Tata kelola baik inti sari masyarakat madani - Utusan Malaysia

Tata kelola baik inti sari masyarakat madani

SEMUA pihak harus memberikan sokongan kepada SPRM diterajui Azam Baki yang berperanan memastikan tata kelola dan integriti dalam setiap urusan di negara ini dijaga dengan baik. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMUS Dewan memaknakan madani sebagai maju daripada segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Jelas di sini, ia merujuk kepada keadaan dan sifat insan atau mana-mana kelompok insan itu sendiri.

Apabila membincangkan berkenaan masyarakat atau negara madani, maka ia tidak dapat lari daripada makna asas ini.

Konsep madani turut dikupas oleh para ilmuwan agung seperti Al-Farabi, Ibn Khaldun dan Ibn Miskawayh sejak kurun keempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Al-Farabi mentafsirkan madani adalah ketamadunan yang menimbulkan perbahasan mengenai al-Madinah al-Fadhilah (negara yang ideal/utama).

Manakala Ibnu Khaldun pula mengembangkan berkenaan konsep manusia madani dan kaitannya dengan masyarakat yang mencapai tahap umran (masyarakat yang mencapai tahap kemakmuran dan pencapaian tinggi dari segenap elemen ketamadunan).

Syah Waliyullah ad-Dehlawi (1762 Masihi) juga adalah seorang tokoh ulama dan ahli fikir terkemuka Islam yang turut menyentuh berkenaan kemajuan peradaban atau masyarakat madani ini.

Di antara gagasan pemikiran beliau yang masyhur ialah berkenaan konsep al-Irtifaqat iaitu satu istilah yang digunakan oleh Syah Waliyullah bagi menunjukkan tahap kemajuan peradaban dalam sesebuah masyarakat.

Irtifaqat ialah kata jamak perkataan irtifaq yang bermaksud lembut, selesa, baik, menolong, memberi manfaat dan sebagainya.

Syah Waliyullah menggunakannya dalam erti kata khas yang menunjuk kepada tahap pembangunan sosioekonomi yang berbeza bagi sesebuah masyarakat.

Menurut beliau, terdapat empat tahap irtifaqat bagi perkembangan sesebuah masyarakat madani itu. Pertama, kehidupan masyarakat primitif yang hanya berorientasi untuk memenuhi keperluan dasar.

Kedua, manusia mula meningkat pemikirannya dan mula memikirkan bagaimana mendapatkan kehidupan yang lebih munasabah. Ketiga, taraf kehidupan kota dan keempat ialah bagaimana manusia mencapai puncak peradaban.

Irtifaq ketiga inilah yang merujuk kepada konsep sebuah masyarakat madani dan boleh memacu terbentuknya sebuah peradaban manusia di peringkat global.

Bagi Syah Waliyullah, yang dimaksudkan kota bagi irtifaq ketiga ini bukanlah merujuk sekadar tembok, pasar atau bangunan.

Sebaliknya kota itu merupakan satu bentuk hubungan antara kumpulan manusia yang berbeza, berdasarkan urusan dan kerjasama sesama mereka.

Keperluan untuk memelihara dan menata hubungan ini memerlukan wujudnya pentadbiran yang berkesan serta perlu ditata kelola dengan baik.

Definisi berkesan dan baik di sini bermaksud dengan apa yang dikatakan baik oleh wahyu dan syariah.

KEROSAKAN
Walaupun Syah Waliyullah membincangkan empat irtifaqat ini berlandaskan perkembangan sosioekonomi sesebuah masyarakat, bagaimanapun kesemuanya dijalin dengan konsep demi mencapai keredaan Allah SWT yang diistilahkan oleh beliau dengan istilah iqtirabat; iaitu cara dan peringkat penyucian serta pembangunan rohaniah diri.

Masyarakat madani bagi Syah Waliyullah ialah hasil daripada proses melalui pengalaman peningkatan empat tahap irtifaqat sesebuah masyarakat bagi terhasilnya iqtirabat ini.

Beliau turut menyenaraikan lima institusi yang perlu ada bagi mengelola pentadbiran masyarakat di tahap irtifaq ketiga atau masyarakat madani ini.

Institusi tersebut ialah badan kehakiman, eksekutif, polis dan tentera, kebajikan dan kerja awam serta hal ehwal agama dan moral.

Ia bertujuan supaya kemajuan negara kota atau masyarakat madani ini dapat diteruskan dan pemantauan ke atas isu rasuah, penyalahgunaan, kekacauan dan kerosakan.

Pemantauan terhadap isu rasuah di negara ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Seperti yang telah ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa ketirisan dana awam akan berleluasa dan penguatkuasaan undang-undang pula menjadi lemah sekiranya tata kelola dan integriti dalam perkhidmatan awam tidak dijaga dengan baik.

“Penguatkuasaan undang-undang dilihat lemah, pendatang asing tanpa izin bebas keluar masuk, ketirisan dana awam berleluasa, urusan perolehan tidak teratur merupakan kesan daripada integriti perkhidmatan yang tidak dijaga.

“Jangan biarkan integriti yang wajib dipertahankan dipijak-pijak demi habuan yang tidak seberapa. Jangan kerana ‘setitik nila rosak susu sebelanga’. Bagi golongan sebegini, integriti tidak lekat di hati, sebaliknya letaknya di kaki,” katanya.

Berlandaskan konsep irtifaqat dan iqtirabat ini, dapat disimpulkan bahawa masyarakat madani itu amat menekankan berkenaan tata kelola berkesan, pengukuhan integriti dan kawalan dalaman terhadap korupsi.

Oleh itu, untuk negara kita menjadi sebuah negara yang madani, pengukuhan ekosistem tata kelola baik dan berkesan sangat diperlukan.

Sejarah dunia telah menunjukkan bahawa sebuah empayar besar yang berusia ratusan tahun sekalipun, akan berakhir dengan keruntuhan jika pentadbirannya tidak dilaksanakan berasaskan tata kelola yang baik. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×