Tiba masa tamatkan polemik ranking - Utusan Malaysia

Tiba masa tamatkan polemik ranking

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini semakin kuat kedengaran dan kerap saranan supaya tidak terlalu taasub dengan sistem ranking yang menentukan kedudukan sesebuah universiti.

Terkini pada 19 Oktober lalu, dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), peringatan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri mengulangi perkara yang sama supaya universiti tidak terlalu taasub kepada sistem ranking.

Perbincangan tentang baik buruk penarafan universiti sudah lama berlaku malah sudah agak tepu sehinggalah Kumpulan Pakar Bebas di bawah Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) mengeluarkan kenyataan yang keras bahawa ranking mengakibatkan kesan buruk yang menggugat misi dan aspirasi penubuhan sesebuah universiti terutama dalam aspek sumbangan dan peranan kepada masyarakat.

Dalam perdebatan ini, kumpulan yang menyokong ranking berpendirian bahawa penarafan ini perlu bagi memastikan universiti mencapai kualiti dan standard antarabangsa. Hal ini pastinya menjadikan universiti Malaysia tidak syok sendiri.

Di pihak yang menentang ranking, hujahnya adalah ‘Tiada satu saiz yang sesuai untuk semua’ kerana setiap universiti mempunyai misi dan aspirasi yang berbeza.

Ranking bagi mereka juga sudah tersasar jauh dari matlamat asal ranking tersebut, kerana sudah dimanipulasikan oleh pihak komersial yang menjadikan ranking sebagai satu model perniagaan.

Apa pun hujah kedua-dua pihak ini, yang pasti selepas universiti dilanda pandemik dan juga melihat parahnya krisis kemanusiaan di Gaza, yang mana peranan universiti kepada proses pembentukan nilai dan karakter graduan semakin banyak dipersoalkan.

Maka sudah tiba masanya untuk menamatkan polemik ranking ini dan terus memfokuskan kepada usaha dan tindakan selanjutnya supaya ia tidak sekadar retorik.

Tindakan pertama yang boleh dilakukan adalah dengan membina dan melaksanakan secepat mungkin pendekatan baharu bagi menilai prestasi universiti.

Saranan dan laungan untuk menghentikan ketaasuban belum pasti akan mengubah keadaan kerana cengkaman ranking ke atas proses dalaman universiti sudah terlalu lama berjalan.

Selagi tiada alternatif, selagi itulah sistem yang ada akan terus menghantui perjalanan universiti.

Pendekatan baharu yang dibina mesti bersifat menyeluruh dan developmental, bukan sekadar kuantitatif kerana universiti bukan seperti kilang yang menghasilkan produk.

Universiti adalah institusi yang bertanggungjawab membentuk karakter dan nilai sebagai agenda utamanya.

Universiti mempunyai peranan yang sangat-sangat besar dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan tamadun, tidak hanya menjawab kepada keperluan industri atau pasaran kerja.

Berdasarkan peranan besar ini, proses penilaian yang sewajarnya adalah sistem yang dapat memastikan dan seterusnya menilai input, output, hasil dan impak yang menyumbang kepada proses pembentukan nilai dan karakter berdasarkan misi dan visi universiti tersebut.

Inilah tujuan murni asal proses penilaian bagi memastikan kualiti dan standard.

KOMUNIVERSITI
Antara pengukuran yang mula mendapat perhatian adalah U-Multirank, Australian Engagement and Impact Assessment, Towards a European Framework for Community Engagement of Higher Education, San Francisco Declaration on Research Assessment, Human Metric Initiative dan beberapa lagi.

Kehadiran kumpulan alternatif ini berjaya membentuk satu gelombang baharu yang memberikan kesedaran pentingnya untuk keluar dari sistem ranking yang sedia ada kepada sistem penilaian yang lebih relevan.

Bagi Malaysia inilah ruang dan peluang terbaik untuk membawa perubahan kepada landskap universiti dengan membina pendekatan kita sendiri.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang meletakkan matlamat pembangunan dan kesejahteraan masyarakat sebagai agenda penting negara, maka universiti mesti dinilai dengan berteraskan matlamat yang sama.

Bagi tujuan itu, parameter yang perlu ada mestilah memasukkan matlamat ini ke dalam ketiga-tiga fungsi utama universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan pemberdayaan komuniti yang perlu distrukturkan dengan jelas melalui input, output, hasil dan impak.

Sebagai memulakan tindakan menyediakan alternatif ini, sekumpulan penyelidik dari lima universiti awam di Malaysia sedang membina pendekatan berteraskan konsep komuniversiti (komuniti dan universiti).

Konsep komuniversiti yang menggagaskan hubungan simbiosis komuniti dan universiti ini akan berteraskan lima komponen iaitu kesatuan ilmu atau transdisiplinari, transformasi dan kepimpinan komuniti, kelestarian keusahawanan, penyelidikan dan inovasi bertanggungjawab, kolaborasi dan pertukaran.

Kelima-lima komponen ini merangkumi keseluruhan peranan universiti yang mampu mengorientasikan seluruh fungsi universiti supaya lebih relevan dengan komuniti dan peranan universiti secara keseluruhannya.

Tindakan kedua yang perlu dilakukan bagi merungkai ketaasuban terhadap ranking ini adalah mengenal pasti rantaian kesan negatifnya ke atas urus tadbir dan operasi universiti terhadap ketiga-tiga kumpulan – akademik, pentadbir dan pelajar.

Di peringkat kakitangan akademik misalnya, akibat dari mengejar ranking, pensyarah perlu mengejar penerbitan di jurnal peringkat tertentu.

Tekanan ini memberi ruang kepada amalan yang amat tidak sihat di mana pensyarah sanggup membayar demi untuk mendapatkan penerbitan di jurnal yang diragui kualitinya bagi melunaskan syarat-syarat kenaikan pangkat misalnya.

Di peringkat pentadbir pula, ranking mengakibatkan banyak proses perlu diperhambatkan dan bersifat jangka pendek kerana permintaan untuk memberikan data perlu diperbaharui setiap tahun. Kualiti dan impak bukan lagi menjadi keutamaan.

Pelajar pula yang paling malang kerana universiti di ranking tinggi tidak menjamin kualiti pengajaran yang sama tinggi kerana terdapat pensyarah yang memilih atau terpaksa memberi lebih tumpuan kepada melakukan penyelidikan atau menulis artikel untuk jurnal.

Sebagai kesimpulannya, tidak salah kalau status kedudukan ini adalah by-product hasil kecemerlangan sesebuah universiti tetapi apabila mengejar kedudukan ranking menjadi tujuan utama, akibat buruknya universiti akan tersasar jauh dari tujuan kewujudannya.

Proses audit dan pelbagai proses penilaian yang sedia ada seharusnya sudah cukup untuk memastikan kecemerlangan setiap universiti.

Kalau kita masih memerlukan orang luar untuk menentukan hala tuju kita, maka ada sesuatu yang tidak kena pada perjalanan universiti kita. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN