DALAM ucapan perutusan tahun baharu di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 30 Januari lalu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan iltizam untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan segala institusi serta agensi khususnya sektor pendidikan tinggi negara. Meneliti bait-bait ucapan Menteri Pengajian Tinggi itu, tergambar di dalamnya falsafah era ‘kerajaan tahu semua’ sudah berlalu.
Lantaran itu, beliau berkali-kali menegaskan kepentingan trust atau kepercayaan untuk semua warga KPT secara kolektif bekerjasama erat untuk memulih dan meningkatkan pula keyakinan serta kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Dalam ucapan itu, ada ditegaskan olehnya bahawa kementerian sepenting dan sestrategik KPT menuntut semua perkara disusun dengan jelas dan kemas. Katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk menerangkan segala agenda, idea besar dan rencana untuk KPT, tetapi dalam ucapan tersebut sebahagiannya sudah digariskan.
Antara lainnya, Mohamed Khaled mengumumkan 11 azam beliau untuk KPT. Pertama, segala yang KPT dan semua agensi di bawahnya lakukan mesti menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat.
Kedua, dalam menterjemahkan pelbagai dasar dan program nasional, KPT akan bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal. Ketiga, penilaian semula kedudukan KPT secara keseluruhan baik dari segi kemampuan, prestasi pencapaian mahupun misi masa depannya.
Keempat, memperkukuh kekuatan sumber intelektual negara. Kelima, melihat dan membuat persediaan bagaimana kita harus mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi yang sangat memberi kesan kepada rencana dan pelan pendidikan tinggi. Keenam, memperkukuh peranan Malaysia sebagai the lynchpin yang menarik kedatangan pelajar, penyelidik dan bakat global.
Ketujuh, melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) nasional. Kelapan, memastikan kepentingan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menjadi sektor keberhasilan penting. Kesembilan, meningkatkan kualiti dan kecemerlangan akademik. Kesepuluh, memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan. Kesebelas, memperkasakan mahasiswa.
Selaras azam pertama itu, beliau menyatakan aspirasi dan cita-cita nasional mesti dijelmakan semula dengan sentuhan yang lebih baik, sesuai dengan sifat zaman. Pelbagai krisis, cabaran dan tuntutan baharu menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir dan bertindak. Jadi, tegas beliau, amat penting untuk Dasar Pendidikan Tinggi Nasional kita juga berubah.
Serentak itu, beliau mengumumkan penubuhan segera jawatankuasa menyemak dan mengkaji semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) dengan mandat untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan bagi disesuaikan dengan landskap pendidikan nasional yang sudah menjadi semakin kompleks dan multifaceted.
KOLABORATIF
NRC dipengerusikan oleh Datuk Seri Idris Jala serta dianggotai tokoh-tokoh berpengalaman dan berkepakaran dalam sektor pendidikan tinggi, iaitu Datin Profesor Dr. Khatijah Mohamad Yusoff, Dr. Jamil Salmi, Dr. Abdul Razak Ahmad, Datuk Parmjit Singh, Nurlin Salleh, Datuk Profesor Emeritus Dr. Morshidi Sirat, Dr. Wan Chang Da dan Profesor Dr. Azlinda Azman.
NRC juga menubuhkan satu pasukan petugas khas dianggotai wakil dari KPT, Agensi Kelayakan Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, University of Cyberjaya serta perunding dari Pemandu Associates Sdn. Bhd., PricewaterhouseCoopers International Limited dan Boston Consulting Group, Inc.
Pasukan petugas khas ini telah bersidang dalam sesi-sesi mini-lab yang sangat kolaboratif untuk mengenal pasti bidang-bidang pendidikan tinggi perlu diperbaiki. Sesi ini dihadiri 220 individu mewakili lebih 115 organisasi yang terlibat aktif dalam ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Tujuh tema umum yang merencatkan evolusi sistem pendidikan tinggi negara dikenal pasti oleh NRC adalah peraturan ketat mengekang perkembangan, proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan karenah birokrasi, ketidakselarasan antara keperluan industri dan reka bentuk akademik, hala tuju tidak jelas kerana kekurangan dasar dan peraturan, sumber tidak mencukupi, mekanisme pembiayaan tidak memberi insentif kepada institusi yang menunjukkan prestasi tinggi serta penguatkuasaan dan pelaksanaan lemah.
Cadangan-cadangan utama NRC ini akan dipamerkan kepada orang awam di Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara pada 23 Oktober ini di lobi utama KPT bermula 10 pagi hingga 5 petang. KPT mengalu-alukan kebersamaan semua rakyat untuk turun dan mengambil peluang memberi pandangan serta maklum balas ke atas cadangan-cadangan itu.
Kelmarin, Mohamed Khaled mengumumkan bahawa NRC mengemukakan cadangan enam akta perlu dipinda, 11 dasar atau instrumen dasar perlu ditambah baik serta empat dasar atau entiti baharu yang perlu diwujudkan. Kesemua cadangan ini bila dilaksanakan sudah semestinya akan memberi lonjakan besar kepada pemantapan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Penubuhan satu unit khusus di KPT dinamakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Pendidikan Tinggi bagi menyelaraskan pemantauan dan pelaporan kemajuan pelaksanaan cadangan penambahbaikan reformasi pendidikan tinggi menjadi tanda keseriusan usaha ini.
Lebih signifikan lagi, jangkaan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku tonggak reformasi negara dalam majlis penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini sebagai tanda sokongan ke atas reformasi pendidikan tinggi negara.
Kredit perlu diberikan kepada Mohamed Khaled atas reformasi pendidikan tinggi negara ini tetapi seperti beliau sendiri tegaskan, ia berpunca daripada pendekatan tepat yang digunakannya, iaitu mengembalikan kepercayaan dan kerjasama kolektif dalam kalangan semua warga KPT. – UTUSAN
Profesor Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










