Tidak perlu takut menjadi berbeza - Utusan Malaysia

Tidak perlu takut menjadi berbeza

GENERASI akan datang termasuk dalam kalangan kaum India harus berasa selesa dengan perbezaan masing-masing kerana tahu mereka tinggal di negara terhebat di bumi iaitu Malaysia. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA rasa takut kita berpunca daripada sifat jahil. Kesedaran memberi kita keupayaan untuk menangani apa jua cabaran. Pendidikan amat penting tetapi itu bukan kisah penuhnya.

Teori Masa Pascanormal menunjukkan bahawa kita perlu melakukan lebih daripada sekadar menimba ilmu pengetahuan kerana teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT boleh melakukannya. Dan setiap hari terdapat banyak isu tentang itu dan tentang ini.

Bukan semua perkara boleh kita ketahui dan separuh darinya adalah pembohongan. Sebab itu, kita perlu berfikir secara kritis tentang apa yang didengar dan melihat dari perspektif berbeza selain berusaha mencari jalan penyelesaian yang kreatif. Kadangkala kita tidak perlu mengikut didikan di sekolah.

Dan sering kali, dunia berkembang dengan begitu pantas sehingga sistem pendidikan tidak dapat bersaing dengan reformasi pendidikan. Dan tiada siapa yang boleh melakukannya seorang diri, bukan saya, bukan anda, mahupun Perdana Menteri kita.

LANGKAH MALAYSIA

Kita mesti hadapi perkara ini bersama. Ia memerlukan usaha kolektif semua pihak iaitu langkah Malaysia yang melibatkan seluruh masyarakat.

Dalam menghargai apa yang kita lihat dalam ‘apa yang baru berlaku’, daripada pascakebenaran, pelbagai bidang merangkumi AI, manipulasi genetik kepada perubahan iklim, pandemik, dan tadbir urus lemah, saya melihat peluang untuk kita bersatu padu sebagai masyarakat dalam menentang perkara yang memecah-belahkan rakyat.

Kita semakin hampir menyambut ulang tahun pertama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bulan depan. Menjelang detik bersejarah itu, saya mula menyuarakan idea yang difikirkan selama ini.

Satu daripadanya, baru-baru ini, saya berdepan kekangan untuk meluahkan dengan kata-kata. Sesetengah idea sukar digambarkan tetapi selepas pertimbangan mendalam dan melalui beberapa perbincangan, saya dapati bahawa idea ini, sebenarnya, agak mudah.

Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai banyak kebimbangan. Kita takut menjadi ‘lain’. Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa berasa takut dipinggirkan apabila tidak berada dalam kelompok tertentu.

Kami masyarakat India sedar mengenai perkara ini sepenuhnya dan mengetahui kedudukan kaum ini ‘hilang’ ekoran pandangan jahil dan stereotaip perkauman terhadap golongan itu. Apabila dunia kita semakin kompleks, semakin ramai yang turut berkongsi perasaan ini. Kita tidak keseorangan.

Saudara Cina kita pula terpaksa menanggung ketakutan yang sama jauh di lubuk hati. Begitu juga dengan Orang Asli dan Borneo. Malah, ia menjadi ketakutan bagi orang Melayu. Ia adalah fenomena sejagat.

Ramai yang menggunakan rasa takut ini untuk kepentingan sendiri, untuk membangkitkan kemarahan yang tidak perlu dalam rakyat. Semua orang takut kehilangan apa yang mereka ada dalam apa jua pengaruh. Misalnya, isu kepupusan beruang kutub, kita semua bersatu mahu menangani masalah itu.

Walaupun rasa ketakutan itu boleh menjadi motivasi yang mendorong untuk pembangunan negara tetapi hasilnya acap kali bertemu kegagalan. Dan di sinilah idea pintar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersinar.

NILAI MADANI

Rangka kerja Madani bukan sahaja berasaskan nilai-nilai yang ‘dipegang’ Perdana Menteri sendiri atau yang diada-adakan semata-mata. Ia bukan sekadar nilai Melayu atau nilai Islam tetapi merangkumi semua lapisan masyarakat. Kita hanya perlu memberikan pandangan baharu kepada konsep ini.

Negara kita kaya dengan kepelbagaian. Pandangan masyarakat India memberi gambaran tentang nilai-nilai Madani. Kami mengemukakan pelbagai perspektif yang mengangkat dan mempertingkatkan tulang belakang etika negara ini.

Madani untuk semua, India, Cina, Melayu dan Dayak. Madani adalah untuk rakyat Malaysia. Penghargaannya yang tepat pada masa kini dan juga masa depan boleh menyatukan rakyat dan membawa kita lebih jauh daripada yang pernah kita fikirkan.

VISI PM

Visi Perdana Menteri ialah visi yang kita semua mahu lihat: masa depan di mana kita tidak perlu takut lagi. Kita tidak perlu takut menjadi berbeza. Hanya dengan bersatu, kita boleh melalui perubahan pascanormal ini. Situasi ini membolehkan masa depan kita luas dan tidak terhad atau tanggapan ketinggalan zaman.

Kita mempunyai kuasa untuk mencipta nasib sendiri. Dan kemudian melihat hasrat terbesar kita tercapai, iaitu anak-anak dan generasi akan datang dapat mengatasi jangkaan tertinggi kita, selesa dalam perbezaan mereka, mengetahui mereka tinggal di negara terhebat di bumi – Malaysia. – UTUSAN

DATUK R. Ramanan ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN