Lai Choy jambatan hubungan Melayu-Cina

Lai Choy jambatan hubungan Melayu-Cina

ANTARA karya yang dihasilkan oleh Lai Choy. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA usia 82 tahun, ramai orang memilih untuk berehat dan meluangkan masa bersama cucu-cicit. Tambahan pula jika usia tua membawa bersamanya pelbagai penyakit.

Berbeza dengan Lai Choy yang tetap aktif, kreatif dan prolifik berkarya serta terlibat dalam pelbagai aktiviti persatuan. Pengarang kaum Cina ini lahir pada 1941 di Pudu, kini menetap di Kepong, Kuala Lumpur dan mahu terus menulis untuk menjadi jambatan menghubungkan masyarakat Melayu dan Cina.

Karya pertama dalam bahasa Cina berbentuk karangan tersiar di akhbar Sin Chew Jit Poh pada Mac 1956, semasa berumur 15 tahun. Cerpen pertama pula di akhbar China Press pada Jun 1959.

Sudah hampir sedekad saya mengenali Lai Choy yang nama sebenarnya Lai Yoke Choy. Begitu fasih berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan sehingga sukar untuk mempercayai beliau hanya mula mempelajari bahasa rasmi itu pada usia 18 tahun.

“Saya belajar di sekolah rendah dan menengah aliran Cina dan Inggeris.

Pada 1959, saya masuk Maktab Perguruan Harian di Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Dalam masa dua tahun di sana, saya sudah mengenali, memesrai, mencintai dan menguasai bahasa kebangsaan sehingga mampu menulis dengan baik,” katanya semasa kami bertemu, baru-baru ini.

Pada peringkat awal, Lai Choy membaca karya sastera Melayu dan menulis mengenainya di akhbar-akhbar Cina. Usaha itu dilakukan kerana beliau yang menjadi guru di sekolah Cina dari 1961 hingga 1978 mahu masyarakat Cina turut mengetahui apa yang terkandung dalam karya penulis Melayu.

Usaha murni itu masih diteruskan sehingga kini. Misalnya, Lai Choy memetik kandungan buku Sinopsis 50 Novel (1988) dan Sinopsis 50 Novel II (1993) untuk disiarkan secara bersiri di akhbar Sin Min Daily News pada 1990-an. Pada 2021, koleksi tulisan itu dikumpul dan diedarkan secara percuma kepada masyarakat Cina yang mahu mengenali sastera Melayu.

Sebagai individu yang menguasai bahasa kebangsaan, Cina dan Inggeris, Lai Choy turut menterjemah sendiri cerpen beliau. Misalnya, sebuah cerpen diolah semula dan tersiar di majalah Dewan Sastera pada Mac 1971, diikuti sebuah lagi pada Oktober 1971.

Impian dan cita-cita beliau untuk menimba ilmu sentiasa membara. Lai Choy memiliki sarjana muda sastera (1978), sarjana sastera (2011) dan sarjana kedoktoran (2017) di mana tesis beliau diterbitkan pula dalam bentuk buku untuk bacaan umum.

Apabila Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP diumum pada 1987, Lai Choy tidak mahu melepaskan peluang menguji mutu karyanya. Cerpen Menjelang Ribut Taufan menang hadiah kedua. Seterusnya, cerpen Migrasi ke Selatan yang tersiar di Dewan Sastera (September 1989) menang Hadiah Sastera Malaysia.

IDEAL

Nama Lai Choy mungkin tidak sepopular beberapa penulis kaum Cina lain yang terlibat dalam sastera kebangsaan, namun beliau terbukti memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri. Misalnya, mampu menjadi jambatan yang menghubungkan kaum Cina dengan kaum-kaum lain di Malaysia menerusi usaha terjemahan.

Kumpulan cerpen Migrasi ke Selatan (1997) merupakan buku pertama Lai Choy dalam bahasa kebangsaan. Setiap kali meneliti buku itu, saya tertanya-tanya, mengapa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) begitu lewat menerbitkan bukunya?
Sekadar contoh, saya mula menulis pada 1991 dan kumpulan cerpen pertama saya, Orang Dimensi terbit pada 1994 diikuti Siru Kambam pada 1996. Lai Choy pula menulis secara konsisten di Dewan Sastera sejak 1971, setahun sebelum saya lahir!

Buku Kepingan Mozek (2016) menghimpunkan esei-esei yang beliau tulis sejak 1970-an dan kebanyakan diterjemah daripada bahasa Cina. Sebuah lagi buku esei ialah Menjejaki Sastera Melayu (2015). Lai Choy turut menterjemah Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah ke Kelantan.

“Memang ideal kalau semua penulis di Malaysia sanggup menulis dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Tetapi kita harus mengakui bahawa usaha melahirkan seorang penulis berbakat amat susah,” tulis Lai Choy di Dewan Sastera pada April 1989 dan situasi itu masih sama sekarang.

Setiap kali bertemu dan berbual dengan Lai Choy, saya kagum dengan ilmu yang dimiliki serta pencapaian warga emas ini dalam bidang penulisan. Misalnya, beliau sudah menulis lebih 100 buah buku, kebanyakannya dalam bahasa Cina.

Namun begitu, Lai Choy sentiasa merendah diri dan mahu menimba ilmu baharu.

“Saya dapati masyarakat Cina amat berminat untuk mengenali sastera dan budaya Melayu. Akhbar dan majalah bahasa Cina pula terus-menerus memberi ruang untuk menyiarkan bahan yang diterjemah kepada bahasa Cina,” kata Lai Choy yang mengakui komitmen komuniti Cina menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan.

Pada 1970-an dan 1980-an, wujud usaha melakukan terjemahan silang antara karya bahasa kebangsaan, Tamil, Cina dan Inggeris. Langkah itu membolehkan semua orang berpeluang menikmati kandungan karya pelbagai kaum dalam terjemahan. Bagaimanapun, usaha murni itu semakin berkurangan kerana penerbit besar seperti DBP lebih tertarik untuk menterjemah karya luar negara berbanding karya penulis tempatan.

Maka, tanggungjawab itu kini digalas pihak seperti Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) di mana Lai Choy menjadi Naib Pengerusi serta Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia di mana beliau pernah menjadi Setiausaha.

Syarikat Buku Fixi milik Amir Muhammad yang beroperasi sejak 2011 sudah memulakan label ‘Fixi Lingo’ dalam usaha menterjemah karya pelbagai bahasa di Malaysia kepada bahasa kebangsaan. Susulan sesi Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia pada 14 Oktober lalu, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) merancang sebuah antologi yang memuatkan karya penulis kaum India serta cerpen terjemahan oleh penulis bahasa Cina. Tentu sahaja karya Lai Choy akan termuat sama dalam antologi itu. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×