KUALA LUMPUR: Penyanyi, Asmidar, menyifatkan persembahannya semasa konsert ‘A Tribute To Sharifah Aini’ bulan hadapan sebagai hadiah buat Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Asmidar atau Norhasmidar Ahmad, 40, berbangga namun turut berasa kerdil bergandingan bersama penyanyi seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan Shiha Zikir pada konsert yang berlangsung pada 6 Jun di Dewan Filharmonik Petronas nanti.
“Sejujurnya, saya berasa teruja apabila dipelawa untuk berganding dengan tiga barisan artis hebat seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan Shiha Zikir.
“Jika dibandingkan dengan mereka, saya paling kurang pendedahan atau pun hubungan dengan arwah. Tetapi beliau adalah pengaruh terbesar dalam hidup saya.
“Lagu-lagu dia saya selalu dendangkan dalam setiap pertandingan yang saya sertai. Saya anggap nyanyian saya nanti adalah hadiah dari seorang peminat buat Allahyarham,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Asmidar, lagu-lagu hits Allahyarham bersifat malar segar, bahkan berat untuk disampaikan sejak penglibatannya dalam industri muzik tanah air.
“Tidak dinafikan, lagu Seri Dewi Malam yang bakal saya nyanyikan nanti adalah antara lagu yang saya takut untuk menyanyi.
“Sebab masa beliau nyanyikan lagu itu, dia masih remaja, suara dia nyaring, langsing. Suara saya pula besar. Saya fikir macam mana saya mahu sampaikan nanti,” jelasnya.
Sebagai peminat Biduanita Negara kedua itu, Asmidar nekad untuk menyampaikannya dengan baik, selain menyifatkannya sebagai tanda penghormatan terhadap arwah Sharifah Aini
“Mungkin sudah sampai masanya untuk saya berdepan ketakutan itu. Ini satu penghormatan besar sebab, lagu itu antara lagu pertama beliau rakamkan.
“Jadi untuk bawakan lagu tersebut memang satu tanggungjawab besar kerana saya yakin, semua yang datang malam itu tahu lagu tersebut. Saya akan cuba untuk sampaikan dengan sebaiknya,” ujarnya. -UTUSAN










