Pengalaman ‘termahal’ kami – MSDeaf

Pengalaman ‘termahal’ kami – MSDeaf

SEBAHAGIAN penyokong Jepun yang hadir di stadium pada final Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia, baru-baru ini. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan persiapan rapi sejak lebih setahun lalu hinggalah penutup tirai Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali keempat pada 7 Oktober lalu, Malaysia mampu mengukir senyuman manis kerana kejayaan menjadi tuan rumah acara berprestij itu. Bukan sahaja kerana kebolehan dari segi penganjuran, malah berjaya melayani setiap kehendak 19 pasukan lelaki pekak dan lima pasukan wanita pekak dari seluruh dunia yang menyertai kejohanan tersebut bermula 23 September.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melaksanakan kehendak serta kemahuan setiap atlet pasukan bola terbabit kerana ia berbeza dengan memenuhi keperluan orang normal. Ini kerana ia melibatkan penggunaan bahasa isyarat di samping keperluan berkomunikasi dengan pasukan yang menggunakan bahasa ibunda negara masing-masing seperti Ukraine, Senegal, Perancis, Jepun dan banyak lagi.

Selain memastikan keperluan setiap atlet dipenuhi, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) sebagai penganjur juga perlu bersiap sedia bagi memenuhi keperluan duta negara asing, penyokong dan media yang datang dari luar negara.

Lebih penting, penganjuran itu melibatkan penggunaan padang bola antaranya di Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Stadium Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta beberapa padang lain.

Bermula daripada pasukan bola pekak yang terawal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, diikuti ketika perlawanan dan seterusnya kepulangan setiap pasukan, semua atlet mendapat layanan VVIP (tetamu kehormat). Apa tidaknya, bas-bas membawa setiap pasukan diiring polis trafik, di padang pula anggota unit perubatan dan ambulans sentiasa dalam keadaan siap sedia, manakala pihak hotel menyediakan pelbagai jenis menu.

Semua yang melibatkan pengurusan kejohanan itu terbukti berjalan lancar serta mengikut kehendak setiap pasukan dan ini diakui sendiri oleh Persatuan Bolasepak Orang Peka Dunia (DIFA).

Bagaimanapun tanpa menonjolkan diri dan mungkin juga ramai tidak menyedari, kejayaan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia itu sebenarnya direalisasikan sepenuhnya oleh para petugas, pasukan keselamatan, pihak stadium, sukarelawan, MSDeaf sendiri, media tempatan dan banyak lagi. Mungkin dari pandangan masa kasar, penganjuran itu nampak mudah. Namun, di sebalik kisah-kisah suka duka kejohanan itu, banyak pengorbanan yang mereka lakukan dengan tugasan 24 jam tanpa henti, berpanas, berhujan, tidak sempat makan minum, tidak sempat tidur dan sebagainya.

Inilah pengorbanan besar mereka yang dianggap sebagai wira-wira di belakang tabir. Saya sendiri melihat beberapa sukarelawan yang bertugas mengutip bola di tepi padang, tidak sempat memakai baju hujan, terpaksa mendiamkan diri serta duduk di trek ketika hujan lebat sebelum perlawanan bola dihentikan.

Begitu juga unit polis trafik yang mengiringi bas-bas pemain bola ketika hujan lebat. Banyak kisah menarik dan pengorbanan oleh petugas dan sukarelawan terbabit. Juga tidak lupa, pasukan perubatan dan ambulans terpaksa mengejarkan petugas yang pengsan kerana keletihan.

TABIK

Di samping itu, semangat waja ditunjukkan oleh wira-wira berkenaan juga dapat dilihat apabila mereka bukan sahaja tertumpu pada satu tugasan diberi, malah melibatkan tanggungjawab lain. Sebagai contoh, seorang sukarelawan yang bertugas sebagai pegawai perantara turut memainkan peranan menyelesaikan keperluan pemain, urusan bas, peralatan dan sebagainya. Semuanya ini memerlukan kemahiran bahasa isyarat.

Juga, para sukarelawan terbabit banyak menyelesaikan keperluan penonton dalam golongan pekak seperti bertanyakan arah dan sebagainya.

Dari kejohanan ini, sesuatu yang membuka mata umum ialah kehadiran ramai komuniti orang pekak sebagai penyokong pasukan diminati, sama ada orang tempatan mahupun rakyat asing. Rupa-rupanya para penyokong pekak ini dalam kalangan penunggang motosikal penghantar makanan, pemandu penumpang, peniaga gerai, bekerja sendiri dan sebagainya.

Mereka sanggup meninggalkan kerja-kerja hakiki semata-mata untuk memberi sokongan serta menyeramakkan lagi kejohanan tersebut.

Mengulas mengenai kejayaan penganjuran kejohanan tersebut, Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn memberitahu, lebih 150 sukarelawan dilatih sebelum kejohanan bermula. Jelasnya, ini termasuk mengadakan kelas-kelas bahasa isyarat mengikut bahasa Melayu dan bahasa Inggeris kerana isyarat digunakan dalam dua bahasa berkenaan agak berbeza.

“Apa pun, saya tabik kepada semua petugas dan sukarelawan. Mereka bekerja kerana negara, demi sukan dan atas dasar setiakawan. Saya tidak tahu apa penghargaan seharusnya diberi kepada mereka. Namun, mereka ini adalah wira-wira di belakang tabir.

“Kini kejohanan ini telah berakhir. Saya rasa sayu kerana jika boleh saya hendak bersalaman sambil mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang terlibat sama ada pasukan keselamatan, pihak stadium, sukarelawan, media, ambulans, pihak berkuasa tempatan, universiti, pihak berkuasa sukan dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui pada akhir kejohanan itu.

Sepanjang kejohanan, para petugas dan sukarelawan masih mampu mengukirkan senyuman walaupun kepenatan sambil menjalankan tanggungjawab dengan serius. Namun, sekeras mana pun hati waja mereka, di akhir kejohanan tersebut terlihat sebak dan tangisan dalam kalangan petugas kerana kejohanan itu sebenarnya telah merapatkan hubungan kekeluargaan antara orang pekak dan normal.

Saya sempat bertemu seorang sukarelawan yang berkata, “Suka duka, susah senang dan kepenatan yang dirasai sepanjang kejohanan ini tidak dapat ditukar dengan emas atau wang ringgit. Jika masa dapat berulang kembali, saya antara orang yang amat gembira kerana dapat menyertai kejohanan ini.” – UTUSAN

PENULIS ialah Pengurus Komunikasi & Media, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×