UMK tersenarai antara universiti muda terbaik - Utusan Malaysia

UMK tersenarai antara universiti muda terbaik

SEPANJANG tempoh 17 tahun, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah melahirkan seramai 20,663 graduan. – IHSAN UMK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELURUH warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai sebab untuk merasa puas dan selesa selepas menamatkan Istiadat Konvokesyen Ke-13 yang berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 4 hingga 7 November lalu.

Dewan Tuanku Canselor UMK di Bachok menyaksikan semua upacara berjalan lancar, meriah dan segar. Bergema dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian. Melonjak semangat baharu, tersimpuh rasa bangga dan syukur selain optimis untuk terus bergerak maju menggapai kecemerlangan.

UMK berada di landasan yang betul dalam menelusuri keperluan semasa, sesuai dengan perubahan dunia global yang saling bergantungan dalam seluruh ekosistem kehidupan manusia sama ada dalam aspek ekonomi, politik mahupun sosial.
Hal ini dipetik dari titah ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra selaku Pro Canselor UMK pada hari pertama konvokesyen.

Baginda yakin, UMK berupaya menyediakan reka bentuk kurikulum dan penawaran program pengajian yang dinamik dengan mengambil kira program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya selari dengan tuntutan menjadikan bidang pendidikan sebagai ‘penawar’ bagi menangani pelbagai permasalahan kompleks yang dihadapi oleh masyarakat.

Menarik saranan yang dilontarkan oleh baginda Tengku Mahkota. Meletakkan agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, baginda mencadangkan pendekatan Strategi Lautan Biru (BOS), menjalin kerjasama di antara UMK, kerajaan Kelantan dan pihak swasta supaya dapat memberi manfaat yang signifikan kepada kesejahteraan rakyat jelata.

Teringat kata-kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berkunjung ke UMK beberapa bulan lalu, bahawa pihaknya menyimpan neraca penilaian tersendiri terhadap UMK dalam membina kecemerlangan ilmu dan memberi impak kepada manfaat yang diperoleh masyarakat.

Mohamed Khaled mencadangkan UMK menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Peringkat Pendidikan Tinggi di Malaysia sebagai inisiatif strategik ke arah menerapkan minat dan nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Ini sesuai dengan falsafah kurikulum pengajian di UMK berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan dalam semua program pengajiannya.

Sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi itu, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr. Razli Che Razak dalam ucapannya pada Istiadat Konvokesyen Ke-13 itu berkata, pihaknya akan berusaha dengan meletakkan keazaman tinggi agar UMK mengungguli agenda keusahawaan peringat nasional. Slogan UMK ialah, Keusahawanan Teras Kami.

PENCAPAIAN
Sudah 17 tahun UMK lahir di bumi Kelantan. Sepanjang tempoh itu, institusi ini telah melahirkan seramai 20,663 graduan, termasuk 2,839 graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen yang Ke-13, baru-baru ini.

Kata Razli, data kebolehpasaran graduan UMK sehingga 24 Februari lalu menunjukkan, pencapaian 92.5 peratus, manakala data usahawan graduan pula pada 10.9 peratus. Pencapaian cemerlang itu mengatasi sasaran yang telah ditetapkan pihak universiti iaitu pada kadar masing-masing 91 dan 10 peratus.

Tambah Razli, pencapaian itu menunjukkan bahawa UMK berada pada landasan yang jelas dan tepat dalam usaha mencapai misi sebagai Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN pada 2030.

Bersempena majlis Istiadat Konvokesyen Ke-13 kali ini, Naib Canselor turut menyenaraikan beberapa pencapaian utama lain sepanjang tahun ini. Antaranya, UMK melakar sejarah apabila tersenarai sebagai universiti muda terbaik di dunia pada kedudukan ke 501-601 berdasarkan penarafan Times Higher Education (THE) Young University Ranking 2023.

Pada peringkat Asia, UMK berada pada kedudukan 501-600 berdasarkan penarafan THE World Ranking Asia 2023 yang sekali gus menempatkan UMK sebaris dengan universiti bertaraf dunia di benua Asia.

Terbaharu, UMK telah berjaya tersenarai dalam pencapaian THE World University Ranking by Subject 2024 yang diumumkan pada 26 Oktober lalu bagi tiga subjek iaitu Perniagaan dan Ekonomi pada kedudukan 801+, Kejuruteraan (kedudukan 1001+) dan Sains Fizikal (kedudukan 1001+).

Apa yang penting ilmu yang ditimba dimanfaat untuk faedah diri dan masyarakat. Biar berupaya menabur bakti, memajukan diri, menggapai kejayaan sambil mencari keredaan Tuhan.

Menarik memetik beberapa titipan nasihat kata mutiara Naib Canselor di penghujung bicara. Antaranya, graduan perlu menjadi contoh teladan yang baik dalam masyarakat dengan ciri-ciri integriti, amanah, bertanggungjawab, berketerampilan dan responsif.

Juga pesannya, graduan UMK seharusnya mempunyai tekad yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk menyumbang secara langsung kepada masyarakat melalui pemindahan ilmu, kemahiran serta kepakaran masing-masing dalam usaha mengangkat taraf hidup masyarakat.

Setinggi mana terbang kedidi, turun hinggap singgah di kali. Betapa indah nilainya budi, dengan ilmu insan berbakti. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN