Di masa lalu sekitar 1980an dan 1990an, kita memiliki barisan menteri yang diyakini, diingati, bahkan disanjungi ramai.
Sebut sahaja namanya, pasti ada berlumba-lumba memberi ulasan tentang diri mereka. Seolah-olah tahu segala gelagat dan kerenahnya. Bukan yang negatif, tetapi yang baik-baik belaka. Apa lagi bila digarap dengan unsur-unsur humor dan cekap tadbir urusnya.
Nama-nama seperti Megat Junid Megat Ayob, Lim Kheng Yaik, Ting Chew Peh, Mohamed Rahmat, Musa Hitam dan Rafidah Aziz (sekadar menyebut beberapa nama) kerap meniti di bibir masyarakat. Tidak setakat menteri, nama timbalan-timbalan menteri pun kita ingat. Kita ingat kerana mereka bekerja dan tidak menyendiri.
Tetapi hari ini nama menteri pun kita lupa. Timbalan menteri lagilah. Datang berdenting-denting, kemudian lesap bersama perubahan-perubahan untuk rakyat yang telah dibuat. Datang senarai yang lain pula…pening!
Masa lalu, banyak soalan, tidak kurang berbelas ditanya pihak media kepada menteri, tangkas sahaja mereka menjawab. Berlandaskan fakta, biarpun ada banyak ketika diwarnai santai gelak ketawa antara Yang Berkhidmat (YB) menteri dengan pihak media. Tetapi hari ini, baru satu dua soalan sahaja diajukan, sudah angkat kaki.
Waktu itu tidak ada Facebook, Twitter, WhatsApp atau benda-benda alah hari ini apalagi TikTok. Tetapi maklumat diberi pak menteri rata-rata tepat dan difahami rakyat. Kerana apa? Menteri maklum dan faham isu.

DALAM tempoh 11 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022, kita rakyat lega kerana tidak lagi dihidangkan dengan gelagat sebilangan menteri yang perawakan diri lebih ‘menyerlah’ berbanding kerja menterinya. – PEJABAT PERDANA MENTERI
VIRAL
Zaman, masa dan suasana berubah dengan teknologi aplikasi media sosial berceleparan hari ini sehingga mengakibatkan maklumat disampaikan amat pantas dan tular (viral). Dan tidak pasti mana yang sahih dan palsu. Namun keupayaan dan kewibawaan seorang menteri seharusnya terus tampak. Atau sekurang-kurangnya perlu kelihatan sedemikian.
Dalam tempoh 11 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022, kita rakyat lega kerana tidak lagi dihidangkan dengan gelagat sebilangan menteri yang perawakan diri lebih ‘menyerlah’ berbanding kerja menterinya.
Sehinggakan pembawaan cara bercakap, gaya pakaian serta apa dilakukan dalam kehidupan peribadi, lebih mahu diikuti warganet daripada penyampaian maklumat dan penyelesaian satu-satu masalah dihadapi rakyat. Malah ada ketika ungkapan atau kenyataan yang dikeluarkan lebih retorik, tidak realistik yang berpijak di bumi nyata.
Bukannya tidak boleh begitu, tetapi seeloknya fokus dan seriuslah dalam membela dan perjuangkan nasib rakyat – pergi kepada isu dan kaedah penyelesaian satu-satu masalah itu.
Dan kita sebagai rakyat, jangan asyik terlampau tengok gaya dan muslihat dipakai segelintir ‘ayam sabung’ parti politik yang berbicara sampai ‘gajah pun boleh terbang’. Kelihatannya dia boleh ‘belemoih’ dan ‘begelomiang’ dengan rakyat. Tetapi realitinya banyak isu rakyat di sekeliling terlepas pandang, tidak mampu diselesai.
Asyik muncul sahaja, akan bercakap ada pihak luar mahu `pekena’ dia dan senantiasa berprasangka yang bukan-bukan. Tetapi bila pergi ke bab memastikan periuk nasi rakyat ini terisi, datang tidak cerdik pula hendak mengolahnya.
Yang Berhormat ahli Parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN), barisan exco, timbalan menteri besar dan menteri besar hinggalah timbalan menteri dan menteri sesekali beringatlah bahawa anda bukanlah pempengaruh (instafamous) atau youtuber atau tiktoker di media sosial. Sebaliknya anda bekerja dan digajikan – setelah meraih mandat rakyat menerusi pilihan raya atau dipilih jadi senator – untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Biar rakyat nampak kita ini bekerja keras dan bersih di mata mereka.
REALISTIK, PRAKTIKAL
Dengan Belanjawan 2024 menerusi peruntukan tertinggi RM393.3 bilion dibentangkan Jumaat lalu, ia hakikatnya menuntut komitmen dan kerja keras yang bukan sedikit daripada pasukan Kabinet.
Pemimpin tidak perlu act atau beraksi berlebih-lebihan. Disiplin hidup yang tinggi perlu diutamakan. Pegawai awam yang rasuah atau yang ‘berbau’ rasuah harus dihadapkan segera ke muka pengadilan.
Supremacy atau keagungan pentadbiran kerajaan harus terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.
Nun di selatan tanah air sana, kita patut belajar dari Singapura – yang tiada getah, tiada sawit tetapi mencanak naik hari ini kemakmuran ekonomi, integriti dan tadbir urusnya.
Kita tidak perlukan YB atau menteri yang beraksi stylo – kebanyakan masa memikirkan konten agenda dan populariti diri untuk dimuatkan ke TikTok atau Instagram hal-hal tidak bersangkut paut kerja-kerja tulen kementerian dan kebajikan di kawasan-kawasan diwakili.
Cukuplah-cukuplah kelibat yang ada di masa lalu. Tahan dulu ‘harimau dalam diri, biarkan sahaja bunyi kambing yang keluar’ dengan tekad memperkasa label Yang Berkhidmat anda.-UTUSAN










