CUKUP ironi apabila bahasa Melayu disanjungi dengan segala kebaikan, malah kejayaan dalam pidato tahunan yang ikut disertai bukan warganegara Malaysia. Pemerian positif itu sebenarnya adalah indah khabar dari rupa, iaitu pemberitahuan dilebih-lebihkan daripada keadaan yang betul-betul berlaku.
Ia mungkin tidak disedari peserta khususnya yang dari luar negara ataupun ada keperluan untuk mereka menyatakan hal positif bagi menyokong usulan pada tajuk diberikan. Dengan ini, apa-apa yang diperkata tentang bahasa Melayu itu adalah harapan ia akan berlaku, justeru menjadi kenyataan nanti.
Ini tidak seburuk pemerian yang sengaja dibuat untuk bukan sahaja bersifat positif tetapi juga enak didengar, pada hal hakikatnya adalah sebaliknya. Sehubungan pemerian yang kurang tepat ini khususnya yang sengaja dipositif-positifkan, kita harus berjiwa besar untuk langsung tidak tersinggung apabila diberitahu hakikat bahawa bahasa Melayu walaupun bahasa negara ini, kini ibarat melukut di tepi gantang.
Dengan ini, ia bermakna ia tidak bernilai lagi untuk diberikan perhatian serius. Ini dapat dilihat dengan amat jelas apabila secara umumnya masyarakat mendapatinya tidak berfaedah langsung untuk membantu mereka dalam era globalisasi.
Selain ini, bahasa Melayu juga dipandang sepi kerana tiada pengaruh sosioekonomi, yakni nilai ekonominya rendah berbanding beberapa bahasa lain. Sehubungan ini, bahasa Melayu sudah mengalami peralihan daripada menjadi bahasa besar, kini ia berupa bahasa kecil.
Ini kerana peranan pentingnya dalam kehidupan nasional rakyat Malaysia diambil alih satu per satu oleh bahasa yang lebih berkuasa, berprestij dan ada lebih banyak glamor daripadanya. Hal ini dapat dilihat pada arahan ketua kerajaan untuk memulangkan surat bagi urusan rasmi dengan kerajaan sama ada Pusat, negeri mahupun badan awam yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara.
Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana keperluan kebahasaan ini termaktub pada Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Ia juga tercatat pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 yang dikeluarkan kerajaan.
Dalam hal ini, agensi kerajaan sendiri didapati tidak mematuhi keperluan ini apabila beberapa majlis rasmi menggunakan nama dalam bahasa lain. Ini memang bertentangan dengan syarat wajib penganjuran majlis rasmi melibatkan warganegara Malaysia.
Oleh itu, adalah tidak wajar digunakan nama Fit Malaysia untuk salah satu acara Hari Sukan Negara. Begitu juga dengan penggunaan ungkapan flag off sebagai antara nama kepada upacara pelepasan atau permulaan sesuatu majlis rasmi itu, manakala info on wheels harus digantikan dengan ungkapan bahasa Melayu, maklumat bergerak.
UTUH
Seperkara penting di sini ialah usaha gigih lagi tekun hendaklah dilakukan segera untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam ranah kebangsaan, lebih-lebih lagi ranah kerajaan. Dengan ini, peranan bahasa Melayu selaku bahasa negara harus dipastikan berjaya menembusinya secara mendalam.
Ini kerana kemampanan bahasa negara, iaitu kemampuannya untuk terus kekal utuh selain memperoleh pencapaian dan prestasi terbaik adalah tanggungjawab kerajaan. Dengan kata lain, kelangsungan bahasa Melayu sebenarnya adalah akibat dan kesan daripada tindakan dan pengaruh kerajaan.
Sehubungan ini, antara perkara terpenting ialah penggunaan bahasa Melayu. Ini didapati sangat membantu dalam pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Untuk ini, kepimpinan kita sama ada elit politik mahupun elit negara hendaklah menggembleng rakyat jelata bagi sama-sama memartabatkan bahasa Melayu untuk pelbagai tujuan kenegaraan. Antaranya adalah identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sesungguhnya terdapat banyak perkara yang tidak kena pada bahasa Melayu khususnya dalam peranannya sebagai bahasa negara. Oleh itu, kerajaan harus mengambil tanggungjawab untuk memperbetul keadaan sebelum nasi menjadi bubur.
Justeru, kerajaan hendaklah bukan sahaja harus segera mengurusnya dengan baik, juga dengan betul. Ini kerana maju mundurnya bahasa Melayu adalah sepenuhnya akibat dan kesan daripada tindakan dan pengaruh kerajaan.
Dalam pada ini, perlu diingatkan kepada kerajaan bahawa keabsahan bahasa Melayu pada perundangan negara semata-mata tidak mencukupi. Sebaliknya kerajaan harus memastikan ia wajib digunakan secara meluas dan bermutu oleh semua pihak terutamanya dalam ranah rasmi dan formal.
Sebenarnya tepukan kepada setiap hujah tentang bahasa Melayu yang dikemukakan oleh peserta pidato itu selain disampaikan dengan penuh kecekapan, hendaklah diwaspadai. Ini kerana ia boleh berbentuk filsafat peribahasa, menang sorak kampung tergadai, yakni keberuntungan kecil yang tiada banyak faedahnya secara keseluruhan.
Natijah di sini ialah bahasa Melayu selaku bahasa negara kita dengan berperanan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi harus menerima hakikat bahawa ia tidak pun berada pada tempat sewajarnya di negara ini. Ia dikesampingkan oleh semua pihak termasuklah etnik Melayu sendiri, apatah lagi bukan Melayu.
Janganlah kerana bahasa Melayu dijulang dalam pidato itu, kita melupai pelbagai masalah dihadapinya yang sangat perlu diperkasa penggunaan dan kegunaannya. Untuk ini, ia wajib bermula dalam sektor awam dengan kerajaan memperlihat cara bertindak yang amat tegas tanpa sebarang kompromi terhadap apa-apa jua kesalahan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











