Universiti di ambang penjara kaca ala Gaza? - Utusan Malaysia

Universiti di ambang penjara kaca ala Gaza?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ‘satu acuan untuk semua’ tidak lagi sesuai apabila berucap semasa Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia (MQAIC) 2023 di Kota Kinabalu, 7 November lalu, kebelakangan ini amat berketepatan pada masa dan tempatnya.

Ini ditegaskannya lagi Ahad lalu di Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam era BANI (brittle, anxious, non-linear, incomprehensible – rapuh, gemuruh, tidak sealir, tidak mudah difahami) jelas membayangkan bahawa tiada satu-satu acuan yang sesuai untuk menangani kekusutan era tersebut. Banyak yang sudah dan akan berubah.

Tiada penyelesaian tunggal atau petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mana-mana satu cabaran yang bakal muncul. Lihat sahaja wabak Covid-19. Ini termasuklah acuan ranking yang kaku atas nama kualiti kelas dunia yang juga digugat pandemik, apalagi dirasuk BANI sehingga ditegur dalam laporan bebas Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) seperti ulasan minggu lalu.

Selaras itu, Malaysia dan negara lain bersama agensi kelayakan masing-masing wajar mengambil langkah tidak turut terjebak kerana acuan tersendiri yang juga tidak anjal selama ini. Misalnya, kecenderungan kepada acuan industri untuk mendapat pekerjaan semata-mata.

Sedangkan kemahiran bermasyarakat sebagai anggota yang beramanah, umumnya tidak diambil kira walaupun mampu menawar peluang perkhidmatan yang juga menarik.

Negara Jepun misalnya ada skema untuk menarik para siswazah kembali ke desa-desa untuk menggalakkan keanjalan desa serta mengelakkan dari tertelan dalam persaingan dengan industri bagaimana pernah berlaku di Pulau Pinang, kini di merata pelosok.

Banyak desa diceroboh lambat laun kerana ketidakanjalan acuan yang jumud masyarakat. Julukan ‘Minah Karan’ dan ‘Mat Spana’ masih menghantui apabila industri mengambil alih halaman desa dan sawah padi melalui acuan WEIRD – western-centric, economic-biased, industry-led, ranking-obsessed, dan kesudahannya dehumanising (nyah-manusiawi!).

WEIRD menjadi seakan-akan acuan pendidikan negara di mana ranking menjadi nadinya. Namun, model akademik ini lusuh semasa pandemik, dan terbaru ini gagal menangani isu pembunuhan beramai-ramai di Gaza, manusia tidak berdosa, selepas lebih sebulan tanpa reda. Melewati 10,000 nyawa diragut, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak, selain wanita serta warga tua! Tidak kira di mana.

Malah universiti-universiti di Barat angkuh bertindak sebaliknya, mematikan hak bersuara serta yang membantah pihak durjana punya angkara. Kelompok kaya-raya memihak kepada industri gergasi berjenama mewah merata dunia dengan menyalurkan dana berbilion dolar untuk teruskan penganiayaan.

Ada yang menarik balik dana dari pihak yang tidak disenanginya. Apalagi yang dibenci, tanpa soal jawab. Dunia ilmiah, terus terancam, membisu apabila dibuli.

EKOSISTEM pendidikan di universiti memerlukan rombakan menyeluruh bagi memanusiawi manusia mengikut petua Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang begitu lama tergendala. – GAMBAR HIASAN/IZLIZAN OTHMAN

ADAB
Dengan kata lain, demi mematahkan amalan serta budaya satu-acuan-untuk-semua, khususnya ranking dan sifat WEIRD, perlu mengamalkan nilai pendidikan berpaksikan ADAB. Yakni, ‘amanah’ serta ‘dakar’ (berani) pada asasnya, dicontohi ‘akhlak’ serta ‘budi’ sebagai pencerahannya.

Empat nilai tersebut mampu menentukan keanjalan berlaku tanpa ragu dan celaru, tanpa cacat cela di bawah kawalan ADAB begitu kental lagi terasuh rapi. Berani mara, tiada masa untuk bersengketa sesama kita. Tiada juga ruang atau peluang untuk menyeleweng atau keinginan rasuah di atas nama keanjalan itu dan ini dalam mencuri kesempatan dan ketamakan.

Ertinya pendidikan mesti mengakari nilai berkenaan bagi menjiwai semula manusia. Bukan teknologi yang tidak mengenal nilai dan ADAB bersendikan asli digital atau modal insan yang menyisihkan soal pokok, keinsanan sejahtera. Kecerdasan buatan (AI) mesti tidak boleh mendahului kecerdasan naluri (NI) atau semula jadi (fitrah) dalam membentuk keanjalan hidup sejahtera yang seimbang.

Puluhan juta ringgit untuk membangunkan prasarana AInya, mesti ditandingi NI bagi mengekalkan keanjalan manusiawi supaya tidak dimamah teknologi canggih ala robot tanpa roh, dan adunan algoritma ChatGPTnya. Bagaimana pula algoritma Ilahi melalui ‘ChatGPT’ insani kiasan qalbu salim?

Pandemik menjadi saksi. Umum ketahui bahawa hal di atas tidak pun tersentuh. Ramai yang tidak sedar akan potensinya, apalagi mendampingi bagi menangani kemelut emosi selepas terkurung begitu lama. Algoritmanya bukan yang terkini, jangankan untuk memberi pendoman naluri supaya terus sejahtera.

Lantas, tercetus satu lagi bencana emosi menyelar kesihatan mental dan emosi akibat NInya terus terabai berbanding AI. Memadamkan keanjalan hidup sehingga tidak berdaya sebagai insan sejahtera dalam melepasi cengkaman BANI yang kian mendesak!

Akhir kalam, ekosistem pendidikan memerlukan rombakan menyeluruh supaya keanjalan menjadi nadi dan nadanya buat masa hadapan untuk memenuhi tuntutan manusiawi sejati. Bukan sekadar cuit sana dan sini dalam acuan WEIRD tanpa mengakari ADAB sedalam mungkin bagi memanusiawi manusia mengikut petua Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang begitu lama tergendala!

Jalan keluar dalam hal ini memerlukan satu keupayaan mengembalikan semula peranan dan maruah universiti dan institusi pendidikan sebagai pejuang jati masyarakat sejagat serta ketamadunannya. Semoga tidak diratah kuasa durjana ala di Gaza, Palestin. Inilah hakikatnya apabila minda terkurung bagaikan penjara kaca ala Gaza mengikut perhitungan penindasan.

Yang tidak akur, mulut mereka disumbat supaya tidak dapat berbicara agar agenda buruk terus menentukan segala-galanya. Yang meronta-ronta pula akan dibedil sesuka hati, memusnahkan dengan apa cara juga. Tidak kira siapa.

Maka, cukup malanglah jika masih ada pihak yang belum memahami apa erti semuanya ini. Segera genggamlah ADAB supaya tiga saranan utama laporan UNU tuntas ditepati menjadi lebih anjal mengatasi BANI. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN