MALANG sekali Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang bahasa negaranya masih tidak diketahui, walaupun dengan sederhana baik oleh warganya sendiri, setelah sekian lama ia tertubuh.
Terbaharu hal ini didedahkan kerajaan sendiri bahawa terdapat penduduk tempatan yang gagal dalam permohonan mereka untuk menjadi warganegara.
Ini disebabkan tiada kecekapan langsung dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.
Persoalan yang lebih penting sehubungan ini ialah bagaimana penduduk yang kelahirannya di sini, membesar, malah menua di negara Melayu, tiada langsung pengetahuan asas untuk lulus ujian bahasa Melayu mudah dengan memperoleh hanya dua markah.
Sudah tentu persekitaran bahasa Melayu yang banyak di sekeliling mereka itu langsung tidak dimanfaatkan.
Ini antaranya disebabkan sikap ramai penduduk bukan Melayu di negara ini yang masih menganggap bahasa Melayu hanya bahasa etnik Melayu, selain tiada nilai ekonomi tinggi berbanding dengan bahasa etnik mereka, misalnya bahasa Mandarin.
Sikap begini amat berleluasa yang ikut dipegang teguh oleh pemimpin bukan Melayu, sama sekali tidak sepatutnya wujud.
Ia boleh dikaitkan dengan semangat kebangsaan yang kelihatan semacam tiada langsung pada sektor bukan Melayu dalam kalangan penduduk Malaysia.
Gejala begini sebenarnya pernah dibimbangi sejurus kemerdekaan negara ini oleh kepimpinan pada waktu itu.
Ternyata ia sangat benar dan terus menghantui kita setelah 66 tahun tertubuhnya negara dan bermulanya proses pembentukan negara bangsa.
Bukan sahaja kalangan tua yang memohon menjadi warganegara tidak cekap langsung dalam bahasa negara ini, begitu juga dengan ramai yang lain dalam kalangan muda.
Sehubungan ini, ramai yang boleh dipersoal kewarganegaraan mereka apabila dilakukan ujian bahasa Melayu semasa yang setara dengan kedudukan sosial mereka, walaupun sesetengah mereka ini memperoleh kelulusan baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini kerana gred baik bahasa Melayu yang diperoleh melalui dorongan instrumental, yakni sebagai syarat wajib lulus, sangat cepat dikesamping sejurus selepas itu.
Gejala warganegara yang tiada pengetahuan baik, apatah lagi penguasaan tinggi terhadap bahasa negara ini harus dinoktahkan secepat mungkin.
Ini kerana ia bukan sahaja amat tidak baik kepada citra negara dalam konteks identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya.
Juga ia petanda jelas kegagalan proses pembentukan negara bangsa di Malaysia, iaitu masih kedapatan warganegara yang langsung tiada pengetahuan tentang bahasa negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa mereka ini secara umumnya adalah lepasan persekolahan vernakular. Sehubungan ini, walaupun ikut diajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, murid sekolah vernakular rata-ratanya hanya menguasai bahasa ibunda mereka.
Alasan yang sering diberikan tentang hal ini ialah beban mempelajari tiga bahasa pada usia muda di tadika dan sekolah rendah.
INTEGRASI
Meskipun itu boleh diterima sebagai alasan munasabah, etnik bukan Melayu harus mencari jalan untuk memperbaiki keadaan ini, dan bukannya mahu terus-terusan bersandar kepadanya.
Dalam pada ini, saranan kerajaan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Melayu di sekolah vernakular, tidak seharusnya dicurigai dari apa-apa jua sudut.
Sehubungan kecekapan berbahasa Melayu, sepatutnya etnik bukan Melayu harus sedar lagi insaf bahawa mereka tinggal di negara Melayu dan menjadi kewajipan mereka untuk cepat berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu.
Antara yang terpenting ialah cekap berbahasa Melayu. Malangnya syarat seasas ini pun belum, malah enggan dipenuhi.
Ini hendaklah segera diubah untuk merealisasi hubungan erat lagi utuh antara sebuah negara berdaulat dengan bahasa negaranya.
Ini kerana bahasa negara adalah jiwa negara berkenaan. Dengan ini, bahasa negara adalah jiwa negara itu dan jiwa negara itu adalah bahasa negaranya.
Dengan filsafat begini, bahasa Melayu tidak boleh sesekali diperlaku dalam apa-apa jua cara dan keadaan yang langsung tidak menghormatinya.
Ia bahasa negara ini yang wajib dimuliakan. Justeru ia harus disanjungi sebagai khazanah negara yang amat penting untuk kebudayaan negara.
Dengan ini, ia bukan sahaja wajib diketahui sebaik-baiknya, juga dibanggai, disayangi dan ditaati.
Sebenarnya soal bahasa Melayu dan nasionalisme Malaysia tidak boleh diambil mudah kerana hubung kaitnya bukan sahaja amat kuat, juga ia sangat penting.
Ini kerana kesinambungan nasional, iaitu kewujudan terus Malaysia sebagai negara berdaulat, sangat bergantung kepada bahasa Melayu yang bukan sahaja sekadar bahasa negara, juga bahasa peribumi di tanah bertuah ini.
Dalam konteks ini, bahasa Melayu harus diketahui sebaik-baiknya oleh setiap warganegara Malaysia. Ini penting untuk nasionalisme dan patriotisme Malaysia, yakni perasaan kemegahan dan kecintaan kepada negara tercinta ini.
Sebenarnya kecekapan berbahasa Melayu oleh semua adalah antara petunjuk jitu bahawa semua pihak telah mengidentifikasikan diri dengan negara ini, khususnya etnik Melayu selaku kelompok majoriti lagi dominan di Malaysia.
Sama penting di sini ialah bahasa Melayu adalah pengikat kuat untuk kita bukan sahaja wujud sebagai satu komuniti nasional.
Juga selaku negara bangsa yang bersatu padu dengan seluruh warganegara Malaysia ikut sama-sama mendukung setiap aspirasi negara, termasuklah gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Inilah kuasa yang ada pada hubungan bahasa negara dengan nasionalisme dan patriotisme yang harus digemblengkan untuk memanifestasi Dasar Kebudayaan Negara (Daken). – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











