Dayung sudah di tangan, sayangnya Melayu tak baca, ambil peluang!

Dayung sudah di tangan, sayangnya Melayu tak baca, ambil peluang!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POHON salak batangnya condong,
Mari disisik dalam kendong,
Bukanlah salah ibu mengandung,
Salah sendiri badan menanggung.

Pantun berupa bidalan begini kalau kita orang Melayu dapat fikir, hadam dan tunaikan ke kelaku positif tekad tinggi, segala yang dihajati insya-Allah jadi kenyataan. Tapi sayangnya kita alpa, suka ambil mudah.

Tidak pandai baca, ambil peluang. Kalau diibarat kita ini kumpulan minoriti yang hidup di bumi China, India atau Eropah, baru kita tersentak, buka mata dan ajaibnya boleh buat pula.

Kerana di negara sendiri yang majoritinya Melayu, sebahagian kita tak ambil peduli. Tak ambil peduli.

Ambil contoh pelajar yang diberi pengecualian bayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Yang ramai dikecualikan kerana dapat ijazah kelas pertama dengan kepujian berapa? Siapa mereka?

Dari 2003 hingga 30 September 2012 sahaja, sebanyak 13,192 pelajar yang meliputi pinjaman RM375 juta mendapat manfaat daripada dasar tersebut. Daripada jumlah itu, 72.8 peratus pelajar Cina dikecualikan daripada membayar PTPTN. Diikuti pelajar Melayu 22.2 peratus, pelajar India 3.2 peratus dan selebihnya lain-lain kaum.

Pada 2011, seramai 8,818 pelajar Cina dikecualikan dari membayar balik pinjaman PTPTN berbanding 2,347 Melayu dan 456 India.

Tahun lepas 2022 sahaja hampir 80,000 mahasiswa di negara ini layak mendapat pengecualian bayaran balik. Pengecualian kepada seramai 79,873 pelajar itu libatkan peruntukan RM2.06 bilion sehingga 31 Januari tahun lalu.

Saya (penulis) sendiri belum semak dengan PTPTN senarai terbaharu 2023 pelajar kaum mana paling ramai dikecualikan. Namun saya optimis tiada beza, pelajar bangsa yang sama.

Cuma apa sudah jadi dengan pelajar Melayu yang prestasi akademiknya tidak menyerlah berbanding bangsa lain? Inilah yang berbalik kepada satu lagi bidalan Melayu, ‘hanya jauhari mengenal manikam’. Anak muda Melayu sepatutnya kejar kecemerlangan. Hanya orang yang bijak sahaja dapat menilai sesuatu benda atau perkara. Dayung sudah di tangan, sampan sudah di air.

Tinggal hendak kerah kudrat, usaha sahaja lagi sebelum sampai ke pelabuhan.

Kegagalan baca dan ambil peluang dalam isu PTPTN tadi hanya sekelumit kepincangan sikap kita orang Melayu. Banyak lagi peluang yang terhidang depan mata kita abaikan. Barangkali agaknya kita ini tuan rumah. Buat apa sahaja, ini tanah air sendiri. Sedangkan peluang terbaik dan ruangnya bijak diintai orang lain.

PADA tahun 2022 sahaja hampir 80,000 mahasiswa di negara ini layak mendapat pengecualian bayaran
balik pinjaman PTPTN. Majoriti yang menikmati pengecualian itu adalah pelajar kaum Cina yang memperoleh
ijazah kelas pertama dengan kepujian.

NILAI SEJARAH
Sejenak bila difikirkan, barangkali benar telahan ini – Melayu kurang menilai sejarahnya. Padahal sejarah membentuk diri seseorang.

Kita menjadi apa yang kita jadi hari ini kerana kita mengenali sejarah diri. Sejarah membentuk ciri-ciri fizikal dan pemikiran seseorang. Lalu membolehkan ia menghargai dirinya dan memahami hak orang lain.

Faham tentang sejarah hidupnya, keturunan, asal-usul dan masyarakatnya.

Melayu dahulu Melayu pencinta alam kerana alam dijadikan mereka sebagai guru. Mereka hormat akan padi, langit, gunung, sungai dan tumbuh-tumbuhan, lautan dan alam sekitar.

Tetapi guru yang mengajar alam sebagai guru itu sudah tiada lagi. Pakar yang memandang secara batin juga sudah ditelan zaman.

Wajib sebenarnya kita mengingati masa lampau dengan segala kesilapan dan pencapaian demi untuk terus maju dan berkembang.

Ini bukan sahaja libatkan anak muda Melayu, tetapi yang lebih besar lagi skopnya ialah pemimpin-pemimpin politik Melayu. Kalau asyik bercakaran berebut kuasa dan jawatan, fikirkan tembolok sendiri ‘nak Isle atau air’ sampai mesin-mesin penapis air di rumah rakyat sendiri terpaksa dibeli dari kocek sendiri, malah rosak dengan cepat disebab air bercampur keladak, siapa lagi yang dapat kita harapkan?

Hendakkan contoh model negara terbaik sudah ada dekat sekali di hujung selatan tanah air. Nama Temasek yang mendahului Singapura tidak pernah berdenting. Kini Temasek hanya nama badan pelaburan ulung Singapura.

Pupuslah kisah Singapura timbul sebab seorang Raja nampak seekor singa melintas seimbas di hadapannya. Maka pura yang dimastautini Raja itu dicantumkan dengan singa.

Jadilah ianya pura singa. Yang akhirnya jadi singa-pura. Untuk sekian lama, majalah khas Penerbangan Singapura (SIA) menceritakan sejarah ‘Singapore’ hanya bermula apabila Stamford Raffles mengasaskannya pada tahun 1819. Sultan Hussein dari takhta Riau-Johor yang memajakkan Singapura kepada British bagaikan tidak wujud.

Bila pula todak melanggar Singapura, tidaklah diketahui. Tentunya ia hanya cerita teladan. Kebijaksanaan boleh berada pada sesiapa saja.

Dalam dongeng ini, seorang budak terbukti lebih bijak daripada orang dewasa yang goblok.

Kini Singapura berbangga sebagai sebuah negara kaya. Ia adalah pusat ilmu. Terdapat tumpuan industri elektronik tanpa perlukan tanah yang luas. Persahabatan erat Sigapura dan Amerika Syarikat menjadi faktor besar kekayaan Singapura. Galakan dan kemudahan AS menjadikan Singapura salah sebuah pusat kewangan penting di dunia.

Angkatan Laut Asia-Pasifik AS berlabuh dalam perairan Singapura. Siap siaga.

Dan iklan promosi Singapura di TV antarabangsa pernah mengusik kepekaan Malaysia: “Ketika kita ditendang keluar dari Malaysia, kita dikatakan tidak mampu hidup lagi…’ Soalnya, siapa yang kata?”.

Pusaka kita, dalam satu pengertian, sudah dimamah bangsa sendiri. Bukan oleh pihak lain. Suasa di tangan orang diigaukan sedangkan emas permata di lembahan sendiri tidak dipedulikan.

Orang kita kalau masih terus alpa, tidak ambil kisah, peduli, akhirnya nanti beraksi melukut di tepi gantang. Merempat di negara sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya