Amanah untuk Dr. Dzulkefly

Amanah untuk Dr. Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan sudah diduga ramai. Ia memberi harapan menggunung kepada rakyat yang memerlukan belaian berbanding sebelum ini. Menghadapi pelbagai masalah – sesetengahnya diundang sendiri.

Sebaliknya Dzulkefly memulakan pentadbirannya dengan memohon maaf atas segala kesusahan dan kesulitan yang merundung sesiapa sahaja yang terus tercicir dan dicicirkan khususnya pascapandemik.

Sifat rahmah ini mengingatkan akan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah). Satu-satunya pemimpin yang luhur dan beramanah dalam menjalankan tugas dengan penuh berhemah. Sifat ini wajar menjadi ikutan semua ahli politik yang serius, tua dan muda. Dzulkefly tentunya! Insya-Allah.

Malah Perdana Menteri memperakui perkhidmatan serta pengalamannya diperlukan negara. Manakan tidak, memandangkan serangan Covid-19 dikatakan sudah mula memuncak kembali dengan ratusan kes terbaharu dikesan kebelakangan ini. Walaupun bebannya ke atas sistem kesihatan negara dikatakan masih boleh bertahan lagi, namun ini semua bergantung kepada sistem pengurusan dan keputusan yang ampuh bakal diumumkan kelak.

Setakat ini, langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak timbul mengikut sumber tertentu. Dilaporkan beberapa langkah strategik baharu sedang difikirkan sebagai ganti. Pun begitu, sikap #kitajagakita perlu diamalkan semula penuh tenaga. Ini termasuk penjagaan jarak fizikal (bukan sosial), tahap kebersihan tertinggi, pemakaian pelitup muka di khalayak serta kepatuhan kepada garis panduan dan peraturan yang dirasmikan dari masa ke masa.

Semua ini boleh menjadikan langkah penyelamat utama yang berkesan sebelum soalan berkaitan pemberian suntikan vaksin diambil kira. Jelas, suntikan bukan satu pertimbangan mudah berasaskan pengalaman dua, tiga tahun lalu di seluruh dunia. Beberapa kontroversi utama penggunaan suntikan masih berlegar sehingga digelar sebagai aparteid, kapitalisme, tidak setara – malah juga dakwaan jenayah ke atas kemanusiaan oleh badan-badan berwibawa seantero.

Semua mengarah kepada sikap pertimbangan tentang suntikan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Bahkan memerlukan amanah yang kental lagi penuh bertanggungjawab. Di sini sikap saling percaya antara kerajaan dan rakyat amat penting untuk mendapatkan kepatuhan secukup mungkin. Dengan kata lain, amanah menjadi pokok asas paling utama dalam mencegah tercetus satu lagi pandemik dahsyat. Pecah amanah akan mengakibatkan beratus ribu nyawa terancam.

 

DZULKEFLY Ahmad wajar menebus kembali maruah yang tercalar sebagai seorang pakar dalam bidang
toksikologi (keracunan) yang disegani.

KLUSTER NIKOTIN
Satu-satunya pecah amanah paling nyata tidak dapat lari daripada langkah ‘menghalalkan’ penggunaan racun secara bebas adalah nikotin, bersama vape cecair ataupun berbentuk gel. Keadaan ini berlarutan sejak 1 April lagi dan masih belum jelas bagaimana akhirnya, selepas beberapa kali mungkir janji – satu bentuk pecah amanah yang terburuk.

Susulan itu, penyalahgunaan nikotin dalam vape berlaku berleluasa dalam kalangan anak-anak muda serta remaja di bangku sekolah. Tetapi tidak diendahkan sewajarnya.

Pada November sahaja terdapat laporan lebih RM1.2 juta di kompaun akibat kesalahan merokok, manakala apa yang berlaku dengan penggunaan vape masih samar-samar.

Apa yang jelas, ada laporan sekumpulan pelajar mengalami muntah-muntah di bilik darjah diakui berkaitan penyalahgunaan vape mengikut aduan guru berkenaan. Ada juga pelajar yang kelihatan ‘gian’ dengan matanya merah serta longlai tidak berdaya bangun apabila dijumpai.

Atas kejadian seumpama ini, para guru menyatakan kebimbangan kerana hal seperti ini nampaknya terus meningkat di dalam kawasan sekolah dan tandas awam. Begitu juga keadaan kotor di tandas awam seperti ditegur Perdana Menteri lalu mengarahkan kebersihan diutamakan sesuai dengan garis panduan mengelakkan Covid-19.

Semua ini ternyata boleh memburukkan lagi keadaan seperti mana kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkait dengan melonggarkan kawalan nikotin yang dipaksakan juga oleh Menteri Kesihatan sebelum ini. Dan sisa-sisa ketagihannya masih dirasakan seperti amaran para profesional kesihatan yang disepak ke tepi sahaja.

Tambahan pula pihak sekolah tidak lagi berupaya mencegah atau mengawalnya. Maka kemungkinan wujudnya kluster nikotin akibat serangan Covid-19 berkumpulan tidak dapat dinafikan.

Semua ini kini jatuh ke atas bahu Dzulkefly, mahu tidak mahu, sebagai amanah besar yang sudah pun dikompromikan tanpa apa pencerahan munasabah daripada para menteri yang terlibat secara langsung (Pendidikan, Ekonomi, Belia dan Sukan serta Komunikasi dan Digital) atau yang tidak langsung (Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Menteri Sains Dan Teknologi ).

Oleh itu, jika Dzulkefly benar-benar jujur memohon maaf, ini adalah satu-satunya ketika ‘tiada maaf bagi mu’ (serta yang bersekongkol) sekiranya ia berterusan atas sikap yang mirip rakan sejawat terdahulu – angkuh, enggan menerima pendapat profesional lain termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang jelas prihatin memerangi kemudaratan nikotin ke atas masyarakat habis-habisan. Khusus bagi anak-anak muda dan remaja, membuatkan gelagat Kementerian Kesihatan (KKM) cukup memalukan.

Dzulkefly wajar menebus kembali maruah yang tercalar sebagai seorang pakar dalam bidang toksikologi (keracunan) yang disegani. Selagi KKM tidak dapat memecahkan kebuntuan, selagi itulah rakyat terhukum di ambang keracunan tidak kesudahan. Sekali gus mengancam amanah yang digenggam untuk mengatasi anasir jahat mengkhianati sumpah-sumpah yang telah dilafaz dalam membela nasib rakyat jelata. Mudah-mudah pembelaan akan tiba jua untuk negara tercinta.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×