SEBESAR mana saiz atau jumlah penduduk sesebuah negara, tetap bersandar hak dan kedaulatan. Setiap inci tanah wilayah yang dimiliki oleh mana-mana negara bukan semudah untuk diceroboh, dijajah oleh pihak lain sesuka hati.
Sementara penduduk adalah makhluk manusia yang sepatutnya dibiar hidup dalam suasana aman, damai, sejahtera tanpa diperlakukan kezaliman dan keganasan oleh sesiapa atau mana-mana pihak.
Hakikat ini tidak terdapat atau dinikmati oleh kira-kira lima juta penduduk Palestin, bumi anbiya’ yang di dalamnya juga terdapat Masjid Al-Aqsa, tempat ibadat umat Islam ketiga paling agung diperakui Allah SWT. Saban waktu mereka diperlakukan tindakan ganas, ditembak dan dikhianati.
Jadi, kalau timbul sebarang konflik pada bila-bila masa, perlukah lagi bersusah payah menanyakan, “Siapa yang mula dulu?” Memang ramai rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, remaja, wanita yang menjadi mangsa. Mereka ditembak sewenang-wenangnya saban hari di Semenanjung Gaza, Tebing Barat oleh rejim Israel. Bacalah mengenai perkembangan Israel-Palestin tiap-tiap hari!
Istilah ‘tamadun’ selalunya dijuruskan kepada pembinaan hidup bermoral, menelusuri sistem nilai yang murni, mengikuti etika dan peraturan tanpa menceroboh atau mengganggu-gugat hak, kedaulatan dan privasi orang lain. Binalah kemajuan dan kekuatan sendiri dengan lebih terhormat.
PEJUANG
Namun, jika dilihat pada konflik berlarutan di antara Israel-Palestin, sukar untuk mempercayai, inikah tamadun dunia yang mahu ditunjukkan kepada semua? Lebih tujuh dekad penduduk Palestin hidup dalam cengkaman kezaliman Israel.
Pertelagahan di antara kedua-dua pihak seumpama tiada lagi jalan kesudahan atau penyelesaian, sedangkan wujud badan-badan pengawas dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan banyak lagi badan-badan yang menggelarkan mereka sebagai pejuang hak asasi manusia. Di mana mereka?
Banyak pihak hanya tahu bercakap, menyeru, mendesak, mengecam sekadar untuk memberitahu dunia seolah-olah mereka mengambil berat, padahal tidak membawa makna apa-apa pun. Ternyata mereka tidak serius melaksanakan misi pertubuhan masing-masing demi keselamatan dunia khususnya dalam isu sengketa Israel-Palestin. Mereka gagal berfungsi dengan sepatutnya.
Keberkesanan badan-badan berkenaan boleh dipertikai dan diremehkan. Dunia dapat melihat, halangan besarnya ialah kerana masing-masing menyimpan kepentingan agenda tersendiri. Ada yang mahu menjual senjata, membekal makanan, malah ada meletak cagaran untuk meraih modal sokongan politik untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden atau negara tertentu.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam pada Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Al-Aqsa di Universiti Geomatika, Ayer Keroh, baru-baru ini menyeru semua pihak yang cintakan keamanan sejagat supaya bertindak dengan berkesan, bukan sekadar cakap dalam menangani isu konflik Israel-Palestin. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), badan yang menerajui forum berkenaan bersetuju menyokong dan memperakui sembilan resolusi dirumuskan pada hari tersebut.
ZON SELAMAT
Antara resolusi dicapai ialah gesaan supaya dihentikan segera peperangan, mengutuk serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan tentera Israel ke atas rakyat Palestin, mengutuk sokongan Barat khususnya Amerika Syarikat kepada Israel dan mengenakan tekanan antarabangsa atas perbuatan buruk Israel.
Resolusi lain adalah mengatur lebih banyak wacana ilmu untuk memberi kefahaman jelas kepada masyarakat tentang cerita sebenar di sebalik konflik Israel-Palestin, menghulur bantuan kemanusiaan, mewujudkan zon selamat untuk perlindungan rakyat Palestin dan mengumpul dana bagi disalurkan kepada badan-badan atau pertubuhan sukarela yang diiktiraf memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Malang bagi rakyat Palestin. Mereka menjadi mangsa melunas kekejaman, kerakusan rejim Yahudi Israel yang seolah-olah dihalalkan dunia. Tidak cukup itu, mana-mana pihak atau negara yang dilihat menyokong atau bersimpati dengan penduduk Palestin cuba dikecam dan ditegur.
Aspek mementingkan nilai kemanusiaan dalam konflik Israel-Palestin terlalu hodoh dan jijik untuk diperkatakan. Umum dapat melihat sendiri dalam hantaran rakaman-rakaman video yang disebarkan secara meluas saban waktu. Rejim Zionis Israel berlaku kejam ke atas rakyat Palestin tanpa mengira usia. Sasaran mereka ternyata bukan kepada pihak ketenteraan Palestin tetapi seolah-olah untuk menghapuskan seluruh rakyat Palestin.
Dua orang rakyat Palestin yang kini tinggal di Malaysia sempat bersama saya di pentas forum anjuran DMDI itu. Seorang daripadanya menceritakan kepada audien bahawa sejak konflik terbaharu Israel-Palestin, dia sudah kehilangan lebih 40 ahli keluarga di Gaza. Kedukaan ditanggungnya ketika ini terlalu berat untuk dituturkan.
IKTIBAR
Seorang lagi ahli panel (rakyat Palestin) menceritakan, anaknya yang tinggal bersamanya di Malaysia ketika ini tidak mahu ke sekolah kerana katanya, sedangkan ahli-ahli keluarga sebaya dengannya di Palestin tidak boleh ke sekolah. Secebis cerita ringkas tetapi cukup bermakna untuk dijadikan iktibar.
Syukurlah, di Malaysia aman makmur. Suasana yang boleh bebas ke sana ke mari, membina kehidupan termasuk untuk ke pejabat dan ke sekolah tanpa halangan. Justeru, terjemahkanlah kesyukuran dengan mengerat hubungan terutama sesama seagama, sebangsa serta bertoleransi dan berharmoni dengan pihak berlainan bangsa dan agama. Elak berprejudis dan berprovokasi. Pelihara segenap sudut kedaulatan dimiliki supaya tidak terjatuh ke tangan orang lain.
Hidup tidak perlu ada istilah kalah atau menang. Yang penting, sama-sama dapat menikmati kesejahteraan dan keselamatan tanpa mengganggu, mencabuli hak orang lain. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam konflik antara Israel-Palestin. Keterlanjuran sukar ditebus dengan harta mahupun kata-kata. Beringat sebelum terlambat. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










