Perlu fakulti undang-undang di universiti Sabah, Sarawak

Perlu fakulti undang-undang di universiti Sabah, Sarawak

DUA universiti awam utama di Sabah dan Sarawak termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) masih belum mempunyai fakulti undang-undang. – FACEBOOK UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJAZAH sarjana muda undang-undang (LLB) adalah disiplin yang sangat penting dalam pentadbiran dan kestabilan sesebuah negara. Peri penting disiplin undang-undang tidak dipertikaikan oleh sesiapa. Mereka yang memiliki ilmu ini ternyata memainkan peranan besar dalam sesebuah negara.

Perdana Menteri pertama dan kedua, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein adalah dua contoh yang memiliki ijazah undang-undang. Peranan, kebolehan dan sumbangan mereka kepada pembinaan kestabilan dan kemakmuran politik tidak dipertikaikan. Ini mungkin ada hubungan dengan ilmu dan disiplin undang-undang dimiliki dua pemimpin kita ini.

Universiti awam utama seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara mempunyai fakulti undang-undang masing-masing.

Dua universiti awam utama di Sabah dan Sarawak, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) masih belum mempunyai fakulti undang-undang lagi. Kedua-duanya memasuki dekad ketiga penubuhan. Dari segi tempoh masa dan keperluan, adalah wajar fakulti undang-undang ditubuhkan di kedua-dua universiti awam ini.

Sabah dan Sarawak adalah dua negeri terbesar di Malaysia. Bilangan mahkamah pelbagai peringkat dan institusi serta badan-badan berkaitan undang-undang adalah besar jumlahnya. Secara langsung, keperluan dan peranannya adalah sangat besar.

Beberapa perkara perlu difikirkan dengan teliti apabila keputusan penubuhan fakulti undang-undang sudah dipersetujui. Pertama, lokasi sama ada di kampus cawangan atau kampus induk. Saya berpendapat, kampus induk lebih sesuai berbanding kampus cawangan. Kenapa saya berkata demikian? Kampus cawangan kurang sesuai kerana tidak berada di ibu kota negeri yang mempunyai institusi-institusi berkait rapat dengan bidang pengajian undang-undang.

Di Kota Kinabalu misalnya, terdapat pelbagai peringkat mahkamah, firma guaman serta institusi berkaitan undang-undang. Ini penting bagi seorang mahasiswa undang-undang dalam proses pengajaran-pembelajaran serta pemahaman lebih mendalam dan bersifat praktikal. Ini termasuklah latihan dan pendedahan jangka pendek antara semester, latihan praktikal mahasiswa, chambering selepas menamatkan pengajian serta kerjasama pengajaran pembelajaran yang perlu bagi pendedahan kepada seseorang mahasiswa undang-undang.

Hal-hal lain yang berkaitan juga mempunyai hubungan negatif jika fakulti undang-undang dibina di kampus cawangan di luar Kota Kinabalu. Dari segi mendapatkan tenaga pengajar, pensyarah dan profesor undang-undang, adakah sukar menarik minat mereka untuk datang ke kampus cawangan seperti di Keningau, Sandakan atau Tawau yang agak jauh dari Kota Kinabalu.

PENSYARAH TERBANG

Begitu juga bagi mendapatkan khidmat ‘pensyarah terbang’ dari luar Sabah. Pada peringkat awal sesebuah fakulti baharu, menjadi kebiasaan mendapatkan khidmat pensyarah separuh masa dari luar khususnya dari Semenanjung. Adakah pensyarah ini sanggup terbang pada hujung minggu dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan selepas itu mengambil jalan darat selama beberapa jam ke kampus cawangan? Ini adalah beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Mungkin bidang pengajian seperti verterinar, pertanian, perhutanan, sosiologi, pembangunan luar bandar sesuai bagi kampus cawangan yang terletak di kawasan agak pedalaman. Makmal dan persekitaran kampus cawangan lebih sesuai bagi bidang-bidang pengajian seperti pertanian dan veterinar.

Kenyataan mengatakan sesebuah kawasan pedalaman/luar bandar itu akan maju bilamana sebuah universiti dibina di sesebuah kawasan. Kenyataan ini ada benarnya, tetapi tidak benar sepenuhnya. Ada juga kawasan luar bandar yang dibina sebuah universiti/cawangan universiti tetapi tidak juga berkembang maju seperti diharapkan. Apa pun keputusan persoalan asas, yang lebih utama adalah kesan kepada kemajuan akademik. Semua persoalan lain adalah kepentingan kedua.

Apa yang lebih penting adalah matlamat asas sebenar sesebuah penubuhan pusat pengajian itu, iaitu kemajuan dan pengembangan ilmu secara khusus. Kampus cawangan boleh dimajukan dengan fakulti/disiplin yang sesuai seperti veterinar, perladangan, perhutanan, pembangunan luar bandar dan seumpamanya. Mahasiswa dalam bidang ini akan memahami dan membina pemahaman mendalam dengan persekitaran lebih sesuai. Pengajian veterinar dan perladangan serta perhutanan tidak begitu sesuai dibina di tengah-tengah bandar raya, maka begitulah juga fakulti undang-undang tidak sesuai dibina di kawasan pedalaman yang jauh dari ibu kota negeri.

Rumusan mudahnya, fakuti undang-undang perlu ditubuhkan di UMS atau di UNIMAS atau di kedua-duanya dalam masa terdekat. Walaupun begitu, persoalan-persoalan persekitaran dan lokasi sesuai perlu difikirkan dengan mendalam bagi kebaikan serta rantaian positif perkembangan ilmu disiplin undang-undang serta graduan yang dilahirkan dalam jangka panjang. Jauh lebih penting adalah terhasilnya graduan undang-undang yang berkebolehan, bukan sekadar menambah kuantiti tetapi memastikan kualitinya juga. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan di Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kini mengikuti pengajian Sarjana Undang-Undang (LLM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×