Rakyat solat, negara hebat - Utusan Malaysia

Rakyat solat, negara hebat

UNTUK memastikan Malaysia menjadi negara yang hebat seiring seruan Anwar Ibrahim yang mengajak rakyat kembali memupuk nilai murni dalam keluarga, bab solat mesti diberi perhatian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAK baiki dunia, kena baiki manusia; nak baiki manusia, kena baiki hatinya; nak baiki hatinya, kena baiki solatnya. Demikian antara kata-kata yang selalu diungkapkan oleh para ulama untuk memperbaiki kualiti hidup seseorang di muka bumi.

Untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang hebat seiring seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 November lalu, yang mengajak rakyat kembali memupuk nilai murni dalam keluarga, bab solat mesti diberi perhatian.

“Kalau institusi keluarga pun sudah porak-peranda, maka sukar hendak bentuk masyarakat, bahkan jika keluarga porak-peranda maka sukar hendak atur bina balik negara,” katanya ketika berucap pada pelancaran Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di Putrajaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal ini sudah dijelaskan oleh Islam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. (al-‘Ankabut: 45)

Proses pembentukan insan yang hebat memang bermula dari rumah. Rumah tangga yang sentiasa disuburkan dengan amalan-amalan soleh selalunya akan melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya tetapi terpuji akhlaknya.

Sebab itulah dalam mencari pasangan hidup pun, Islam memberi panduan agar memilih isteri yang beragama berbanding wajah yang cantik dan berstatus bangsawan.

Ini disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Wanita itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan empat ciri iaitu kerana hartanya, keturunannya (kemuliaan keturunan), kecantikannya dan pegangan agamanya. Oleh itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ternyata memilih pasangan hidup juga amat penting untuk memastikan zuriat keturunan kita menjadi orang baik-baik. Walaupun kita maklum, iman itu tidak boleh diwarisi, memiliki pasangan suami atau isteri yang beriman, insya-Allah anak yang dalam kandungan itu akan dibajai dengan amalan-amalan yang baik.

Anak dalam kandungan akan sentiasa diperdengarkan dengan bacaan al-Quran dan juga zikir-zikir sepanjang isteri hamil. Menjadi ibu bapa bukanlah satu pengiktirafan yang percuma dan memberi manfaat kepada sebelah pihak sahaja. Sebaliknya, martabat itu disertai dengan tanggungjawab besar yang dipikul oleh ibu bapa.

Sebabnya, anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari)

Semua ibu bapa mahukan anak yang berjaya, soleh dan baik. Namun, bukan semua mampu memberi didikan untuk mencapai cita-cita tersebut. Ramai yang hanya memasang impian tetapi tidak mengatur langkah untuk mencapainya.

Sedangkan menjadi ibu bapa berjiwa besar bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Anak-anak akan sentiasa melakukan kesilapan dan memerlukan panduan ibu bapa untuk menunjuk ke jalan yang benar. Ada masanya, ibu bapa melihat anak-anak sebagai beban sehingga memberi kesan negatif kepada anak-anak itu.

IBU

Berapa ramai ibu bapa yang hanya sibuk menyediakan kecukupan fizikal anak-anak. Baik dari segi makan, minum, pakaian dan keperluan material. Barangkali atas sebab itu ramai yang tersilap sehingga terlupa mempersiapkan anak-anak dengan bekalan di alam yang kekal abadi.

Sebab itu, masih ramai ibu bapa yang marah jika anak tidak pergi tuisyen atau kelas tambahan akademik berbanding mengejutkan anak-anak untuk solat terutama sembahyang subuh. Alasan yang klise, kasihan nak kejutkan anak pada waktu subuh. Walhal itulah kewajipan ibu bapa.

Kewajipan sebagai ibu bapa adalah mendidik anak dengan baik dari segi pemantapan iman terutama dalam ibadat dan hubungan baik sesama insan. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman: 17)

Walhal, jika seorang bapa itu sayang isteri dan anak-anaknya, dia akan sentiasa berusaha memelihara mereka daripada kemaksiatan dan neraka. Bagi isteri yang solehah pula, mereka perlu sedar tentang mustajabnya doa ibu kepada anak-anaknya.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Allah reda dengan sebab reda ibu bapa dan Allah murka dengan sebab murka ibu bapa. (Riwayat Tirmidzi)

Oleh itu, jangan diperkecilkan segala niat dan tindakan seorang ibu terhadap anak-anak permata hati kita. Masa, perhatian dan tenaga yang diperuntukkan untuk keluarga dan anak-anak bukanlah sia-sia, sebaliknya semua itu dapat mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang kukuh serta sihat mental dan fizikal.

Ucapan dan doa yang baik daripada seorang ibu mampu melahirkan kebahagiaan hidup. Bahkan ia juga dapat mengakibatkan petaka andai doa yang sebaliknya diniatkan jauh di sudut hati.

Kita sering diingatkan dengan kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah tentang soalan daripada seorang lelaki kepada Nabi SAW yang bermaksud: Wahai utusan Allah, siapa di antara kaum keluargaku yang paling berhak atas laku kebaikanku?

Rasulullah berkata: ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Rasulullah menjawab, ‘ibumu’. Lelaki tersebut bertanya lagi, ‘Kemudian siapa lagi?’ Rasulullah sekali lagi menjawab, ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa lagi?’ Jawapan Rasulullah, ‘ayahmu’. (Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Syafie menyebut perihal mereka yang suka agar Allah membuka pintu hatinya atau memberinya cahaya keimanan, hendaklah dia menjaga tiga perkara berikut:

1. Tinggalkan perkataan dan perbualan yang tiada faedah.

2. Tinggalkan dosa-dosa yang lepas dengan bertaubat dan jauhkan dosa dan maksiat yang akan datang.

3. Hendaklah ada antara dia dan Allah amalan rahsia, amalan secara tersembunyi.

Rahsia mencapai kehebatan dan kejayaan individu, keluarga termasuk negara adalah yang menjaga solatnya dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Ingatlah pesanan Saidina Umar: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.” – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×