Perlu kekuatan jentera luar biasa tawan Kemaman - Utusan Malaysia

Perlu kekuatan jentera luar biasa tawan Kemaman

AHMAD Said (dua dari kanan) telah mengumumkan tidak akan bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman di Terengganu, 2 Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Terengganu yang akan diadakan pada 2 Disember ini adalah medan pertarungan yang dilihat dapat menguji sekali lagi kekuatan jentera kempen dari parti UMNO yang mewakili pihak kerajaan perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 18 November sebagai hari penamaan calon PRK terbabit manakala pengundian awal pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas calon BN Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah mengumumkan tidak akan bertanding semula pada PRK terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Teka-teki calon BN yang bakal bertanding masih belum terjawab dan hanya akan diketahui apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumnya dalam majlis khas di Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Pada PRU15 lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Pertarungan empat penjuru ketika itu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Sebenarnya, pertandingan ini adalah satu medan pertarungan yang sengit memandangkan calon UMNO perlu bertempur di dalam kubu kuat Pas di Terengganu dan sudah pasti ia memerlukan seluruh kekuatan jentera yang luar biasa untuk menawan hati pengundi di Kemaman.

Kerajaan perpaduan dilihat kini mempunyai kelebihan apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang telah menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dari PN mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar. Menurutnya, ia susulan permasalahan kos sara hidup dan himpitan keperluan asas yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut termasuk isu pembangunan.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim mengambil tindakan sama.

Sudah pasti sokongan tersebut akan dizahirkan melalui kerjasama baik bersama UMNO di dalam PRK Kemaman bagi membantu menjelaskan keupayaan kerajaan perpaduan membawa masuk banyak pelaburan asing dan domestik di dalam negara.

PELABURAN

Keadaan ini sudah mampu meningkatkan keyakinan pengundi di Kemaman. Jika ditelusuri dengan tempoh masa yang ada dan calon yang bakal dikemukakan oleh UMNO ia adalah faktor penentu kemenangan dan mampu diterima majoriti pengundi memandangkan Kemaman dilihat berpotensi menjadi wakil bagi membawa suara rakyat di Parlimen mewakili rakyat Terengganu secara umumnya.

Tekad untuk membawa perubahan besar bagi Terengganu perlu ditingkatkan dengan memastikan kemenangan calon UMNO di dalam PRK Kemaman. Hal ini mampu dijadikan satu analisis dan penanda aras bagi mengukuhkan lagi kerusi kerajaan perpaduan di Parlimen dan seterusnya memastikan agenda pembangunan di Terengganu dapat berjalan dengan lancar.

Gagasan Malaysia Madani mampu menterjemahkan hasrat untuk memenangi hati pengundi melalui dasar dan pendekatan yang telah pun dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan rakyat Terengganu menikmati agenda memartabatkan pendapatan ekonomi rakyat melalui pelaburan luar negara dan inisiatif pengupayaan pelaburan domestik.

Ini kerana Terengganu dilihat mempunyai peluang meningkatkan pelaburan dengan kerjasama dan persefahaman kukuh dengan Kerajaan Persekutuan. Justeru, peluang ini mampu membawa anjakan terhadap usaha baik Kerajaan Pusat dengan memastikan persefahaman wujud melalui kemenangan calon dari pihak UMNO di Kemaman.

Selain itu, rakyat Kemaman boleh melihat dan menilai sendiri keupayaan dan kebolehan calon dari pihak yang bertanding untuk membawa kemajuan dan mempunyai pengupayaan bagi meneroka lebih banyak program untuk membantu rakyat di situ.

Ini akan menjadikan Kemaman destinasi utama tumpuan Kerajaan Persekutuan meningkatkan lebih banyak kemudahan infrastruktur dan membantu agenda pemerkasaan rakyat dan pembangunan dapat dilaksanakan segera.

Kesempurnaan tekad ini memerlukan sokongan padu penduduk Kemaman untuk memastikan agenda pembangunan tersusun mengikut keperluan bagi rakyat di situ di samping melihat angin perubahan politik di Terengganu dapat dibina dengan kepemimpinan baharu dan lebih dinamik.

Justeru, PRK Kemaman mampu menjadi penanda aras sokongan rakyat terhadap usaha baik kerajaan perpaduan dan ia mampu menterjemahkan kepada agenda dan suara rakyat Kemaman untuk terus melakar kejayaan bersama Kerajaan Pusat dengan memastikan setiap rakyat Kemaman tidak tercicir dalam arus anjakan dan lonjakan yang akan menjadikan Terengganu destinasi utama pelaburan dan pemerkasaan rakyat melalui inisiatif pembangunan pada masa hadapan.

Kebijaksanaan dan kematangan pengundi adalah penentu kepada pembangunan dan kebahagiaan pada masa hadapan manakala bagi kerajaan ia adalah penanda aras terhadap keupayaan membina keyakinan pengundi dan pembinaan calon yang dipertaruhkan di dalam PRK Kemaman. – UTUSAN

DR. Zuraimy Ali ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini