PADA 2004, saya bertemu Nafise, seorang pelajar doktor falsafah (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Dia telah diberi tugas untuk mengendalikan satu sesi kelas kewartawanan.
Pada masa itu, saya yang berkhidmat sebagai tutor memutuskan untuk mengikuti kelas tersebut. Saya terpesona dengan kebolehannya dalam bidang kewartawanan foto dan penjelasannya mengenai negara asalnya, Iran.
Pertemuan itu membuka mata saya tentang keindahan Iran. Negara itu memang sangat menarik untuk dipelajari, sebuah negara mempunyai kaitan dengan nama-nama besar yang pernah saya baca dalam buku teks Sejarah ketika di bangku sekolah seperti Geber, Ibn Sina dan Rumi.
Pada awal 2000, institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia menjadi tuan rumah kepada ramai pelajar dari Iran. Mereka sangat berbangga dengan warisan budaya sendiri dan peka terhadap perkembangan Iran sama ada dalam hal politik, ekonomi dan isu-isu sosial.
Setelah 20 tahun berlalu, IPT di Malaysia masih menerima pelajar dari Iran, walaupun kehadiran mereka di kampus tidaklah ketara seperti sebelumnya. Baru-baru ini, wakil-wakil dari IPT Malaysia membuat lawatan ke Iran untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU).
Saya turut mendapat tahu bahawa Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada memberikan ceramah umum di Universiti Azad Islam di Isfahan pada 7 Oktober. Ucapannya penuh dengan pandangan yang membuka minda, termasuk hakikat kurangnya pelaburan dunia Islam dalam sains dan teknologi. Ini adalah satu realiti yang pahit, namun perlu diselesaikan.
Dalam ucapannya, beliau mendedahkan cabaran dihadapi oleh kebanyakan negara Islam sejak dahulu lagi. Pergolakan politik memberi impak negatif terhadap kestabilan ekonomi, mengakibatkan aliran keluar tenaga kerja terlatih yang secara langsung menyebabkan mutu pendidikan menjadi rendah.
Semua ini menghalang perkembangan dalam pelbagai bidang. Hal ini, bersama dengan isu-isu semasa seperti peperangan di beberapa negara, ancaman keterjaminan makanan dan perubahan iklim menjadikan daya ketahanan ataupun resilience lebih penting daripada segalanya.
Penting untuk kita menerima hakikat yang terdapat banyak cabaran untuk membangunkan sesebuah negara. Tetapi bagaimana sebenarnya perkara ini boleh dilaksanakan?
Dari sudut pandang saya sebagai seorang ahli akademik, pendidikan adalah salah satu solusi penting. Pendidikan berkualiti, matlamat keempat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus dicapai.
Malah, perlu juga diakui bahawa pendidikan berkualiti adalah asas untuk mencapai semua SDG yang lain. Walaupun membangunkan dan menyediakan pendidikan berkualiti mengambil masa, namun ia adalah keperluan asas yang mampu menyelesaikan banyak isu global. Malaysia dan Iran menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1950-an.
Hubungan ini diperkuat untuk menyelesaikan masalah semasa secara bersama. Ia adalah perkembangan menggembirakan untuk melihat kedua-dua negara ini sedang bergerak ke arah yang sama dalam hal pembangunan.
STEM
Dalam bidang pendidikan, kedua-dua negara telah menyediakan pelbagai inisiatif seperti mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serta menawarkan biasiswa antarabangsa yang boleh meningkatkan bilangan bakat antarabangsa ke Malaysia.
Universiti-universiti di Iran, sebaliknya menawarkan program pertukaran pelajar dalam penyelidikan dan inovasi, manakala kedua-dua negara sepakat menekankan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), hubungan industri-akademia dan pemindahan teknologi.
Meningkatkan kualiti pendidikan adalah penyumbang penting kepada keberkesanan menyelesaikan isu-isu dunia semasa seperti keterjaminan makanan dan perubahan iklim.
Pada hari ini, kita melihat kedua-dua negara sedang berusaha untuk menjayakan rancangan dan dasar keterjaminan makanan bagi memastikan bekalan makanan dunia terus mampan selain meningkatkan pengeluaran makanan domestik untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.
Dalam hal perubahan iklim, kedua-dua negara sedang berusaha ke arah teknologi hijau menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti projek tenaga solar dan angin.
Dengan mengumpulkan sumber dan kepakaran kedua-dua negara, lebih banyak cabaran global boleh ditangani secara efektif. Harapannya melalui MoU ini, kita akan meningkatkan pertukaran pengetahuan dan idea, pembangunan pelbagai kemahiran, peningkatan produk penyelidikan dan inovasi.
Menelusuri ucapan umum Mohamed Khaled, “Bagi Malaysia, Iran adalah penting.” Sememangnya rakyat Malaysia perlu menggali sejarah Iran yang kaya dengan pencapaian sains dan teknologi yang telah memberi sumbangan besar kepada pengetahuan dan peradaban berabad lamanya.
Sejak 2004, saya berjumpa dengan ramai orang Iran. Sama seperti Nafise, mereka mempamerkan semangat tinggi dalam setiap perkara yang mereka lakukan dan berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang.
Oleh itu, melalui pengalaman sebagai penyelia tesis siswazah mereka, saya boleh mengesahkan bahawa mereka mempunyai ketahanan untuk berkembang walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Kita seharusnya memanfaat sifat positif ini. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Moniza Waheed ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).











