Asimilasi dulu sebelum mahu jadi PM

Asimilasi dulu sebelum mahu jadi PM

PERKARA 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa etnik Melayu berserta bumiputera lain memaparkan negara ini adalah negara Melayu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT etnik bukan Melayu khususnya Cina untuk melihat Perdana Menteri pada suatu ketika nanti adalah dalam kalangan mereka bukan sahaja mimpi di siang hari, iaitu mencita-citakan sesuatu yang bukan-bukan. Ia juga ibarat keperluan mengukur baju di badan sendiri, yakni mengetahui keberadaan diri sendiri terlebih dahulu walaupun tidak dihalang oleh perundangan negara.

Ini kerana kualiti kewarganegaraan mereka walaupun setelah sekian lama melalui proses pembentukan negara bangsa boleh dipertikai. Ia secara umumnya tidak pun memperlihat apa-apa jua kecemerlangan yang bukan sahaja amat diharapkan, juga sangat diperlukan. Antaranya paling nyata ialah kecekapan berbahasa negara yang bukan sahaja rata-ratanya lemah, kalau tidak pun tiada tetapi mahu pula dipertikai akan kepentingannya dalam kehidupan nasional sebagai warganegara di sebuah negara Melayu.

Hal ini dan beberapa yang lain sebenarnya memperlihat keengganan etnik bukan Melayu khususnya Cina untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu seperti diperlukan setelah dipersetujui pada Perjanjian Etnik 1955 yang dikenali secara longgarnya sebagai kontrak sosial. Dengan ini, mereka ditanggap malah dianggap sebagai tidak setia, tidak boleh dipercayai dan kuat nasionalisme etnisiti Cina. Oleh itu, mereka dilihat sebagai tidak berjaya pun membawa resmi etnik Melayu yang merupakan kelompok majoriti lagi dominan di negara ini seperti dikehendaki pada persetujuan bersama itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembawaan resmi Melayu ini bukan sahaja amat penting, malah adalah syarat wajib untuk boleh dianggap sebagai sebahagian yang penting dalam tenggang bersama-sama dengan kelompok penduduk asal Melayu untuk meneruskan politi Melayu, iaitu politik dan pemerintahan yang diterajui etnik Melayu. Selagi perkara ini tidak ada, selama itulah etnik bukan Melayu hanya boleh berhasrat dengan bermimpi selain tiada keberadaan yang diperlukan untuk mencapai hasrat itu.

Natijahnya di sini ialah walaupun setelah 66 tahun penubuhan negara ini, etnik bukan Melayu secara umumnya didapati tidak berjaya mempamerkan perilaku pada peribahasa di mana bumi pijak, di situ langit dijunjung, biarpun secara sederhana sahaja apatah lagi sepenuhnya. Sehubungan ini, resam tempatan antaranya kebolehan berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara tidak pun mahu diendahkan secara serius.

Seperkara penting tentang negara ini khususnya Semenanjung ialah ia politi Melayu pada sepanjang sejarahnya walaupun semasa penjajahan khususnya pada zaman Inggeris, apatah lagi dengan penubuhan negara ini setelah memperoleh kemerdekaan. Sehubungan politi Melayu ini, ia didapati terserlah sekali pada Perlembagaan Persekutuan, meskipun tidak dinyatakan secara harfiah bahawa negara ini adalah negara Melayu.

Walaupun begitu, sebilangan perkara dalam perundangan tertinggi negara itu bukan sahaja jelas menunjukkan, juga sangat nyata menampilkan negara ini sebagai negara Melayu. Antaranya adalah Bahagian 4 tentang negara ini sebagai persekutuan yang diperintah oleh raja Melayu bergelar Yang di-Pertuan Agong.

WARAS

Pada Bahagian 5 pula mengenai negeri dalam persekutuan, pemerintah yang berupa gabenor bergelar Tuan Yang Terutama juga rata-ratanya telah dilantik dalam kalangan Melayu dan Muslim.

Sementara ini, pada Bahagian 6 berkenaan hubungan antara persekutuan dengan negeri di dalamnya, Perkara 89 dan 90 tentang tanah rizab Melayu dan peruntukan istimewanya jelas memperlihat negara ini sememangnya negara Melayu. Pada Bahagian 12 pula, Perkara 152 tentang bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa etnik Melayu berserta bumiputera lain yang Melayuan atau Nusantara sifatnya terus memaparkan negara ini adalah negara Melayu.

Daripada semua bahagian yang telah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 3 berkenaan kewarganegaraan sebenarnya adalah hakikat yang amat sangat nyata bahawa negara ini adalah negara Melayu. Ini kerana segala macam syarat dikenakan membuktikan tuan, yakni pemilik negara yang ingin didiami oleh mereka yang memohon itu adalah etnik Melayu yang sudah lama bermastautin di negara mereka sendiri.

Walaupun tidak dinyatakan dalam perlembagaan negara ini tentang syarat etnisiti ketua kerajaan, ia bukan sahaja boleh dijangka oleh sesiapa pun, juga difahami oleh yang waras sebagai seorang yang harus berasal dari etnik Melayu beragama Islam. Hal ini juga dipersetuju dan sudah mula diamalkan di Sabah dan Sarawak yang ketua kerajaannya adalah Melayu atau bumiputera tempatan beragama Islam.

Kedatangan sementara pada mulanya dan kemudiannya kehadiran tetap etnik bukan asal sebagai warganegara pula mulai kemerdekaan adalah antara konsesi paling murah hati daripada etnik Melayu. Ia tidak diberikan semudah itu di dunia ini oleh mana-mana penduduk asal kepada yang bukan asal. Oleh itu, ia wajib dihargai. Antaranya dengan tidak sesekali bersifat bukan sahaja angkuh terhadap etnik Melayu, juga asyik mahu menguasai mereka tanpa mengambil kira kedudukan mulia mereka sebagai penduduk asal lagi wajar di negara mereka sendiri.

Kemungkinan hasrat etnik bukan Melayu itu boleh menjadi kenyataan apabila mereka sanggup secara ikhlas, pertama-tamanya untuk lebih mengidentifikasi diri dengan etnik Melayu, bermula sekarang melalui proses integrasi yang tertangguh itu. Ia kemudiannya wajib digantikan dengan asimilasi yang memang akan memperlihat hasilan cemerlang seperti terbukti pada kelompok bukan asal dan minoriti lagi yang sanggup diangkat penduduk asal majoriti tanpa adanya sebarang perasaan curiga untuk memimpin mereka. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×