BESUT: Demi kasih dan sayangnya terhadap anak didik yang merupakan pelajar istimewa, seorang guru pernah menolak tawaran kenaikan pangkat kerana ingin terus mencurah ilmu kepada golongan itu.
Tuan Fadilah Tuan Sharif, 49, yang berkhidmat hampir 24 tahun sebagai tenaga pengajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berkata, pada 2014 dia telah ditawarkan menjadi Guru Penolong Kanan.
Katanya, dia hanya bersetuju menerima jawatan itu tujuh tahun lalu ketika berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra di Hulu Besut apabila sekali lagi mendapat tawaran pada 2021.
“Namun saya tetap menjalankan tugas bersama guru PPKI yang lain kerana minat dan kasih sayang terhadap golongan pelajar istimewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Darau di sini.
Menurut Tuan Fadilah, mengajar pelajar istimewa amat besar cabarannya dan salah satu inisiatif yang dilakukannya adalah menggunakan gelaran ‘Mummy’ untuk mendekati pelajar istimewa di bawah jagaannya.
“Jika di rumah mereka mempunyai ibu bapa, tetapi di sekolah saya adalah Mummy yang bertanggungjawab menjaga dan mengajar mereka dari sudut pengurusan diri mahupun pengendalian emosi pelajar.
“Mengajar pelajar di kelas PPKI ini berbeza dengan pelajar di aliran perdana kerana mereka memerlukan pengawasan dan pemantauan serta perhatian yang lebih,” katanya.
Tuan Fadhilah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) berkata, sebagai seorang guru PPKI, dia perlu bijak mengawal emosi dan tingkah laku pelajar supaya boleh mengikuti pelajaran termasuk memberi ‘ganjaran’ kepada mereka jika berjaya melakukan apa diminta.
Katanya, setiap hari dia bersama pelajar yang mempunyai pelbagai masalah keupayaan termasuk pelajar sindrom down, autisme, Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan mereka memerlukan pendidikan khusus berbanding pelajar biasa.
“Saya tidak pernah berasa bosan melayan kerenah mereka malah menganggap pelajar terlibat seper anak sendiri dan sentiasa bertanya keadaan mereka meskipun di luar waktu persekolahan,” katanya.
Palng menggembirakannya kata beliau, apabila sebahagian anak-anak PPKI itu berjaya memasuki aliran perdana walaupun lewat setahun daripada pelajar biasa. – UTUSAN










