipina dan Myanmar seperti diceritakan juga mendiang ibunya, P. Nalanisvari dalam dokumentari itu.
Vijay mendapat pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mahathma Gandhi Kalasalai, Sungai Siput manakala adiknya, Karen, berhenti sekolah selepas tahun enam. Adik bongsu, Ushaa yang dipelihara keluarga bapa saudara, kini belajar di Singapura. Bapa mereka, Katurajah terbunuh dalam kemalangan jalan raya semasa Vijay berumur empat tahun.
“Emak saya menghidap sawan dan memang menjadi impiannya supaya saya menjadi seorang doktor,” kata Vijay sambil mata bergenang teringatkan ibu yang meninggal dunia pada Disember 2018 sewaktu dia sedang belajar di UPM.
Nalanisvari pernah menjadi guru tadika dan dikenali penduduk sekitar. Anak-anak mereka pula merupakan rakan Vijay sejak tahun satu. Kesemua 12 rakan lama itu masih mengekalkan persahabatan erat sehingga kini.
Tempoh pengajian selama setahun di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kepala Batas pula mewujudkan peluang bergaul dengan rakan-rakan Melayu dan persahabatan itu juga kekal sehingga sekarang.
Sepanjang pengajian di UPM pula, Vijay tidak ada ramai sahabat baharu.
Dia lebih suka menyendiri lalu memilih seni lukis secara amatur untuk meluahkan perasaan dan kemudian dikongsi menerusi media sosial.
Satu lagi hobi pemuda ini ialah membaca buku cerita bahasa Tamil dan Inggeris. Minat ini dipupuk sejak sekolah rendah dan sudah menjadi budaya hidup.
“Antara karya terkini yang saya baca ialah siri Harry Potter, Alchemist, Garuda Puranam dan Ponniyin Selvan. Saya juga berminat membaca epik Mahabharata dan Bhagavad Gita dalam versi Tamil atau Inggeris,” ujar Vijay sambil mengeluh, novel Melayu dalam pasaran kurang menarik perhatian bukan kerana bahasa tetapi isi dan cerita.
Bercakap tentang pendidikan, dia sedar kepentingan pelajaran sebagai alat utama mengubah nasib diri dan menggerakkan mobiliti sosial dalam komuniti.
“Tetapi berdasarkan pengalaman saya, jangan hanya menumpukan kepada pelajaran sehingga mengabaikan hal-hal lain. Aspek kesihatan emosi, kesihatan mental, kemahiran bersosial, komunikasi dan sebagainya juga penting. Kita perlu memiliki hidup yang seimbang,” kata pemuda ini yang namanya membawa makna ‘kejayaan.’
Di hujung pertemuan kami pada 20 Disember lalu, Vijay tertanya-tanya sama ada kisah dirinya ada apa-apa aspek menarik untuk dikongsi dengan masyarakat. Bagi saya, selain pertemuan kami menjawab pelbagai pertanyaan dalam diri, kisah Vijay juga ‘melengkapkan’ dokumentari Karen selain boleh memberi motivasi kepada anak-anak muda khususnya kaum India. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










