Untungkan rakyat jika tepat golongan sasaran

Untungkan rakyat jika tepat golongan sasaran

Kini rakyat ternanti-nanti, harga barangan apakah yang akan meningkat berikutan pengurangan subsidi oleh kerajaan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGURANGAN subsidi dan bantuan sosial merangkumi 17.4 peratus daripada Perbelanjaan Operasi (OE) menyusut sebanyak 17.9 peratus kepada RM52.8 bilion daripada keseluruhan Belanjawan 2024 yang bernilai sebanyak RM393.8 bilion disebabkan pelaksanaan program rasionalisasi secara berperingkat terutama bahan api dan elektrik.

Berbanding 2023, kerajaan ketika itu mengumumkan peruntukan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM64.2b bilion sementara pada 2022 sebanyak RM67.4 bilion diberikan.

Rakyat yang ketika ini runsing dengan kenaikan harga beberapa barangan asas termasuk beras pastinya ‘melenting’ kerana subsidi yang dianggap ‘hak mutlak’ mereka ditarik sedikit demi sedikit. Kini rakyat ternanti-nanti, harga apakah yang akan meningkat kerana kekurangan subsidi berkenaan?

Jika alasan kerajaan mengurangkan subsidi untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, ia tidak semestinya berlaku selagi tiada formula yang benar-benar kukuh ke arah itu.

Bagi penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, pemberian subsidi secara langsung membantu meningkatkan jualan peniaga kerana barangan menjadi mampu beli.

Tanpa subsidi, barangan jadi mahal serta kemampuan membeli menjadi kurang dan lemah atau dalam kata lain, rakyat tiada lagi kuasa membeli.

“Tetapi pengurangan subsidi boleh dilakukan secara bersasar atau terpilih berdasarkan jenis barangan serta golongan yang layak menerima seperti subsidi minyak dan petrol hanya perlu diberikan kepada golongan B40 dan M40 sementara T20 perlu membayar harga penuh.

“Saya nampak pemberian subsidi (selama ini) tidak berapa adil sebab ada yang tidak layak juga menikmati kelebihan ini selain menggalakkan penyeludupan barangan Malaysia ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun langkah diambil kerajaan ini selaras dengan peningkatan pendapatan, namun bukan semua majikan membayar gaji minimum.

“Sekali pun gaji naik hingga gaji minimum, ia tidak bermakna kerana kenaikan barang masih berlaku. Jadi, kenaikan gaji akan ‘potong’ kenaikan harga barangan.

“Jadi, kita perlu ubah sistem pemberian subsidi kepada bantuan terus untuk mereka yang layak berdasarkan pendapatan dan tanggungan seperti family credit dan child benefit di United Kingdom (UK) dan housing benefit di Singapura.

“Niat membantu rakyat adalah baik tapi cara penyampaian tidak sesuai atau disalahgunakan. Saya nampak kemungkinan Belanjawan 2024 akan jadi retorik seperti bajet-bajet lepas,” jelasnya.

FORMULA

Berdasarkan situasi semasa, rasanya lebih ramai rakyat kini memerlukan bantuan kebajikan kerana ramai yang berpendapatan sederhana berubah status ke B40 sementara golongan berpendapatan rendah telah ditolak ke dalam kelas B60.

Ini memandangankan kerajaan sehingga kini masih belum memutakmadkan formula pengkelasan pendapatan. Jangan sampai subsidi bersasar ini menindas kelompok rakyat yang berhak dan amat memerlukan. Ketika ini kerajaan hanya melihat pada sumber pendapatan rakyat, bukannya berdasarkan tanggungan dan komitmen.

Sementara Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Adilah A. Wahab turut bersetuju dengan pandangan tersebut memandangkan kerajaan sehingga kini tiada data atau pengkategorian khusus mengenai golongan pendapatan mengikut negeri dan kawasan.

Definisi golongan pendapatan hanya diberikan secara umum. Isu-isu berbangkit di peringkat nasional dan global perlu disasarkan mengikut golongan pendapatan seperti keterjaminan makanan.

“Jika kerajaan melihat pada tanggungan isi rumah, maka lebih ramai yang jatuh pada kadar kemiskinan terutama di bandar.

“Pun begitu, bajet kali ini mungkin akan menguntungkan rakyat jika ia dapat menyasarkan kepada golongan yang tepat selain perlu adanya political will daripada pihak terlibat untuk betul-betul memantau skim subsidi dan sebagainya berjaya. Pengurusan mikro juga amat penting untuk menjayakan sesuatu skim dan program,” katanya.

ALTERNATIF

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh mempunyai pandangan sebaliknya. Beliau berpendapat, pengurangan subsidi dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dalam beberapa situasi, tetapi perlu dilakukan dengan hati-hati dan diiringi strategi tepat.

“Jika subsidi berlebihan menyebabkan defisit fiskal yang besar, maka pengurangan subsidi dapat membantu mengurangi beban fiskal negara. Hal ini dapat menghantar signal positif kepada pelabur dan pasaran kewangan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah-langkah mentadbir kewangan dengan baik. Pengurangan defisit fiskal dapat mengurangi kerisauan tentang ketidakstabilan ekonomi dan meningkatkan kepercayaan pelabur.

“Sementara subsidi tidak tepat atau berlebihan dapat mengganggu penyaluran sumber daya secara efisien ke dalam ekonomi. Dengan mengurangkan subsidi, sumber daya yang terikat pada subsidi tersebut dapat disalurkan ke sektor-sektor lebih produktif dan berpotensi memberikan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi. Ini dapat mendorong pelaburan, inovasi dan pengembangan sektor-sektor kompetitif,” jelasnya.

Katanya, rakyat perlu memahami alasan di sebalik pengurangan subsidi dan manfaat jangka panjang yang mungkin timbul daripadanya. Kerajaan perlu berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat untuk menjelaskan tujuan dan impak tindakan tersebut.

“Pendidikan awam dan kempen kesedaran boleh membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai langkah-langkah yang diambil.

“Disebabkan ini, rakyat perlu meninjau semula belanjawan peribadi dan mengenal pasti di mana mereka boleh mengurangkan perbelanjaan atau menyesuaikan corak penggunaan sesuatu barangan. Ini mungkin melibatkan mengurangkan penggunaan tenaga, menyesuaikan corak membeli-belah atau mencari alternatif yang lebih berpatutan,” ujarnya.

Selain itu, rakyat boleh mencari peluang ekonomi baharu atau pendapatan tambahan untuk menyeimbangkan pengurangan subsidi. Ini boleh melibatkan mencari peluang perniagaan sampingan, memperoleh kemahiran baharu atau mencari pekerjaan sampingan.

“Kerajaan juga boleh menyediakan sokongan dalam bentuk latihan dan program pembangunan kemahiran untuk membantu rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Kerajaan boleh melaksanakan program bantuan sosial yang dijalankan secara sasaran untuk membantu mereka yang terjejas secara langsung oleh pengurangan subsidi. Ini boleh melibatkan program subsidi yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan, program bantuan tunai atau program bantuan sosial lain,” katanya.

Oleh itu, rakyat perlu menggunakan program-program ini dengan bijak untuk mengurangkan kesan pengurangan subsidi terhadap kehidupan mereka. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×