Inikah sebab perempuan selalu betul? - Utusan Malaysia

Inikah sebab perempuan selalu betul?

Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengkaji dasar baharu agar lebih relevan dengan landskap dunia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Anak saya dua orang belajar di sini. Dua-dua perempuan. Tapi tak dapat blok asrama yang sama,” kata seorang lelaki.
Orang yang dilayan bercakap itu pun menjawab – “Anak saya tiga perempuan belajar di universiti. Satu dekat sini. Satu di UM dan UiTM,” katanya.
Mendengar jawapan itu, lelaki tadi berkata: “ Ramai betul perempuan masuk universiti dari zaman kita dulu. Patutlah orang perempuan selalu betul.” Berderai mereka ketawa.
Saya yang sedang mengheret beg besar buat-buat tak mendengar perbualan itu. Tetapi dalam hati saya, tak ada kena mengena langsung siapa betul, siapa tidak dengan masuk universiti.
Itu antara perbualan bapa-bapa yang menghantar anak kembali ke universiti di kolej kediaman pelajar perempuan di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam. Sementalahan pula mereka tak dibenarkan masuk menghantar barang ke asrama perempuan. Jadi, anak perempuanlah terpaksa mengangkut barang sedikit demi sedikit ke tingkat atas.
“Dalam beg ini ada batu ke? Balik hari itu berat macam ini, pergi pun berat macam ini juga.” Kata saya kepada anak perempuan saya yang menconcong berjalan di depan. Biliknya di tingkat tiga.
“Dia bawa lesung batu tu, nak tumbuk sambal puan. Biasalah, perempuan,” celah salah seorang lelaki tadi. Saya hanya ketawa.
Bercakap pasal ramai perempuan masuk ke universiti berbanding lelaki, isu ini sudah lama diperkatakan.
Dan ada banyak kursus masih lagi didominasi oleh wanita. Hinggakan di dalam satu kelas, lelaki tak sampai pun lima orang. Paling ketara kursus perguruan dari dulu sehingga kini masih wanita. Kita pun boleh lihat, tak ramai cikgu lelaki di dalam sesebuah sekolah. Selalunya kursus kejuruteraan, senibina dan perubatan dikuasai oleh lelaki. Mungkin sektor pembinaan dan pembuatan tidak menarik minat ramai wanita.
Dulu ada pihak yang menyatakan kebimbangan apabila pelajar wanita terlalu ramai masuk ke institusi pengajian tinggi manakala yang lelaki tidak mahu menyambung pelajaran. Berpuas hati dengan sijil. Maka ramai bimbang berkurangnya profesional dalam kalangan lelaki.
Tetapi kebimbangan yang dikatakan fenomena lost boys itu sejak beberapa tahun lalu, tidak dirasakan sangat kerana sekarang ini kebanyakan sektor pekerjaan diisi oleh lelaki. Lelaki juga masih ramai termasuk dalam golongan profesional. Cuma ada sektor-sektor tertentu terutamanya perkhidmatan, banyak mengambil pekerja wanita.
Dan ada juga kajian beberapa tahun lalu yang menyatakan walaupun golongan wanita ramai masuk universiti tetapi pasaran kerja masih dikuasai lelaki. Tetapi pada saya gender bukan isunya dalam apa-apa pun pekerjaan. Wanita juga jangan mengharapkan diberikan kelebihan atau keistimewaan. Kerja keras, kreativiti, idea bernas dan tahan lasak perlu ada dalam setiap diri tidak kira pekerja lelaki atau wanita.
Berdiri dengan kebolehan masing-masing itu adalah persaingan yang sebenar. Sesiapa pun pekerja, dia dinilai dengan mutu kerja yang ditunjukkan, bukan sebab dia lelaki atau wanita.
Walaupun di tempat kerja masih ada diskriminasi terhadap pekerja wanita dibayar gaji rendah berbanding lelaki, tetapi akhirnya jika menunjukkan mutu kerja yang baik, tentu ia akan membuka mata majikan.
Dan sikap juga memainkan peranan sangat penting. Kalau malas, banyak alasan, kaki ponteng, asyik ambil MC dan cuti kecemasan saja, orang macam ini lebih baik bekerja sendiri. Tak menyusahkan sesiapa. Belajarlah di universiti hebat mana sekali pun, kalau sikap teruk, ia tidak membantu majikan dan diri sendiri.
Jadi, berbalik pada persoalan yang mula-mula tadi. Ada kena mengena atau tidak, masuk universiti dengan perempuan selalu betul? Jangan cepat mengalah dan memberi kemenangan mudah. Itu saja. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya