Autisme bukan penghalang cemerlang dalam akademik

Autisme bukan penghalang cemerlang dalam akademik

Nur Arif Jasmin menerima Ikon Anak Istimewa Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan sahaja berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), malah penghidap autisme ini mencipta nama sebagai penulis buku.

Nur Arif Jasmin, 33, figura di sebalik buku Fiqh Austime yang membincangkan mengenai hukum-hakam berkaitan individu autisme beragama Islam.

Buku hasil coretannya menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia yang diterbitkan berdasarkan kajian beliau sendiri.

Ketiadaan perbahasan mengenai isu itu mendorong beliau menerbitkan buku yang sudah memasuki edisi kedua.

Katanya, autisme merupakan spektrum yang berbeza bermula daripada kategori ringan (mild) sehingga yang teruk (severe).

“Kalau boleh bezakan antara baik dan buruk, hukumnya sama macam orang lain.

“Tetapi, kalau tidak boleh beza baik dan buruk secara semula jadi, ulama silam kata, orang yang mempunyai masalah berkomunikasi yang teruk dan pengurusan diri yang tidak cekap secara semula jadi dinamakan al atta.

“Al atta maksudnya tidak gila, tetapi dia tidak matang. Hukumnya sama macam kanak-kanak mumayyiz. Kalau (buat) jenayah atau kerosakan, ibu bapa yang kena ganti,” katanya yang menghasilkan buku edisi pertama ketika pengajian ijazah sarjana.

Buku tersebut bukan sahaja menjadi rujukan ibu bapa dan pendidik, malah membuka ruang kepada ilmuwan untuk meneroka lebih dalam tentang pendekatan inklusif dalam hukum Islam.

SEBUAH PERJUANGAN

Pelajar semester keenam dalam bidang Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini dahulunya berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan pembelajaran.

Di sebalik kejayaan yang digenggam hari ini, tersimpan kisah perjuangan.

Suatu ketika dahulu, beliau pernah ‘digagalkan’ oleh gurunya sendiri kerana sukar menerima arahan.

Ada guru yang mencadangkan agar beliau belajar dari rumah sahaja. Namun, dengan sokongan daripada ibu, Nur Arif berjaya membuktikan kemampuannya apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 4A 1B.

Namun, apabila memasuki dunia universiti, beliau kembali berdepan kesukaran.

Mengimbau kenangan ketika mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading, Nur Arif sering tersesat mencari kelas, kafeteria mahupun dewan peperiksaan.

Namun, beliau tidak malu meminta pertolongan, malah sanggup ‘mengupah’ rakan untuk membimbingnya di kampus.

Begitu pun, disebabkan sukar menerima arahan dengan baik, beliau sering kali dimarahi pensyarah, malah dihamburkan dengan kata-kata ‘tidak normal’.

Disebabkan tidak tahu masalah yang dihadapi, dia menelan sahaja setiap kata-kata yang diterima.

Beliau hanya tahu tergolong dalam spektrum autisme setelah didiagnosis dengan bantuan pihak universiti yang mula menyedari perbezaan ketara dalam gaya pembelajarannya berbanding pelajar lain.

Sejak kecil, ibu bapanya sering diberi nasihat agar membawa beliau menjalani pemeriksaan kesihatan, namun ibunya sering menolak kerana melihat anaknya tiada masalah pembelajaran dan mampu memperoleh keputusan cemerlang.

Setelah mendapatkan rawatan yang sepatutnya, Nur Arif menunjukkan perkembangan baik.

Minat mendalam terhadap adiwira Power Rangers digunakan sebagai alat bantu untuk memahami konsep pembelajaran yang sukar.

Hasil ketekunan dan semangat juangnya, beliau akhirnya diberi pengiktirafan sebagai Ikon Anak Istimewa Selangor, anjuran Program Ikon Anak Istimewa Selangor (ANIS) sekali gus menjadi inspirasi autisme bukanlah penghalang kepada kejayaan, malah satu keistimewaan yang jika digilap, mampu menyinar luar biasa.

TUNTUT ILMU DI BUMI ASING

Bagi Aliah Hana Ruzaidi, 23, mampu melanjutkan pelajaran ke bumi kimchi sudah cukup menjadi pencapaian terbesar dalam kamus hidupnya.

Didiagnos dengan Asperger’s Syndrome, iaitu satu kecelaruan dalam spektrum autisme ketika usianya 12 tahun, dia kini membuktikan mampu hidup berdikari di Korea Selatan sejak tiga tahun lalu.

Penuntut tahun keempat dalam bidang Animasi di Sejong University ini berjaya meyakinkan keluarga, dia mampu menyambung pelajaran ke menara gading seperti remaja lain.

Lebih membanggakan, dia berjaya meraih PNGK 4.0 untuk beberapa semester berturut-turut semasa mengikuti pengajian pra-Korea di UNIKL dan ketika ini, keputusan peperiksaannya tidak pernah kurang daripada 3.5.

Namun, kejayaan hari ini tidak datang bergolek. Alam persekolahannya tidak seindah kanak-kanak lain.

Sering dicop sebagai ‘bermasalah’ dan tidak mempunyai rakan kerana sangat jarang ke sekolah, dia melalui satu pertarungan emosi yang hebat semasa zaman kanak-kanak.

Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak mahu ke sekolah dan tidak reti untuk bergaul seperti teman sekelas yang lain.

Mujurlah, seorang guru yang prihatin ‘menyelamatkan’ Aliah Hana yang hampir tenggelam dalam kecelaruan emosi.

Ketika semua pihak memintanya berjumpa kaunselor, guru ini tampil menyuarakan kebimbangannya mengenai kesihatan mental Aliah Hana.

“Guru ini bawa saya jumpa pakar psikiatrik dan daripada situ baru tahu saya ada Aspeger’s Syndrome dan Major Depressive Disorder (MDD).

“Saya alami kesukaran untuk bersosial dan disebabkan itu saya kemurungan. Selepas dapatkan rawatan, semakin baik dan boleh menumpukan perhatian dalam pelajaran,” katanya.

Dia hanya dapat mengikuti kelas secara sepenuhnya semasa Tingkatan 5, namun peluang itu digunakan sebaik mungkin dengan meraih kejayaan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sokongan keluarga amat penting untuk membantu anak autisme melangkah lebih jauh.

Keadaan kesihatan itu bukanlah ‘tiket’ untuk ibu bapa mengongkong atau menyekat segala aktiviti, sebaliknya memberi peluang untuk memahami kelainan dan membantu anak istimewa berdaya saing.

LUKISAN TEMBUS KE PERSADA ANTARABANGSA

Bermula sekadar minat sejak kecil, Muaz mula mengikuti kelas lukisan secara formal pada Julai 2022 ketika berusia 10 tahun. Walaupun kelas hanya diadakan sebulan sekali, semangat Muaz untuk terus belajar tidak pernah luntur. Beliau banyak melukis sendiri di rumah, bereksperimen dengan pelbagai teknik dan gaya lukisan.

Tahun 2023, Muaz mendapat bimbingan dari tutor persendirian di rumah.

Ketekunannya mula mendapat perhatian apabila menerima jemputan menyertai pameran seni bermula dua tahun lepas, antaranya bersama Inner Joy Art Gallery.

Penerimaan positif daripada pengunjung serta panduan daripada artis-artis lain memberi motivasi besar kepada Muaz untuk terus berkarya.

Pada tahun 2024, peluangnya semakin terbuka luas dengan penyertaan dalam pameran seni seperti Para Art 2024, dan pada Februari 2025, karyanya turut dihantar ke Jakarta.

Ia satu pencapaian membanggakan bagi bakat muda yang sedang berkembang ini.

Program Special Talented Artists Rise Together (START), banyak membantu Muaz mengembangkan bakat seni.

Pengasasnya, Rohani Ahmad berkata, kesungguhan ibu Muaz, Faradila Shafie yang menyokong minat anaknya menjadi tunjang kejayaan yang dikecapi hari ini.

“Dulu Muaz hanya melukis dinosaur dan banyak mencoret, tetapi hari ini hasil karyanya sudah dipamerkan hingga ke Jakarta dan Jepun.

“Ia adalah hasil kesungguhan ibunya yang tidak pernah jemu membimbing dan mempercayai kebolehan anaknya,” katanya. Biarpun memiliki kesukaran untuk bersosial seperti individu lain, namun kanak-kanak autisme mempunyai kelebihan dalam bidang atau perkara yang diminati.

Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Mohd. Nazrul Mohd. Amin berkata, kanak-kanak autisme mempunyai hasil kerja yang sangat teliti dan halus.

“Autisme bukan penyakit, jadi tiada ubat. Namun, bukan bermakna anak-anak ini tidak boleh dibantu.

“Ibu bapa perlu mencari tahu minat mereka. Lihat perkara yang mereka suka lakukan di rumah seperti melukis, mewarna atau menyanyi. Kemudian, masukkan ke kelas-kelas yang bersesuaian.

“Kalau buat perkara yang disukai, mereka sangat teliti dan mahir. Kalau menyanyi pula key sentiasa tepat kerana mereka fokus,” katanya.

Nasom dengan kerjasama National Autism Resource Centre (NARC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan program Art of Autism sejak tahun 2023.

Ia bertujuan mengembangkan bakat anak-anak autisme dalam bidang seni lukis mahupun nyanyian.

“Kanak-kanak yang mengikuti program ini, kita akan bimbing untuk kembangkan bakat.

“Misalnya, bagi anak autisme yang minat melukis, kita adakan program pameran lukisan dan ada sesetengahnya berjaya menjual lukisan tersebut. Ada juga lukisan yang dibeli oleh syarikat korporat lalu dijadikan kalendar.

“Daripada sekadar hobi, sekarang menjana pendapatan buat mereka. Jika diteruskan, mungkin akan menjadi sumber pendapatan utama kelak,” ujarnya.

Justeru, ibu bapa disarankan agar tidak lagi berasa malu mempunyai anak autisme memandangkan ketika ini fasiliti untuk golongan istimewa itu semakin baik berbanding 10 tahun lalu.

“Statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus yang mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran (autisme).

“Ini perkembangan baik kerana semakin ramai ibu bapa yang sedar kepentingan untuk mendaftarkan anak autisme. Sekurang-kurangnya mereka ada dalam data dan kerajaan boleh beri insentif sewajarnya untuk golongan ini.

“Fasiliti dan program juga banyak ditawarkan untuk membantu anak-anak istimewa kembangkan bakat.

“Jadi, ibu bapa jangan berputus asa dan teruskan membantu anak untuk berjaya sama seperti rakan-rakan mereka yang lain. Sekarang ini pun dapat lihat banyak kisah-kisah kejayaan anak autisme dalam pendidikan mahupun kerjaya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN