NEGARA jika tekad untuk maju di tahun hadapan, 2024 ini perlu mengutamakan kualiti, bukannya kuantiti.
Dengan jumlah penjawat awam mencapai 1.6 juta orang, gaji meningkat saban tahun serta keberadaan teknologi yang hari ini disambar kecerdasan buatan (AI), apakah ada langkah-langkah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam secara berperingkat?
Terlalu banyak sebenarnya yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya untuk memperbetulkan yang biasa, biasakan yang betul dalam operasi perkhidmatan awam. Itupun jika semua pihak mengejar kualiti.
Jika kerajaan hari ini serius melaksanakan penjimatan drastik, harus dimulakan dahulu dari sektor perkhidmatan awam. Hasilnya dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga berbilion ringgit serta penjimatan sehingga RM500 juta untuk bayaran pencen kakitangan awam.
Pada masa sama, dalam kalangan mereka yang berada di kaunter hadapan, dari pegawai penguat kuasa, ketua jabatan, menteri besar, menteri sehinggalah ke hierarki teratas harus peka, bijak dan ‘berhati kering’ membezakan antara rasuah, bantuan, hadiah dan rezeki. Anda semua adalah penjawat awam. Suapan rasuah boleh dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun dan pinjaman.
Diakui, bukan mudah melepasi cabaran-cabaran ini, apalagi untuk sebuah kerajaan baru setahun jagung yang digelar kerajaan perpaduan atau kerajaan madani.
KELIRU
Dalam lima tahun lepas bermula Mei 2018, penjawat awam hinggalah ke perjawatan tinggi berada dalam situasi keliru dan dilema dengan siapa mereka bekerja. Ini ekoran berlaku tiga kali pertukaran kerajaan dengan tiga karakter Perdana Menteri berbeza.
Sejak ‘Langkah Sheraton’ Februari 2020 dengan gelagat akuan bersumpah (SD) dan lompat parti yang berulang, habis punah-ranah jadi cacamarba politik Melayu. Tempias dan akibatnya menular mengacau kestabilan, ekonomi turun naik menggugat keyakinan pelabur asing.
Kerana itu, Malaysia jika mahu terus berdaya saing, tahan lasak dan sukses memasuki 2024 ini memerlukan keanggotaan Kabinet yang dibarisi karakter dan kepimpinan yang berani menongkah arus. Yang sanggup lari dari tradisi. Dan tidak lagi terperangkap dalam politik Machiavelli.
Ikut persepsi klasik Itali ini, seseorang ahli politik atau dalam konteks menteri tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua mereka yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Hanya kerana untuk bertahan lama dalam politik, individu itu terpaksa selitkan sedikit Machiavelli. Bahkan lebih mengecewakan lagi demi jawatan dan kuasa, memaksa diri menjadi pembodek dan pencacai. Akibatnya kesan jangka panjang, negara merana.
Politik dan perkhidmatan awam negara ini memerlukan lebih ramai mereka berterus terang, bercakap benar dan memperbetulkan kekhilafan pemimpin.
Barangkali seperti David Lochridge, bekas pengarah operasi marin OceanGate. Lochridge dikatakan dipecat oleh OceanGate pada Januari 2018 selepas dia menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan reka bentuk kapal selam Titan yang belum diuji oleh OceanGate.
Dakwaan Lochridge terbukti benar. Lima tahun kemudian, 18 Jun 2023, Titan hilang semasa ekspedisi membawa kumpulan pelancong elit meneroka bangkai Titanic di dasar laut. Titan meletup mengorbankan kesemua lima orang di dalamnya.
KRITIKAN
Pastinya bercakap di atas kertas memang mudah. Kalau ikut tafsiran politik, konon anda yang di luar (rakyat biasa) bukan pengamal politik, sekadar peramal sahaja.
Untuk menjadi lurus macam pembaris perlukan pembaharuan politik baharu. Ahlinya perlukan asuhan diri, tidak angkuh, rela dikritik, tahan kena seksa dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat-sifat ini mudah disebut, tapi sukar dilaksanakan.
Tetapi, untuk Malaysia melangkah jauh dalam dunia serba-serbi amat mencabar hari ini, itulah sahaja jalannya. Kalau cara kendalian ekonomi dikatakan cacamarba disebab diuruskan oleh yang bukan ahlinya, tampilkanlah orang dari luar jika itu ubat mujarabnya.
Isu-isu semasa melibatkan pekerja asing, ekonomi, kos sara hidup serta libatkan hubungan luar perlukan hujah yang tepat, berfakta dan rasional. Bukannya pakai hentam keromo. Kita tidak mahu yang duduk di atas pelana portfolionya makan gaji buta. Tahu-tahu terima gaji puluhan ribu setiap sebulan atas ihsan politik atau kawan. Yang kita bimbang berulang di masa lepas ada yang bab agamanya cukup arif akan hukum halal haram, tetapi selamba pula ‘tidak mahu ambil tahu kenapa digajikan lumayan itu.’
Juga, harus dinyahkan Little Napoleon yang memberi kesan dan mencemar nama baik perkhidmatan awam ibarat ‘sebab nila setitik rosak susu sebelanga.’ Napoleon Kecil ini wujud di mana-mana, hatta suatu ketika begitu ramai dalam kerajaan terdahulu pun.
Kerjanya membodek pemimpin, cium tangan pemimpin, mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, melaga-lagakan orang.
Kita perlukan barisan kepimpinan perjawatan awam dan politik yang bercakap benar dan bekerja keras. Yang tahu bahawa jika kerajaan tidak berbuat sesuatu, misal kata dalam isu bab pencen kerajaan, ia akhirnya meletakkan Malaysia dalam kancah pembaziran dan tidak keruan mengharungi cabaran mendatang.
Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tidak usah gentar dengan kritikan yang benar. Jika bagus kerajaan, akan bagus seterusnyalah ia.
Hindarikan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang berpuji-puji. Harus dari semasa ke semasa terbuka dengan teguran. Dan segera memperbetul dan membaiki keadaan. – UTUSAN