Naratif ‘sumbang’ Israel, AS, EU

Naratif ‘sumbang’ Israel, AS, EU

ISRAEL menjadi lebih rakus apabila merampas tanah Palestin selepas Perang 1967 dan 1973. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATIF yang sedang dijaja Israel dan disokong pula Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) adalah serangan Hamas tercetus tanpa provokasi dan Israel dalam kes ini merupakan mangsa keganasan. Cuba dijual juga persepsi rakyat Israel yang mahu hidup aman damai, dibunuh dengan kejam oleh pengganas Hamas seperti tercetus terhadap pengunjung festival muzik berlangsung berhampiran sempadan Gaza dan kematian paling ramai mungkin berpunca dari sini.

Sedikit sebanyak naratif Israel sebagai mangsa tidak berdosa berjaya kerana pemimpin dari negara-negara Barat seperti Washington, London dan Paris sebulat suara menyatakan Israel berhak mempertahankan diri. Maksudnya, apa jua yang dilakukan Israel sebagai dalil mempertahankan diri adalah sah. Malah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres juga sependapat dengan pemimpin negara Barat apabila mengutuk tindakan Hamas tetapi berdiam diri tindakan balas melampau Israel.

Mengapa naratif Israel sebagai mangsa begitu mudah dijual kerana senario lazim adalah Israel yang memulakan provokasi dan kemudian dibalas Hamas. Umpamanya seperti tercetus pada Mei 2021 apabila penduduk Palestin di penempatan Syeikh Jarah, Baitulmuqqadis Timur dihalau keluar dari rumah mereka oleh tentera Israel.

Maka tercetuslah apa yang digelar Perang Saif Al-Quds selama 11 hari yang mengakibatkan 260 penduduk Gaza terkorban sementara di sebelah Israel, 13 terbunuh. Pada ketika itu, Hamas mendakwa melancarkan 5,000 roket ke arah Israel. Tetapi hakikatnya tidak semua terpedaya dan membeli naratif yang dijual oleh Israel.

Selepas mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Ahad lepas, kenyataan bersama gagal dikeluarkan kerana bukan sahaja tidak sependapat dalam kalangan lima anggota tetap UNSC tetapi juga 10 negara ahli UNSC tidak tetap juga berbelah bahagi.

AS, United Kingdom dan Perancis bertegas mahu kenyataan mengutuk tindakan Hamas tetapi Russia dan China berpendapat adalah tidak adil untuk menyalahkan Hamas sahaja kerana Israel juga menyumbang kepada apa yang sedang tercetus. Tidak diketahui apakah pendirian 10 negara ahli tidak tetap kerana mesyuarat yang dipengerusikan oleh Brazil itu diadakan secara tertutup.

Begitu jua dalam masa 48 jam selepas tercetusnya konflik, EU mengeluarkan kenyataan akan beku bantuan kewangan kepada Palestin berjumlah 691 juta euro. Tetapi beberapa jam selepas itu, kenyataan baharu dikeluarkan bahawa bantuan tetap akan disalurkan tetapi akan memastikannya tidak disalah guna oleh Hamas.

Perkembangan dalam EU ini adalah manifestasi tidak semua 27 negara ahli kesatuan tersebut mentafsirkan hukuman tidak sepatutnya dibebankan kepada rakyat Palestin semata-mata. Ini amat bertentangan sekali dengan pendirian ahli EU seperti Perancis dan juga Jerman yang agak kritikal terhadap Hamas.

RAKUS

Provokasi oleh Israel terhadap rakyat Palestin telah berlarutan selama tujuh dekad dan tidak pernah berhenti dengan bermulanya Hari Malapetaka (Nakba) pada 1948 apabila rakyat Palestin dihalau keluar dari tanah air mereka. Malah Israel menjadi lebih rakus merampas tanah Palestin terutama selepas Perang 1967 dan 1973.

Malah tanpa berperang dengan negara jiran seperti Mesir, Syria atau Jordan sekali pun Israel merampas dan menjajah wilayah Palestin terutama sekali di Tebing Barat dan Baitulmuqqadis Timur. Terdapat lebih 260 penempatan haram di kedua-dua wilayah milik Palestin ini dengan menempatkan hampir 700,000 penduduk Yahudi secara haram. Walaupun Tebing Barat mempunyai kerajaan Palestin di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) tetapi lebih daripada 60 peratus kawasan itu dikawal oleh tentera Israel.

Apabila kerajaan Azerbaijan merampas kembali wilayah Nagorno-Karabakh beberapa minggu lepas daripada puak pemisah etnik Armenia, penantian tersebut menamatkan krisis yang berlarutan selama tiga dekad. Azerbaijan terpaksa mengambil tindakan ketenteraan kerana wilayah tersebut adalah milik mereka dan selama 30 tahun kuasa besar hanya memandang sepi isu ini. Hanya apabila pelarian etnik Armenia yang berada di Nagorno-Karabakh berpusu-pusu melarikan diri ke Armenia, kerajaan Azerbaijan diugut pula dengan tuduhan melakukan genosid.

Sama jua rakyat Palestin menunggu lebih dari 70 tahun menyaksikan bagaimana hasrat melihat negara Palestin yang berdaulat semakin hari menjadi semakin sukar memaksa Hamas mengambil tindakan drastik. Provokasi berlarutan buat sekian lama ini dianggap sebagai tiada apa yang berlaku oleh masyarakat antarabangsa tetapi dilalui dengan perit oleh penduduk Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqqadis Timur.

Jika selama ini Russia dan China mengambil sikap berkecuali dalam hal sengketa Palestin-Israel, sikap tersebut tidak lagi terserlah ketika ini. Sebab itu jua mesyuarat UNSC menemui jalan buntu. Memang benar Perang Ukraine telah mengubah percaturan geopolitik global, hakikatnya adalah negara yang menyokong perjuangan Palestin perlu mencuri peluang daripada pertelagahan kuasa-kuasa besar ini.

Mungkin jua jiran Palestin, iaitu negara-negara Arab tidak lagi disandarkan harapan terutama sekali bila tercetusnya Perjanjian Ibrahim yang antara lain hubungan dengan Israel tidak perlu lagi tercetus secara rahsia lagi membuatkan peranan Russia dan China mungkin mampu memberi kesan positif kepada perjuangan Palestin. Apabila Beijing mampu memulihkan hubungan Riyadh dan Tehran, itu adalah manifestasi pengaruh kuasa-kuasa besar tersebut di Asia Barat.

Tidak menghairankan jua apabila Pew Research Center membuat tinjauan pendapat mengenai Perang Ukraine ke atas responden dari 18 negara beberapa bulan lepas. Responden dari dua negara mempunyai pandangan positif terhadap Presiden Vladimir Putin. 65 peratus dan 35 peratus responden dari Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai pandangan positif terhadap Putin sementara responden dari 16 negara lain punya tanggapan negatif. Mungkin bukan sangat menyokong Russia tetapi berkemungkinan besar berasa jelak dengan sikap AS dan EU yang begitu berat sebelah dalam hal Palestin serta Ukraine. – UTUSAN

Penulis ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN